Left Alive merupakan permainan yang dibangunkan oleh Ilinx dan dilancarkan oleh Square-Enix untuk konsol Playstation 4 dan PC pada awal bulan ini. Permainan tersebut merupakan permainan bertempatkan di dunia Front Mission, iaitu satu siri permainan peperangan robot mecha yang sangat terkenal terutamanya di era Playstation 1 lebih dari 20 tahun lepas.

Front Mission sebelum ini mempunyai bentuk permainan strategi secara turutan dengan robot mecha yang menarik dan ia sememangnya menjadi ikutan ramai peminat beberapa tahun lepas. Namun pada 2010 lepas, Square-Enix cuba melancarkan sesuatu yang berlainan iaitu Front Mission Evolved, yang mana ia adalah permainan aksi robot mecha memfokuskan bentuk penembak pandang ketiga seakan Armored Core.

Terkini, tampaknya Square-Enix sekali lagi ingin mencuba sesuatu yang baru untuk siri tersebut di mana mereka membawa Left Alive, iaitu permainan aksi yang memfokus bentuk selinap. Apa yang membuatkan permainan ini lebih menarik, rekaan watak Left Alive dihasilkan oleh Yoji Shinkawa, iaitu pereka watak buat siri Metal Gear Solid dari Kojima Production.

Akan tetapi, adakah ini merupakan satu pilihan yang bagus ataupun hanya gimik sahaja untuk Square-Enix? Ini adalah ulasan saya, untuk Left Alive.

Cerita

Semestinya perkara pertama yang ramai tertanya-tanya berkenaan permainan ini, adakah pemain perlu mengetahui penceritaan permainan Front Mission sebelum ini untuk bermain Left Alive? Pada pendapat saya sendiri, tidak sama sekali. Ini kerana saya sendiri tidak bermain kesemua siri permainan Front Mission dan masih lagi memahami asas penceritaan Left Alive ini.

Meskipun begitu, permainan ini tidaklah mempunyai penceritaan yang menakjubkan. Secara asasnya, konsep penceritaan permainan ini adalah sama seperti tajuknya, ‘Left Alive’ di mana pemain akan ditinggalkan di satu kawasan peperangan dan pemain perlu meneruskan hidup dengan bertempur dan menyelinap di medan peperangan tersebut.

Melalui Left Alive, pemain akan bermain sebagai 3 watak yang berbeza iaitu Olga, Mikhail dan Leonid di mana mereka terperangkap di dalam peperangan di negara fiksyen Nova Slava. Ini sekaligus, pemain perlu memastikan ketiga-tiga watak tersebut berjaya keluar daripada negara tersebut dan pada masa yang sama menyelesaikan misi dan agenda mereka.

Pada pendapat saya, penceritaan permainan ini agak menarik. Terutamanya bentuk penyampaian yang memfokuskan tiga watak yang berbeza, ianya semestinya mempunyai ciri-cirinya tersendiri yang menawan. Namun, jika ingin dibandingkan dengan permainan bertaraf AAA yang lain, permainan ini tidaklah mempunyai penceritaan yang unik ataupun berlainan. Jika anda pernah bermain permainan ataupun menonton filem peperangan lain, secara asasnya Left Alive berasa agak tipikal dengan plot penceritaannya memfokuskan peperangan dalaman dan politik di mana ia terlalu melibatkan perebutan kuasa antara dua pihak.

Akan tetapi, satu perkara yang saya sukai berkenaan konsep penceritaan permainan ini bentuk cabang penceritaan. Ianya tidaklah begitu kompleks seperti permainan keluaran Bioware, namun ianya masih sedikit sebanyak mempunyai beberapa pengakhiran yang berbeza, berdasarkan watak-watak yang anda biarkan hidup.

Ini kerana melalui permainan ini, pemain diberi pilihan dialog melalui adegan permainan dan setiap pilihan yang dilakukan oleh pemain, akan memberi kesan sama ada sesuatu watak tersebut hidup atau pun tidak. Dari segi penceritaannya, ianya tidaklah memberi impak yang besar, namun konsep ini adalah menarik atas sebab tajuk permainan itu sendiri.

Selain itu, permainan ini juga menyertakan beberapa misi sampingan yang mana sebahagiannya memerlukan pemain untuk menyelematkan beberapa mangsa peperangan. Konsep ini sekali lagi berkait rapat dengan tajuk permainan seperti apa yang saya terangkan di atas. Akan tetapi, kebanyakkan watak-watak sampingan tersebut tidak langsung menjejaskan penceritaan utama dan ianya tidak memberi impak tambahan lain.

Grafik

Visual grafik permainan ini pada pendapat saya memadai untuk permainan bergenre ini. Sememangnya setiap rekaan watak yang dilakukan oleh Yoji Shinkawa adalah sangat menarik sekali dicampur dengan rekaan robot mecha Wanzer penuh dengan memori nostalgia untuk Front Mission .

