Skip to main content

Selepas pelbagai ura-ura serta pelbagai laporan, Google akhirnya mengumumkan penglibatan mereka di dalam industri permainan video. Awal pagi hari ini, Google mengumumkan Stadia iaitu platform permainan awan.

Menggunakan platform ini, Google membuang keperluan untuk pengguna memiliki konsol fizikal sebaliknya kesemua permainan akan di strim daripada pusat data mereka. Apa yang disediakan oleh Google hanyalah alat kawalan, namun seperti yang diumumkan pengguna juga boleh menggunakan alat kawalan lain bersama dengan platform ini.

Kami teruja dengan Stadia kelebihan yang dibawa oleh platform ini, pada masa sama terdapat juga beberapa kekurangan yang hadir. Berikut adalah kelebihan dan kekurangan Stadia;

Kelebihan

  1. Selain mengumumkan Stadia, Google juga mengumumkan Stadia Games and Entertainment (SGE) yang akan menjadi studio pembangunan mereka sendiri, ia akan diketuai oleh Jade Raymond. Walaupun ia bukanlah keperluan akan tetapi setiap penyedia platform permainan video akan mempunyai studio pembangunan mereka sendiri. Sony melalui SIE, Microsoft melalui Xbox Games Studio dan begitu juga Nintendo. Ini akan membantu untuk menghasilkan permainan eksklusif bagi platform mereka. Google juga mengatakan permainan yang dikeluarkan oleh studio mereka merupakan eksklusif untuk platform tersebut, ia akan menjadi satu kelebihan untuk Stadia.
  2. Selain SGE, Google juga tampaknya sudah bekerjasama dengan beberapa studio pembangunan utama seperti Ubisoft dan Bethesda melalui id Software. Walaupun menghasilkan permainan secara esklusif adalah penting, sokongan daripada studio pembangunan lain juga memainkan peranan, tanpa permainan agak sukar untuk platform tersebut terus kekal bersaing. Nintendo Switch mendapat sambutan yang baik bukan sahaja kerana permainan yang dikeluarkan oleh Nintendo tetapi juga kerana pelbagai permainan oleh studio lain termasuk indie. Dengan sokongan ini, Stadia tidak akan cetek pilihan permainan.
  3. Apabila bercakap mengenai penstriman ataupun perkhidmatan awan, Google mempunyai kelebihan kerana memiliki pusat data di serata dunia. Mereka merupakan penyedia enjin carian serta laman video terbesar di dunia oleh disebabkan itu, ia sepatutnya tidak menjadi masalah untuk mereka menyediakan perkhidmatan Stadia ke serata dunia yang mudah.
  4. Berdasarkan demo yang diperlihatkan semasa pengumuman, mereka berkongsi bagaimana mudah untuk mendapatkan permainan. Selepas menonton video acah di Youtube, melalui pesanan ringkas dan juga melalui sosial media. Ini sudah semestinya memudahkan pengguna untuk berkongsi dan mengajak rakan untuk bermain bersama. Namun, kelebihan ini masih bergantung kepada jenis perniagaan untuk Stadia yang masih tidak diumumkan.
  5. Kelebihan seterusnya sudah semestinya Stadia adalah projek oleh Google. Dengan sokongan yang kuat oleh Google akan memudahkan lagi untuk Stadia terus berkembang terutama ia adalah sesuatu yang sukar untuk bersaing dengan syarikat-syarikat tersedia. Melalui sesi temubual, Google juga mengatakan projek Stadia bukanlah projek percubaan sebaliknya mereka ingin ia menjadi sesuatu yang akan ada untuk satu jangka masa yang lama.

Kekurangan

  1. Sebagai platform permainan awan, sambungan internet adalah sesuatu yang sangat penting untuk Stadia. Penerimaan Stadia sangat berkait dengan kebolehan pengguna untuk menggunakan perkhidmatan mereka. Melalui percubaan Project Stream sebelum ini, Assassin’s Creed Odyssey dimainkan secara resolusi HD Penuh dan 60 kadar paparan sesaat dan memerlukan kelajuan internet dengan kelajuan 25Mbps. Menurut Google mereka ingin memberikan permainan secara 4K dan 60 kadar paparan sesaat dengan kelajuan yang lebih kurang. Walaupun 25Mbps adalah kelajuan yang biasa untuk sekarang, tetapi ia masih bukan sesuatu yang dimiliki oleh majoriti pengguna terutama di Malaysia. Jelas kekurangan untuk Stadia adalah ia sangat bergantung kepada kemudahan internet yang akan disediakan di serata dunia.
  2. Kekurangannya seterusnya adalah agak sukar untuk menerima Stadia sebagai platform permainan video utama, apatah lagi satu-satunya platform untuk anda sepertimana Playstation ataupun Xbox menjadi satu-satunya konsol di rumah. Stadia setakat ini, bergantung kepada cara ia akan dipasarkan lebih bersesuaian untuk menjadi perkhidmatan sampingan untuk yang sudah memiliki konsol-konsol lain. Sehinggalah pemain bersedia untuk sepenuhnya beralih kepada perkhidmatan digital.
  3. Sebelum Stadia diumumkan secara rasmi, kami menjangkakan Google bakal membolehkan pengguna strim permainan daripada PC, ataupun konsol lain, akan tetapi Stadia berfungsi sebagai satu konsol tersendiri yang diletakkan di pusat data mereka. Berdasarkan yang diumumkan, pembangun harus membangun permainan khusus untuk Stadia. Ini akan menjadi kekurangan jika ia memerlukan proses pembangunan yang mengambil masa. Studio yang sudah membangun untuk konsol lain mungkin kurang berminat untuk membangunkan bagi Stadia terutama jika keuntungan yang diperoleh tidak menarik.
  4. Selain penstriman permainan video, Google juga mengumumkan beberapa fungsi lain yang dikatakan akan meningkatkan pengalaman bermain. Antara yang diperlihatkan adalah integrasi dengan Google Assistant untuk memudahkan pemain mencari cara menghabiskan sesuatu permainan. Mereka juga memperlihat integrasi dengan streamer, termasuk juga bermain bersama. Namun, setakat ini fungsi-fungsi tersebut tidak sangat menarik dan terasa sekadar gimik.
  5. Seperti yang tulis di atas, Google adalah satu kelebihan untuk Stadia, tetapi Google juga merupakan satu kekurangan. Google, walaupun satu syarikat yang besar, mereka tidak mempunyai pengalaman yang meyakinkan untuk industri permainan video. Tambahan lagi, walaupun Google mengatakan ia adalah projek utama, akan tetapi Google mempunyai banyak contoh di mana mereka tidak segan untuk menutup projek yang kurang berjaya.

Secara jujur, saya masih skeptikal dengan Stadia, terutama modus operandi yang tidak mesra untuk pengguna di luar negara yang menyediakan perkhidmatan internet pantas secara meluas. Tambahan Google juga tidak mempunyai rekod yang baik untuk projek-projek baharu. Namun, ia masih satu perkhidmatan yang boleh mengubah industri permainan video, jika ia tiba ke pasaran Malaysia, saya sudah semestinya akan menjadi antara terawal mencubanya.

Bagaimana dengan anda? Adakah anda tertarik dengan Stadia atau masih berpegang teguh kepada generasi konsol?

https://www.youtube.com/watch?v=AffodEEF4ho

Leave a Reply