Capcom baru-baru tampaknya sering melancarkan permainan-permainan mereka berdasarkan hak intelek lama seperti Resident Evil dan juga Onimusha. Walaupun permainan Onimusha Warlords yang kami ulas sebelum ini tidaklah begitu menarik, namun Resident Evil 2 oleh mereka sememangnya antara permainan seram yang sangat menakjubkan.

Terkini, Capcom melancarkan satu lagi permainan daripada siri hak intelek lama mereka iaitu Devil May Cry 5 dimana ianya adalah kesinambungan kepada permainan Devil May Cry 4 yang 2008 lepas. Walaupun Capcom sebelum ini melancarkan permainan DmC: Devil May Cry pada tahun 2013 lepas, tetapi mari kita anggap perkara tersebut tidak berlaku dan memfokuskan permainan utama untuk siri Devil May Cry ini.

Devil May Cry 5 dilancarkan pada 8 Mac 2019 lepas dan ianya adalah satu permainan aksi di konsol Playstation 4, Xbox One dan PC. Meskipun begitu, adakah Devil May Cry 5 adalah satu permainan yang menarik setelah lebih dari 10 tahun ianya kembali? Ini adalah ulasan saya.

Cerita

Siri Devil May Cry sebelum ini tidaklah mempunyai penceritaan yang menakjubkan dan kebanyakkan penceritaannya agak mudah difahami dengan bentuk yang ringkas. Perkara yang sama boleh diperkatakan melalui Devil May Cry 5 kali ini.

Di mana seperti permainan sebelum ini, sekali lagi dunia diancam oleh musuh syaitan-syaitan yang tiba di bumi selepas pintu portal antara dunia syaitan dan bumi dibuka. Ini sekaligus meletakkan pemain bersama Dante dan Nero sekali lagi perlu menyelematkan daripada ancaman musuh syaitan tersebut.

Sememangnya secara asas penceritaan permainan ini adalah ringkas, namun ianya mungkin akan menjadi agak kompleks terutamanya buat mereka yang tidak pernah bermain permainan Devil May Cry sebelum ini akibat pelbagai watak yang diperkenalkan. Walaupun begitu, Capcom masih lagi menyertakan satu video khas ‘History of DMC’ secara bersama melalui permainan ini dimana ia menyaksikan beberapa penceritaan yang berlaku di permainan sebelum ini. Namun ianya agak ringkas dan tidaklah menyertakan penceritaan secara terperinci terutamanya apa yang berlaku di dalam Devil May Cry pertama.

Meskipun begitu, saya masih lagi menghargai apa yang Capcom cuba sampaikan melalui penceritaan Devil May Cry kali ini terutamanya dengan penyertaan video khas penceritaan ‘setakat ini’ tersebut dimana mereka juga menyertakan beberapa penceritaan daripada siri anime juga.

Seperkara lagi yang membuatkan permainan ini berasa agak janggal dari segi penceritaannya adalah ketika permulaan penceritaan ini, Devil May Cry 5 meletakkan pemain ditengah-tengah penceritaannya. Sekaligus, ia disampaikan dengan bentuk yang agak tidak teratur dengan banyak adegan imbas kembali. Terdapat juga misi imbas kembali yang pemain perlu lakukan sekaligus membuatkan penceritaannya lagi memeningkan.

Walaupun begitu, ianya tidaklah sukar untuk difahami kerana pada pertengahan permainan tersebut, penceritaannya diterangkan dengan baik sekali dan kemajuan setiap watak diperlihatkan dengan lebih jelas. Akan tetapi, dengan permulaan yang agak serabut, mungkin ramai akan membencinya dari segi penceritaan.

Namun, saya sendiri memahami kenapa Capcom berbuat demikian untuk penceritaan permainan ini di mana atas sebab utama, permainan ini memfokuskan 3 watak yang mempunyai penceritaan yang berbeza iaitu Nero, Dante dan juga V, watak baharu buat permainan ini.

Tidak seperti permainan Devil May Cry 4 sebelum ini di mana ia memfokuskan watak Nero dahulu dan setelah pemain menyelesaikan penceritaannya, pemain pula diberi peluang untuk bermain watak Dante dan mengetahui penceritaan sebaliknya. Namun, sebaliknya buat Devil May Cry 5 kali ini dimana permainan ini akan melompat antara ketiga-tiga watak tersebut. Ini kerana mereka ingin memfokuskan penceritaan sebalik dan saat ketika waktu lain ketika watak ini sedang dimainkan.

Contohnya, pada satu bahagian, permainan ini akan memfokuskan watak Nero dahulu, kemudian misi seterusnya pemain akan bermain watak V dan misinya akan memfokuskan waktu dan masa yang sama buat watak tersebut. Walaupun konsep ini agak menarik, namun cara penyampaiannya agak serabut pada pendapat saya.

