Satu berita yang agak mengejutkan hari ini iaitu 343 Industries dan Microsoft mengumumkan bahawa permainan koleksi Halo: The Master Chief Collection akan tiba di PC melalui Steam dan Microsoft Store.
Permainan tersebut sebelum ini hanya dilancarkan di Xbox One sahaja pada 2014 lepas yang mana ianya menyertakan sebilangan permainan Halo seperti Halo: Combat Evolved Anniversary, Halo 2: Anniversary, Halo 3, Halo 3: ODST dan Halo 4.
Terkini bersempena dengan pengumuman ini, Microsoft juga menyatakan Halo: Reach juga bakal disertakan bersama melalui pernambahan DLC untuk pengguna Xbox One bagi mod kempen solo dan Firefight. Menariknya, bagi mereka yang mempunyai permainan koleksi tersebut di konsol, Microsoft juga akan menyertakan kandungan multi-pemain Halo: Reach, iaitu Forge dan Theater. Bagi yang mempunyai langganan Xbox Game Pass pula, Microsoft akan menyertakan kesemua kandungan Halo: Reach sebagai sebahagian daripada permainan Halo: The Master Chief Collection.
Selain itu, Halo: The Master Chief Collection juga akan dilancarkan secara berperingkat di PC dimana menurut Microsoft, Halo: Reach akan dilancarkan dahulu kemudian ia akan dilancarkan secara turutan dari Halo: Combat Evolved sehinggalah Halo 4.
Buat masa ini, tarikh pelancaran masih belum diumumkan. Kami di Aksiz pasti akan mengemaskininya setelah Microsoft mengumumkannya kelak.