Akan tetapi, apa yang perasan adalah permainan ini kelihatan terlalu ingin meniru Metal Gear bukan sahaja bentuk permainannya malah sehinggakan menu paparan antaramuka yang mengingatkan saya dengan permainan siri Metal Gear. Ini kerana, rekaan-rekaannya mempunyai beberapa ‘perasaan’ seperti Metal Gear seperti rekaan pemilihan menu senjata sekaligus membuatkan permainan ini berasa satu lagi klon untuk siri tersebut.

Dari segi aspek visual grafik permainan itu sendiri, ianya tidaklah mempunyai bentuk visual yang sangat teruk. Bahkan saya berasa ianya sudah memadaikan utuk permainan bergenre ini. Namun apa saya perasan dari segi prestasinya, terdapat beberapa masalah dari segi pemuatan tekstur yang agak lambat dari semasa ke semasa. Bercakap berkenaan tekstur, terdapat juga beberapa rekaan tekstur yang dihasilkan agak janggal dan pelik. Akan tetapi, ianya tidaklah merosakkan keseluruhan permainan.

Selain itu, saya juga menyukai aspek sinematik yang dihasilkan untuk permainan. Sepanjang sesi permainan saya, saya amat berpuas hati dengan nilai produksi yang dihasilkan oleh Ilinx buat permainan ini terutamanya bentuk penceritaan yang disampaikan dengan baik sekali. Setiap adegan boleh dikatakan mempunyai ciri-ciri produksi sebuah filem aksi peperangan. Namun, atas sebab masalah lain, ia membawa permainan ini jatuh menjunam menjadi permainan yang sangat teruk.

Audio

Dari segi aspek audio, permainan ini masih lagi mempunyai masalah seperti gerakkan bibir tidak menyegerak dengan suara latar. Ini bukanlah sesuatu yang asing untuk permainan yang dibangunkan di Jepun atas sebab ianya lebih memfokuskan untuk suara latar asli pembangunan mereka.

Meskipun begitu, memandangkan permainan dijual dengan harga yang bertarafkan AAA, ianya agak mengecewakan untuk menerima hasil kualiti yang disampaikan oleh Ilinx. Tambahan itu, untuk permainan yang diterbitkan oleh Square-Enix, ini membuatkan permainan ini berasa agak ‘murah’.

Selain itu, dari segi suara latar permainan ini tidaklah mempunyai hasil lakonan yang baik namun ia tidak bermakna ianya adalah teruk. Apa yang boleh saya katakan, kebanyakkan hasil lakonan suara latar agak tipikal bagi permainan-permainan yang bergenre ini.

Terdapat juga beberapa adegan dimana suara yang disampaikan agak janggal terutamanya ketika berlakunya pelbagai pemilihan dialog akibat watak tersebut kelihatan berdiam diri dan tidak memberi sebarang respon. Meskipun begitu, saya masih lagi menghargai apa yang disampai oleh Ilinx melalui Left Alive.

Akan tetapi, terdapat satu perkara yang saya sangat benci melalui audio permainan ini iaitu suara latar untuk watak kecerdasan buatan, Koshka dimana watak tersebut sering mengulangi beberapa dialog di dalam permainan sehingga membuatkan permainan ini sangat menjengkelkan untuk dimain. Saat ini boleh dilihat ketika pemain berada berhampiran dengan musuh dan Koshka akan mengulang ayat ‘Caution, Enemy is Approaching’ jika musuh berhampiran. Ini bukan sahaja merosakkan pengalaman permainan, malah akibat beliau mengulang beberapa kali dialog tersebut, ianya membuatkan permainan ini berasa terlalu bising.

Kawalan Permainan

Jika saya ingin berkongsikan pendapat saya berkenaan kawalan dan bentuk permainan Left Alive ini, apa yang saya boleh katakan adalah permainan ini adalah permainan yang rosak. Konsep asal, permainan sememangnya berpontensi untuk menjadi satu permainan yang menarik. Akan tetapi, berdasarkan apa yang main, saya berasa permainan ini asalnya mempunyai bentuk permainan yang berlainan daripada apa yang dilancarkan.

Berdasarkan sekitar 15 jam saya bermain untuk menghabiskan permainan, saya berasa permainan ini asalnya dibangunkan sebagai satu permainan bentuk strategi secara turutan. Ini kerana terdapat beberapa aspek seperti memfokuskan pemain untuk meletakkan perangkap, pergerakkan yang terhad dicampur lokasi kawasan yang berulangan dan kedudukan musuh yang pelik, membuatkan saya berasa ianya asalnya adalah permainan bergenre lain.

