Google tahun ini akan menyertai acara Google Deveoper Conference (GDC). Apa yang kita tahu adalah, Google akan mengumumkan sesuatu berkaitan dengan permainan video. Kita sudah tahu yang Google akan hadir dengan konsol permainan bagi menyaingi Xbox dan PlayStation. Adakah ini yang Google akan umumkan?
Kurang seminggu acara GDC, Google telah mengemaskini kod binaan pelayar web mereka – Google Chrome. Kemaskini kod ini menambah sokongan Joy-Con, iaitu alat kawalan pada Nintendo Switch untuk digunakan pada Chrome. Joy-Con adalah alat kawalan yang menyokong Bluetooth. Pada Windows dan Android, ia turut boleh ditambatkan. Tetapi, dengan sokongan pada Chrome ini – ia pasti tidak lagi terhad dan mana-mana sistem operasi dengan Chrome, pasti akan menyokong alat kawalan ini.
Sebelum ini, Google mempunyai perkhidmatan penstriman permaian video grafik tinggi yang boleh dimainkan melalui Chrome – Project Stream. Jadi dengan sokongan alat kawalan ini, bermain permainan pasti lebih mudah. Tidak lupa juga, Google turut mempatenkan alat kawalan permainan mereka tersendiri di mana – ada kemungkinan besar ia dibina dengan pekerja veteran Sony PlayStation yang beliau pernah ambil bekerja untuk projek permainan ini.
Untuk maklumat lanjut, sama-sama kita nantikan apa yang Google akan umumkan pada GDC 19 Mac ini.