The Behemoth hari ini mengumumkan bahawa mereka akan membawa permainan Castle Crashers Remastered ke konsol Playstation 4 dan Nintendo Switch pada tahun ini.
Menurut pembangun, versi kedua-dua konsol tersebut dihasilkan oleh studio PlayEveryWare yang mana asalnya permainan tersebut dilancarkan di Xbox 360, Playstation 3 dan PC beberapa tahun lepas. Permainan tersebut juga sebelum ini menerima versi pernambah-baikkan di konsol Xbox One pada 2015 lepas.
Castle Crashers Remastered merupakan permainan multi-pemain yang mana ianya memfokuskan bentuk multi-pemain koperasi bertempur dengan elemen RPG. Menariknya, melalui versi pernambah-baikkan ini, The Behemoth menjanjikan permainan tersebut akan menyertakan pelbagai pernaik-tarafan seperti tekstur visual yang lebih cantik, kadar bingkai sesaat sehingga 60FPS dan kesemua DLC pernambahan yang dilancarkan sebelum ini.
Buat masa ini, tarikh pelancaran permainan ini masih belum diumumkan. Namun, ianya dijadualkan untuk dilancarkan sekitar tahun ini.
Selain itu, The Behemoth juga menyatakan bahawa mereka kini sedang membangunkan projek permainan baharu dengan kod nama Game 5. Buat masa ini informasi berkenaannya masih belum dikongsikan dan pasti kami di Aksiz akan mengemaskininya setelah ia diumumkan kelak.