Selain daripada permainan pengumuman permainan konsol eksklusif Xbox One, Cuphead bakal tiba di Switch, ketika acara Nindies Showcase Spring 2019, terdapat banyak lagi pengumuman lain yang diumumkan oleh Nintendo sempena acara tersebut. Berikut adalah antara permainan yang diumumkan.

Overland

Overland merupakan permainan strategi secara turutan yang memfokuskan secara berkumpulan. Menariknya, permainan ini bertemakan pasca-apokaliptik dan beberapa aspek pertahanan hidup. Menariknya, permainan ini mempunyai pelbagai bentuk pengembaraan terjana sendiri dan pemain perlu lakukan pelbagai pilihan seperti menyelematkan anjing, manusia dan sebagainya.

Overland sebelum ini telah pun dilancarkan di PC melalui akses awal dan bagi versi Switch, ianya bakal tiba suku ke-empat tahun ini.

My Friend Pedro

Permainan seterusnya adalah My Friend Pedro di mana sebelum ini Devolver Digital telah pun berkongsi informasi berkenaannya. Namun melalui pengumuman ini, Nintendo berkongsi yang mana permainan ini akan tiba secara konsol eksklusif di Switch pada Jun ini. Akan tetapi, tarikh rasmi masih belum dikongsikan.

Neo Cab

Bagi anda yang berminat permainan pengembaraan dengan pelbagai dialog pilihan bersama simulasi, Fellow Traveller dan Nintendo hari ini mengumumkan permainan Neo Cab, iaitu permainan simulasi pemandu teksi yang bertemakan masa hadapan.

Melaluinya, pemain akan memandu teksi dan pada masa yang sama berinteraksi dengan penumpang dan memilih dialog pilihan yang tersedia. Pemain juga perlu menjaga nilai penarafan sebagai pemandu teksi dan sebagainya melalui permainan ini.

Neo Cab adalah dijadualkan untuk dilancarkan tahun ini sekitar suku ketiga di Switch.

The Red Lantern

Ketika acara Nindies Showcase hari ini, Lindsey Rostal iaitu pengarah permainan dari Timberline Studio mengumumkan permainan pertama mereka iaitu The Red Latern akan tiba tahun ini di Switch.

Melalui permainan ini, pemain akan mengembara bersama 5 anjing di kawasan salji Alaska. Melalui bentuk yang memfokuskan naratif, pemain perlu menjaga anjing-anjing tersebut dan pada masa yang sama perlu memburu untuk meneruskan hidup.

Sememangnya ini adalah satu konsep permainan yang sangat menarik dan berdasarkan Nindies Showcase tersebut, permainan ini juga akan menyokong kawalan secara gerakkan melalui alat kawalan JoyCon.

Darkwood

Bagi anda yang berminat dengan permainan seram, Acid Wizard Studio dan Crunching Koalas mengumumkan bahawa permainan Darkwood akan dilancarkan Mei ini di Switch yang mana ianya memfokuskan bentuk pertahan hidup dan seram secara pandangan atas.

Darkwood sebelum ini telah pun dilancarkan di PC melalui Steam dan selain pelancarannya di Switch, permainan ini juga bakal tiba di Xbox One dan Playstation 4.

Katana Zero

Bagi anda yang meminati permainan pantas dengan senjata katana, Devolver Digital hari ini mengumumkan aksi platformer Katana Zero akan tiba pada 18 April 2019 ini di Switch.

Permainan ini akan memfokuskan bentuk yang sangat pantas dan pemain juga mempunyai pelbagai kemahiran seperti memperlahankan masa. Menariknya, permainan ini akan memberi tahap cabaran yang tinggi dimana pemain akan mati dengan hanya diserang sekali oleh musuh. Namun, setiap kali pemain tewas, permainan ini akan mengulang kembali peringkat permainan tersebut, sekaligus memberi peluang seterusnya untuk pemain cuba menyelesaikan sesuatu peringkat.

RAD

Double Fine Production, iaitu pembangun yang terkenal dengan siri Psychonauts hari ini mengumumkan permainan seterusnya oleh mereka iaitu RAD untuk Switch. Menariknya, permainan ini akan diterbitkan oleh Bandai Namco sekitar suku ketiga tahun ini.

RAD merupakan permainan aksi penembak pandang ketiga yang memfokuskan dunia yang terjana secara tersendiri. Menariknya, dengan konep mutasi, pemain berupaya untuk mengubah bentuk badan watak di dalam permainan ini dengan pelbagai jenis mutasi yang berbeza. Berdasarkan video acah, permainan ini juga kelihatan mempunyai pelbagai bentuk tekaria yang berbeza dan selain di Switch, ianya juga bakal tiba di Playstation 4, Xbox One dan juga PC.

Creature In The Well

Bagi anda yang menyukai permainan Pinball, Flight School hari ini mengumumkan permainan seterusnya oleh mereka iaitu Creature In The Well yang mana ia memfokuskan bentuk aksi pengembaraan berdasarkan permainan pinball.