Meskipun begitu, perkara pertama yang anda perlu tahu berkenaan permainan ini adalah ianya sememangnya satu permainan berbentuk penembak pandang ketiga. Seperti kebanyakkan permainan lain, pemain berupaya untuk berlindung di dinding dan menyasar tembakan melaluinya. Tambahan itu, memandangkan permainan ini memfokuskan bentuk selinap, terdapat juga beberapa aspek selinap seperti membongkok untuk mengelak daripada di lihat oleh musuh dan juga bersembunyi di dalam almari ataupun lokar.

Apa yang membuatkan permainan ini lain dengan permainan lain adalah sistem gajet dan perangkap di mana permainan ini mempunyai pelbagai jenis gajet dan perangkap yang pemain boleh gunakan. Sama ada perangkap berbentuk bom, senjata turet, permainan ini juga menyediakan pelbagai jenis bom yang pemain boleh hasilkan dengan barangan-barangan yang pemain temui ketika di dalam permainan ini.

Konsep asas bentuk ini kelihatan agak menarik dengan pelbagai kebebasan yang gajet yang pemain boleh gunakan. Tetapi terdapat beberapa had yang mana membuatkan konsep ini merosakkan permainan, sekaligus membuatkan ia langsung tidak boleh dimainkan.

Melalui gajet-gajet tersebut, pemain boleh hasilkan bermacam jenis gajet dan perangkap melalui menu permainan ini. Terdapat beberapa gajet yang menarik seperti bom yang boleh diletupkan dengan kawalan jauh ataupun perangkap bom berwayar dan sebagainya. Terdapat juga senjata turet yang boleh menembak ke arah musuh secara automatik.

Tetapi, apa yang peliknya konsep ini seakan menjadi tumpuan utama permainan ini, sekaligus mengapa saya menyatakan permainan ini asalnya dibangunkan sebagai permainan berbentuk strategi secara turutan. Ini kerana, jika pemain langsung tidak menggunakan gajet-gajet ataupun meletakkan sebarang perangkap, pemain langsung tidak berupaya untuk ‘terus hidup’ di dalam permainan ini. Tambahan itu, kebanyakkan had-had seperti pemain tidak berupaya untuk bergerak ketika memilih gajet dan kebanyakkan pemain perlu berada dalam keadaan statik untuk menghasilkan gajet tersebut dan sebagainya, membuatkan kenapa saya simpulkan permainan ini asalnya bukan adalah permainan aksi masa nyata.

Perkara seterusnya adalah bentuk selinap permainan ini yang agak mengecewakan. Ini kerana musuh-musuh yang berada di dalam permainan agak rawak dan pelik. Tidak seperti permainan selinap lain dimana penglihatan musuh agak nyata, yang mana mereka berupaya untuk mengesan musuh jika ternampak dan sebagainya. Tetapi melalui Left Alive ini, penglihatan musuh agak rawak akibat terdapat saat di mana musuh langsung tidak akan nampak pemain walaupun berada di depan pemain. Tetapi, terdapat juga saat di mana musuh berupaya untuk mengesan pemain, walaupun pemain berada di luar penglihatan musuh.

Bentuk yang rawak dan janggal ini bukan sahaja merosakkan bentuk selinap permainan ini, malah ianya terlalu menghukumkan pemain sehingga membuatkan permainan ini sukar untuk dimainkan. Tambahan itu, musuh-musuh di dalam permainan ini juga mempunyai sasaran yang sangat tepat. ini sekaligus jika pemain dikesan oleh musuh, pemain pasti akan mati akibat serangan bertubi-tubi oleh musuh.

Sememangnya ini bukanlah satu perkara yang pelik atas sebab sudah pasti musuh akan menyerang pemain jika dikesan, tetapi atas sebabkan perkara ini, ianya membuatkan pemain tidak mempunyai peluang untuk menang walaupun ditemui oleh musuh sekaligus merosakkan keseimbangan permainan ini.

Bercakap berkenaan itu, permainan ini juga mempunyai konsep persekitaran yang agak pelik. Sememangnya Left Alive bukanlah satu permainan dunia terbuka, namun ia masih meletakkan pemain di dalam satu kawasan yang luas. Peliknya, permainan ini seakan membahagi kawasan tersebut, ke bahagian yang berbeza. Ini kerana ketika saya ditemui musuh di satu kawasan ini, kawasan yang berada bersebelahan peta tersebut seakan tidak langsung menghiraukan saya. Walaupun musuh daripada kawasan lain menyerang saya bertubi-tubi, musuh-musuh yang terdapat di kawasan lain seolah tidak mengetahui bahawa saya ditemui oleh musuh.

