Judgment iaitu permainan baharu daripada pencipta permainan Yakuza akan dikeluarkan secara global pada 25 Jun kelak, akan tetapi permainan tersebut sudah dipasarkan di Jepun.

Hari ini, permainan tersebut tidak lagi dijual bahkan SEGA juga membuang segala promosi yang telah dilakukan untuk permainan tersebut di laman sosial selepas seorang pelakon suara ditahan kerana penggunaan dadah.

Pierre Taki yang menjadi pelakon suara untuk watak bernama Kyohei Hamura di dalam permainan tersebut ditahan dan didapati positif dadah jenis kokain dan dia kemudiannya mengaku kesalahan tersebut.

Selepas pengakuan tersebut, SEGA mengatakan mereka tidak akan lagi menjual permainan tersebut secara fizikal ataupun digital. Selain meminta maaf kerana masalah yang timbul, mereka juga mengatakan akan meneliti cara terbaik yang perlu dilakukan mengenai permainan tersebut. Buat masa ini tiada pengesahan daripada pihak SEGA mengenai status pengeluaran permainan tersebut di luar Jepun.

Disney juga dilaporkan akan mencari pengganti kepada Taki yang menjadi pelakon suara untuk watak Olaf di dalam Frozen. Frozen 2 akan ditayangkan di Jepun pada bulan November ini.

Square Enix penerbit untuk Kingdom Hearts 3 yang turut mempunyai watak Olaf serta turut disuarakan oleh Taki buat masa ini tidak memberi sebarang pengesahan jika akan mengambil langkah yang sama seperti SEGA.

Sohor Kini