Awani hari ini melaporkan yang Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memainkan peranan yang lebih proaktif dalam mengawal permainan dalam talian berunsur ganas.
Kenyataan tersebut dibuat selepas beliau diminta untuk mengulas perhubungan antara permainan video dalam talian dan keganasan selepas kejadian yang berlaku di New Zealand. Beliau mengatakan lagi, pihak polis boleh mengambil tindakan tegas akan tetapi SKMM perlu memainkan peranan terlebih dahulu.
Saya, bukan sahaja sebagai penulis di media yang memfokuskan permainan video, tetapi sebagai pemain sendiri agak kecewa dengan kenyataan tersebut. Saya tidak pasti jika kenyataan tersebut di buat selepas pertanyaan tersebut, kerana bagi saya pertanyaan yang mengaitkan permainan video dengan kejadian keganasan yang berlaku di New Zealand, bukan satu soalan yang baik.
Saya juga berpendapat, permainan video yang ganas sudah di kawal oleh industri sendiri melalui had umur, ia tidak memerlukan pengawalan yang lebih terutama daripada pihak kerajaan apatah lagi pihak polis. Tambahan, buat masa ini tiada bukti yang kukuh mengatakan permainan video ganas memberi kesan kepada perlakuan remaja, inikan lagi menggalakkan keganasan.
Apa yang berlaku di New Zealand adalah satu tindakan terkutuk yang berlaku di atas kurangnya sifat toleransi, serta sifat merasa diri lebih berkuasa, dan ia langsung tiada kaitan dengan permainan video. Saya berharap perkara ini lebih diperhalusi dan tidak terlalu gopoh untuk mencari kambing hitam.