Mortal Kombat 11 hari ini berkongsi satu lagi video acah yang dikatakan sebagai pengenalan untuk watak Kotal Kahn. Kotal Kahn merupakan watak jahat yang juga “Emperor of Outworld”.
Video tersebut ada memperlihatkan beberapa pergerakan yang boleh dilakukan oleh Kotal Khan termasuk juga bertukar menjadi harimau kumbang. Anehnya, walaupun video acah untuk Kotal Kahn akan tetapi Jacqui ataupun Jacqueline Sonya Briggs yang lebih diberi perhatian.
Bahkan di pengakhiran video, Jacqui yang melakukan gerakan Fatality untuk mengalahkan Kotal Kahn. Walaupun ia agak aneh, akan tetapi ia masih satu video Mortal Kombat 11 yang kita boleh jangkakan keganasan yang disertakan.
Mortal Kombat 11 merupakan permainan perlawanan yang dibangunkan oleh NetherRealm Studio. Melalui permainan terkini ini, mereka akan menyertakan pelbagai kandungan baharu seperti pengubah-suai watak, penceritaan baharu dan pelbagai bentuk ganjaran permainan. Ia bakal tiba di Playstation 4, Xbox One, Switch dan PC pada 23 April 2019.