Bukan setakat itu sahaja, permainan ini juga mempunyai bentuk mekanik selinap yang rosak sehinggakan ianya boleh dieksploitasi dengan menggunakan bom asap di mana musuh langsung tidak akan menemui pemain dan pemain berupaya untuk terus selinap di dalam pangkalan musuh tanpa dikesan. Namun, peliknya eksploitasi ini berkesan untuk sesuatu seketika sahaja dan terdapat saat di mana ianya tidak akan berjaya.

Tambahan itu, jika pemain dikesan oleh musuh ataupun membuat sebarang perangkap untuk mengalih perhatian musuh. Musuh-musuh yang terdapat di dalam permainan seolah tidak langsung menghiraukannya walaupun setelah beberapa minit mereka berada di fasa amaran. Ianya seolah mengingatkan saya ketika saya bermain permainan Metal Gear Playstation 1 dahulu yang mana mekanik selinap tersebut berasa sangat asas. Namun, bagi permainan Metal Gear, ianya boleh difahami akibat permainan tersebut dilancarkan pada tahun 1998. Namun, untuk Left Alive, ianya berasa agak pelik kerana ianya merupakan permainan yang dilancarkan bagi tahun 2019, lebih dari 20 tahun daripada permainan Metal Gear Solid tersebut.

Memandangkan permainan ini adalah permainan yang bertempatkan di dunia Front Mission, terdapat juga beberapa saat dimana pemain diberi peluang untuk mengendali dan memandu robot besar, Wanzer dan bertempur melaluinya. Bentuk ini pada pendapat saya tidaklah begitu menarik dan agak menyusahkan dari semasa ke semasa. Ini kerana, ketika mengendali Wanzer, bar nyawa tidak langsung disediakan, sekaligus pemain tidak tahu sama ada Wanzer tersebut akan rosak ataupun tidak dan perlu menunggu Koshka, iaitu watak kecerdasan buatan untuk memberitahu pemain.

Bukan setakat itu sahaja, kawalan ketika menaiki Wanzer juga berasa agak janggal dan rosak dimana dari semasa ke semasa untuk menyasarkan senjata ia agak pelik dan terlindung. Ini kerana ianya terlalu memfokuskan bentuk penembak pandang ketiga, dan pemain seolah tidak boleh menyasar dengan baik kerana badan Wanzer itu sendiri adalah sangat besar.

Pada masa yang sama pergerakkannya menjadi terhad dan pemain sukar untuk melihat kawasan mana yang pemain boleh bergerak memandangkan saiz Wanzer yang besar tersebut tidak mempunyai kebebasan yang sama dengan watak pemain ketika bergerak dengan kaki.

Perkara yang sangat saya benci adalah kedudukan musuh akan sentiasa berubah ketika pemain menaiki Wanzer dan berjalan kaki. Ini kerana jika pemain tiba-tiba turun daripada Wanzer, terdapat beberapa musuh yang muncul secara mengejut mengikut kawasan dan pemain akan terus dikesan oleh musuh. Ini sekaligus merosakkan keadaan permainan tersebut dan menghukum pemain.

Permainan ini juga menyertakan beberapa pertempuran bersama ketua musuh dan sebagainya, namun ianya tidaklah menyertakan sebarang bentuk yang berbeza malah kebanyakkan ketua musuhnya agak senang untuk dikalahkan terutamanya jika pemain mengetahui cara untuk mengeksploitasi permainan ini.

Kesimpulan

Apa yang saya boleh simpulkan untuk permainan Left Alive ini sememangnya mempunyai konsep yang menarik. Dari segi bentuk penceritaan dengan memfokuskan 3 watak bersama-sama penceritaan yang mendalam dengan isu politik bercabang, ianya semestinya mempunyai hasil produksi yang tinggi dan dibangunkan oleh pembangun yang sangat bersemangat untuk siri Front Mission ini.

Akan tetapi, bentuk permainannya terlampau teruk sehingga membuat kebanyakkan kawalan berasa agak janggal dan tidak boleh dimainkan langsung, merosakkan keseluruhan pengalaman permainan ini. Dicampurkan pula dengan bentuk selinap yang teruk dan tidak masuk akal, Left Alive berasa sangat rosak dan permainan yang tidak lengkap.

Permainan ini juga cuba untuk menjadi klon permainan Metal Gear, bukan sahaja dari segi visual dan bentuk permainan selinap. Namun, ianya gagal seteruknya dan permainan ini pasti adalah permainan paling teruk yang dimainkan saya untuk tahun ini.

Walaupun begitu, saya masih berharap agar Square-Enix untuk menghasilkan permainan teras Front Mission yang betul dengan bentuk strategi secara turutan yang baik. Sebagai peminat siri ini, saya sendiri berasa sangat kesal atas pelancaran permainan ini yang sangat mengecewakan.

Penafian: Kod Ulasan Left Alive Disediakan Oleh Sony Interactive Entertainment.

Sohor Kini