Skip to main content

Stardew Valley pertama kali dikeluarkan untuk PC pada tahun 2016, dan saya terus menghabiskan hampir 60 jam bermain. Ia mungkin lebih tinggi jika tidak disebabkan permainan tersebut turut dikeluarkan untuk Switch di mana saya menghabiskan hampir 100 jam berkebun secara maya.

Di mana sahaja Stardew Valley dikeluarkan, ia akan menerima sambutan yang sangat baik. Apabila dikeluarkan untuk Switch pada tahun 2017, ia menjadi permainan yang paling banyak dimuat turun pada tahun tersebut walaupun dikeluarkan pada bulan Oktober.

Apabila ia akhirnya dikeluarkan untuk mudah alih, iaitu untuk peranti iOS, Stardew Valley menjana lebih RM4.19 juta selepas 3 minggu dikeluarkan. Pada 14 Mac lepas, ia akhirnya turut dikeluarkan untuk peranti Android dan berikut adalah sebab mengapa anda harus membelinya.

  1. Ia adalah salah satu permainan mudah alih terbaik yang anda boleh dapati di dalam Play Store sekarang. Kandungan yang disertakan di dalam permainan ini sudah semestinya akan membuatkan anda terus dan terus bermain, walaupun anda bukan seorang pemain permainan video yang tegar.
  2. Stardew Valley boleh didapati dengan harga RM34.90, untuk permainan yang mengandungi kandungan seperti permainan ini ia adalah sangat berbaloi. Tambahan lagi, permainan ini tidak menyertakan sebarang pembelian di dalam aplikasi. Dengan satu bayaran, anda akan mendapat satu permainan penuh.
  3. Kebanyakan permainan di telefon pintar memerlukan sambungan internet kerana konsep permainan sebagai servis yang digunakan. Namun, Stardew Valley adalah permainan yang sepenuhnya boleh dimainkan secara luar talian. Tidak kira anda di tempat yang mempunyai sambungan yang tidak baik, ia tidak akan mengganggu permainan anda.
  4. Kandungan masa hadapan yang akan membuatkan Stardew Valley lebih menarik. Buat masa ini, mod multi-pemain untuk Stardew Valley hanya terhad untuk PC dan Switch sahaja, akan tetapi pembangun mengatakan mereka akan cuba menyertakan mod tersebut ke platform lain termasuk juga untuk iOS dan Android. Apabila ia tiba, permainan ini sudah semestinya akan menjadi lebih menarik.
  5. Bagi anda yang seperti saya sudah bermain Stardew Valley di PC, mungkin tidak menarik untuk mendapatkannya sekali lagi di peranti pintar. Namun, seperti versi iOS, versi Android juga boleh menggunakan fail simpanan permainan tersebut untuk versi PC. Dengan kata lain, anda tidak semestinya perlu bermain daripada awal, walaupun di platform yang lain. Ia sudah semestinya dapat menjimatkan masa, tanpa mengulangi ataupun membina semula ladang anda.

Sesuatu yang saya kurang gemari apabila ia dikeluarkan untuk android, beberapa pemain akan memilih untuk sekadar memuat turun APK sahaja akan tetapi saya berharap anda membelinya kerana seperti saya terangkan di atas, ia adalah satu permainan yang sangat berbaloi.

Stardew Valley juga dibangunkan oleh satu pasukan yang kecil dan bukanlah di bawah satu syarikat penerbitan yang besar. Segala pendapatan adalah penting untuk mereka. Selamat berkebun.

[info]Play Store: Stardew Valley[/info]

Leave a Reply