Skip to main content
https://www.youtube.com/watch?v=DinN__0fBj0

Siri permainan DOOM boleh dikatakan sering menerima sambutan yang baik, termasuk juga permainan terbaru yang dikeluarkan pada tahun 2016. Namun, buat masa ini ia tidak menerima adaptasi filem selayaknya.

Filem DOOM yang dikeluarkan pada tahun 2005 walaupun dilakonkan oleh pelakon aksi terkenal iaitu Dwayne Johnson ataupun The Rock menerima kritikan kerana filem yang dihasilkan agak membosankan. Hari ini, video acah untuk satu lagi filem DOOM diperlihatkan ia digelar sebagai DOOM Annihilation. Menurut laporan Polygon, filem tersebut tidak mempunyai sebarang kaitan dengan filem 2005, mungkin satu perkara yang baik.

Berdasarkan sinopsis yang terdapat di IMDB, ia adalah mengenai pasukan tentera yang mendapat isyarat kecemasan daripada bulan planet Marikh yang didapati dipenuhi dengan pelbagai raksasa/syaitan yang datang dari neraka. Berdasarkan video acah pendek yang diperlihatkan, berikut adalah perkara yang kami tidak gemari berdasarkan video acah tersebut.

1.Video tersebut menyertakan beberapa kapsyen yang bagi kami menjadikan filem tersebut nampak sangat murahan. Antaranya “Wanted: Doomslayer”, “Your mission: Don’t Die” dan “It’s not a game anymore”. Kami pasti anda yang membacanya akan menaikkan mata dan meletakkan dua tangan di bahu.

2. Watak utama dilakonkan oleh Amy Manson, beliau mempunyai beberapa watak daripada filem dan siri lain yang nampak kuat, tetapi di dalam video acah yang diperlihatkan tidak nampak yang beliau seorang yang akan membunuh syaitan.

3. DOOM adalah permainan aksi, filem sebelum ini walaupun agak bosan tetapi mempunyai aksi yang menarik, di dalam video acah ini, bahagian aksi tidak diperlihatkan melainkan jeritan demi jeritan. Agak aneh untuk mengacah filem DOOM tetapi aksi diketepikan.

4. Satu perkara yang sangat digemari oleh pemain DOOM adalah pilihan senjata, dan filem ini nampaknya menggunakan senjata yang agak menarik tetapi kami tidak boleh menerima rekaan serta kualiti binaan yang diperlihatkan. Ia nampak lebih plastik daripada senjata plastik.

5. Pencipta asal permainan DOOM iaitu Bethesda, tidak langsung terlibat di dalam produksi filem ini. Selepas video acah ini diperlihatkan, ramai peminat yang mengkritik, seperti kami, dan seorang pengguna Twitter cuba untuk mendapatkan reaksi daripada Bethesda. Namun, mereka hanya menjawab yang mereka tidak terlibat di dalam filem tersebut. Agak sukar untuk teruja dengan sesuatu yang tidak melibatkan pencipta asal.

Apapun ia sekadar video acah 30 saat, banyak lagi perkara yang tidak diperlihatkan akan tetapi buat masa ini, ia bukan satu petanda yang baik untuk satu lagi filem DOOM. Filem ini akan dikeluarkan terus secara digital dan bakal tiba pada suku akhir tahun ini.

Leave a Reply