Ujian Umum Project xCloud Oleh Microsoft Bakal Tiba Tahun Ini

Tahun lepas, Microsoft mengumumkan bahawa mereka sedang membangunkan perkhidmatan penstriman permainan, iaitu Project xCloud. Melaluinya, pemain berupaya untuk bermain permainan Xbox One di peranti lain seperti peranti telefon pintar dan sebagainya.

Terkini, sempena acara langsung Inside Xbox, Microsoft memperlihatkan perkhidmatan tersebut dengan lebih lanjut dengan demonstrasi mereka bermain permainan Forza Horizon 4 secara langsung.

Melaluinya, Kareem Choudhry iaitu ketua pembangun permainan atas awan di Microsoft, mengesahkan bahawa Project xCloud bakal tiba dalam bentuk ujian buat umum pada tahun ini.

Tambah beliau, perkhidmatan ini bukan akan menggantikan konsol malah ianya akan memberi pilihan kepada pemain untuk bermain permainan Xbox di mana sahaja dan sekaligus ianya akan membuka lebih banyak cabang di dalam industri permainan dan tidak akan terhad kepada satu perkakasan sahaja.

Buat masa ini, informasi berkenaan ujian umum masih belum diumumkan. Akan tetapi, Microsoft menyatakan informasi lanjut bagaimana untuk menyertainya akan dikongsikan pada bulan ini.

Sohor Kini