Informasi Permainan Video Terkini
Filem Aksi-Nyata Aladdin Tidak Akan Mengimbau Kenangan Filem Animasi Aladdin Klasik

Filem Aksi-Nyata Aladdin Tidak Akan Mengimbau Kenangan Filem Animasi Aladdin Klasik

Diterbitkan pada Mac 15, 2019 oleh .

Filem aksi-nyata berdasarkan filem animasi klasik Disney bukanlah sesuatu yang baru. Disney sudah mulakan projek ini sejak tahun 1996 lagi melalui 101 Dalmation. Berehat selama 14 tahun, Disney kembali dengan filem aksi-nyata berdasarkan filem animasi klasik Alice in Wondrland. Berehat lagi empat tahun, tahun 2014 – Disney kembali dengan Maleficient, iaitu filem aksi-nyata Sleeping Beauty yang memfokuskan watak antagonis.

Bermula tahun 2014 ini, setiap tahun Disney hadir dengan banyak filem aksi-nyata yang berasaskan filem animasi klasik seperti; Cinderella 2015, The Jungle Book 2016, Beauty And The Beast 2017 dan Christopher Robin (Winnie The Pooh) 2018. Tahun ini, Disney tidak tunggu lagi atau berehat – kerana terdapat empat filem aksi-nyata yang dijadualkan. Kesemua filem ini mungkin akan mengimbau kenangan zaman dahulu. Filem tersebut adalah; Dumbo (Mac 2019), Aladdin (Mei 2019), The Lion King (Julai 2019) dan Maleficient: Mistress of Evil (Oktober 2019).


Dalam artikel hari ini, akan saya fokuskan kepada Aladdin. Ini kerana, filem ini adalah antara filem aksi-nyata Disney yang menjadi perbualan ramai orang. Salah satu sebabnya adalah Will Smith menggantikan Robin Williams sebagai Genie. Artikel ini akan saya berikan sebab kenapa filem Aladdin 2019 ini bukanlah filem yang membawa anda untuk imbas kembali zaman kanak-kanak anda.

Watak Aladdin Dan Jasmine Yang Tidak Menarik

Mena Massoud adalah pelakon yang melakonkan watak Aladdin. Prestasinya dilihat tidak menarik perhatian dan seperti tidak hebat. Ini kerana, filem ini adalah filem pertama beliau sebagai watak utama. Kemudian, elemen arab dan jiwa sebagai Aladdin tidak kelihatan. Jasmine pula, dilihat lebih kepada gaya sebagai seorang pelakon filem Bollywood dan bukan filem di suasana dengan elemen arab. Jasmine dilakonkan oleh Naomi Scott yang pernah berlakon sebagai Pink Ranger. Keceriaan dan kesengsaraan beliau sebagai Puteri dalam Aladdin juga tidak menarik.

Jafar Terlalu Muda

Watak antagonis dalam filem ini seperti yang semua tahu adalah Jafar. Dalam filem aksi-nyata beliau dilakonkan oleh Marwan Kenzari. Pelakon ini bagi saya sangat tidak sesuai. Ini kerana, beliau terlampau muda dan langsung tidak kelihatan ganas atau jahat. Dalam animasi, beliau adalah penasihat kepada Sultan dan watak beliau adalah seorang psiko yang kejam. Beliau juga memperdaya Aladdin yang kononnya beliau adalah pakcik kepada Aladdin. Dalam filem aksi-nyata ini, beliau kelihatan seperti abang/kawan kepada Aladdin. Elemen jahat, ganas, kejam langsung tidak kelihatan.

Babak Karpet Terbang Yang Hambar

Seperti yang dijangkakan, ini adalah filem Aladdin – jadi muzik klasik adegan karpet terbang dengan lagu A Whole New World pasti akan terdapat dalam filem aksi-nyata. Akan tetapi, lagu A Whole New Wold dalam video acah adalah olahan semula dan tidak sama seperti lagu asal. Dengan perwatakan Naomi dan Mena, muzik ini dilihat tidak sesuai dengan jiwa mereka. Sekurang-kurangnya Disney patut kekalkan sahaja dengan lagu asal, barulah boleh imbau kenangan lalu.

Genie Will Smith

Jin dalam filem Aladdin adalah Genie. Beliau adalah seekor jin berwarna biru yang dilakonkan oleh Will Smith. Will Smith menggantikan Robin Williams yang sebelum ini melakonkan suara beliau dalam filem animasi klasik. Ya, elemen lucu, kerap bergurau, memain-mainkan Aladdin turut kelihatan. Will Smith membawa gaya Genie beliau tersendiri dan tidak meniru Genie gaya Robin Williams. Ini adalah perkara yang baik. Tetapi dalam video acah, tidak ada ejekan kepada filem-filem/siri-siri TV seperti Aladdin asal. Adalah dalam filem akan kelihatan? Ejekan seperti ini pasti akan lebih menghiburkan.


Pandang pertama video acah sudah tidak memberi impak menarik pada diri saya. Pendapat saya, filem ini mungkin akan mengecewakan. Kalau boleh saya inginkan filem Aladdin aksi-nyata yang mengimbau kenangan zaman kanak-kanak suatu masa dahulu. Untuk ketahui jika benar atau tidak filem ini akan menarik perhatian? Sama-sama kita nantikan tayangan filem ini Mei kelak.


TIPS & ULASAN