Melaluinya, pemain akan mengembara yang mana peringkat permainan tersebut akan menyertakan sebilangan bentuk permainan seakan pinball. Dengan senjata lebih dari 15 jenis, pemain berupaya untuk menyerang dan bertempur dengan musuh dengan pelbagai bentuk yang berbeza.

Menurut Nintendo, permainan ini akan dilancarkan sekitar suku ketiga tahun ini.

Bloodroots

Paper Cult pula mengumumkan permainan Bloodroots akan dilancarkan sekitar tahun ini di Switch yang mana ianya adalah permainan aksi pandangan atas yang memfokuskan pemain untuk membunuh dengan pelbagai bentuk serangan.

Menariknya, selain daripada Switch, permainan ini juga dijadualkan untuk dilancarkan di Playstation 4, Xbox One dan juga PC melalui Steam.

Pine

Pine iaitu satu permainan dunia terbuka yang memfokuskan bentuk pengembaraan diumumkan oleh Twirlbound melalui Nindies Showcase hari ini. Menurut mereka, permainan tersebut akan dilancarkan Ogos ini di Switch dan juga di PC.

Pine memfokuskan bentuk dunia terbuka fantasi dimana pemain akan mengembara dan bertempur dengan pelbagai jenis musuh. Menariknya, pemain juga berupaya untuk menghasilkan barangan dan juga menjual untuk meneruskan hidup di dalam permainan ini.

Permainan Oleh Vlambeer

Pembangun permainan arked terkenal, Vlambeer juga mengumumkan 3 permainan akan tiba di Switch iaitu Super Crate Box, Nuclear Throne dan Ultra Bugs.

Menariknya, Nuclear Throne telahpun dilancarkan dan boleh dibeli melalui Nintendo eShop dengan harga $13.99(~RM57). Manakal Super Crate Box akan dilancarkan pada April dan Ultra Bugs akan dilancarkan tahun ini.

SwimSanity!

Bagi anda yang meminati permainan pernembakan koperasi multi-pemain, Decoy Games mengumumkan permainan SwimSanity! bakal tiba tahun ini di Switch. Permainan ini boleh dimainkan dari 1 sehingga 4 pemain dengan pelbagai mod permainan yang pemain boleh mainkan. Ianya juga menyokong kawalan secara gerakan melalui JoyCon.

Blaster Master Zero 2

Inti Creates dan Sunsoft juga tidak melepaskan peluang mereka untuk mengumumkan permainan sekuel buat Blaster Master Zero iaitu Blaster Master Zero 2. Menariknya, permainan tersebut dilancarkan hari ini dan ianya boleh dibeli dengan harga $9.99(~RM41).

Permainan ini akan membawa kembali pemain mengembara bersama Jason dan pada masa yang sama menaiki satu kenderaan baharu iaitu Gaia Sophia. Menariknya, permainan ini juga akan menukar antara bentuk 2D dan 3D yang mana pasti akan memberi cabaran yang pelbagai buat pemain.

Stranger Things 3: The Game

Selain itu, bersempena dengan video acah baharu untuk musim ketiga siri Netflix The Stranger Things, ketika acara Nindies Showcase, Nintendo juga memperlihatkan video acah baharu untuk permainan Stranger Things 3: The Game yang diumumkan oleh mereka sebelum ini.

Menurut mereka, permainan ini akan memfokuskan penceritaan naratif berdasarkan musim ketiga siri Netflix tersebut dan pada masa yang sama pemain perlu menyelesaikan pelbagai jenis tekaria bersama-sama dengan bertempur dengan pelbagai jenis musuh.

Menurut Nintendo, permainan tersebut akan tiba bersama dengan pelancaran musim ketiga buat siri Netflix tersebut iaitu pada 4 Julai 2019 kelak.

Cadence Of Hyrule – Crypt Of NecroDancer

Permainan terakhir yang diumumkan ketika Nindies Showcase adalah permainan Cadence Of Hyrule dimana ianya adalah permainan aksi rentak berdasarkan permainan Crypt Of NecroDancer.

Namun, melalui versi ini, Brace Yourself Games dan Spike Chunsoft menyertakan watak Link dan Zelda dari permainan The Legend of Zelda. Buat masa ini, permainan dijadualkan untuk dilancarkan tahun ini khas di Nintendo Switch.

Selain itu, bersempena dengan acara Nindies Showcase yang berlangsung hari ini, Nintendo juga mengumumkan bahawa mereka akan mengadakan pelbagai jualan promosi permainan Indie sehingga 30% diskaun. Terdapat pelbagai permainan yang ditawarkan seperti Firewatch, Yoku’s Island Express dan sebagainya. Untuk melihat senarai permainan yang ditawarkan, anda boleh ke pautan rasmi Nintendo eShop.

Di atas merupakan kesemua senarai permainan yang diumumkan oleh Nintendo melalui Nindies Showcase Spring 2019. Bagi anda yang ingin menonton keseluruhan acara tersebut, anda boleh menontonnya dibawah.

Sohor Kini