Dari segi asasnya, saya memahami kenapa Capcom berbuat demikian akibat mereka ingin memfokuskan bentuk penceritaan yang lebih linear. Namun, dengan bentuk naratif yang sering melompat antara watak-watak yang berbeza, ianya agak kelam kabut terutamanya permulaan permainan ini.

Grafik

Penggunaan enjin permainan RE Engine semestinya adalah satu aset utama buat Capcom dimana enjin tersebut juga digunakan buat permainan Resident Evil sebelum ini. Jadi, ini adalah kali pertama enjin tersebut digunakan untuk permainan bukan dari siri Resident Evil. Semestinya ia membawa hasil yang sangat memuaskan dimana melalui Devil May Cry 5, visual grafiknya kelihatan sangat foto realistik.

Ini juga adalah kerana Capcom juga menggunakan model manusia nyata untuk menghasilkan 3D model bagi watak-watak yang terdapat di dalam permainan ini termasuklah model pakaian dan sebagainya. Apa yang saya boleh katakan adalah ini pilihan yang baik sekali untuk Capcom dan hasil kualiti model watak foto realistik yang dilakukan dengan sangat menakjubkan sekali.

Selain itu, pengguna enjin permainan ini juga memberi bentuk eskpressi muka yang sangat baik buat watak-watak yang terdapat di dalam permainan ini. Setiap eskpressi senyum, gelak sinis ataupun ketika mereka diserang oleh musuh, kesemuanya dihasilkan dengan begitu menawan sekali dan sangat nyata. Apa yang saya boleh katakan adalah permainan ini mempunyai visual paling mengagumkan sekali untuk siri permainan Devil May Cry.

Tambahan itu, saya juga sukai berkenaan permainan ini adalah rekaan persekitaran dan musuh-musuh syaitan yang dihasilkai. Sebagai pemain dan peminat siri Devil May Cry sebelum ini, saya juga amat hargai Capcom masih lagi menyertakan beberapa gaya dan rekaan asal daripada permainan sebelum ini. Walaupun musuh tersebut sememangnya bukan musuh yang sama, akan tetapi rekaan-rekaan seperti Hell Caina mengingatkan saya kepada Hell Pride dan juga musuh pahlawan seperti Angelo.

Seperkara lagi yang saya sangat sukai adalah permainan ini dimainkan dengan baik sekali melalui konsol Playstation 4 Pro dengan kadar bingkai sesaat sebanyak 60FPS. Nilai tersebut sememangnya adalah kemestian untuk permainan aksi sebegini dan sepanjang sesi permainan saya, saya tidak hadapi sebarang masalah dan ia kekal stabil dengan nilai tersebut sepanjang sesi permainan saya.

Audio

Kesempurnaan adalah ayat pertama yang saya ingin huraikan untuk bahagian audio untuk permainan Devil May Cry 5 ini. Bentuk audio muzik, suara latar dan sebarang bentuk bunyi dan galeri permainan yang terdapat di dalam permainan ini dihasilkan dengan begitu baik sekali.

Bagi anda yang pernah menonton video acah pengumuman pertama Devil May Cry 5 ketika E3 lepas, anda juga pasti akan menyukai muzik yang dihasilkan oleh Capcom iaitu Devil Trigger oleh Casey Edwards. Pada pendapat saya ianya adalah muzik terbaik buat siri Devil May Cry yang mana ianya tepat dengan tema dan bentuk permainan ini.

Disamping itu, apa yang saya sukai berkenaannya, memandangkan permainan ini memfokuskan bentuk serangan kombinasi berdasarkan gred berhuruf, ianya juga sedikit sebanyak memainkan peranan yang penting buat audio permainan ini. Ini kerana, jika pemain melakukan serangan kombinasi sehingga berkedudukan gred yang tinggi seperti gred huruf A ataupun paling tinggi, SSS, audio muzik latar permainan ini akan dimainkan berdasarkan gred tersebut. Lagi tinggi gred pemain, lagi kuat muzik tersebut dimainkan.

Dicampur dengan tema muzik bergenre rock, ini merupakan konsep yang sangat seronok untuk dimainkan dan pada masa yang sama menikmati muzik-muzik latar dengan begitu rancak sekali. Bentuk ini sudah pasti salah satu pengalaman yang saya tidak lupakan sepanjang bermain Devil May Cry 5 di mana sebab ini sahaja saya akan mengesyorkan anda untuk bermain permainan ini.

Dari segi suara latar watak, kesemua pelakon menghasilkan suara latar yang baik sekali terutamanya pelakon-pelakon watak yang kembali daripada siri permainan ini seperti Rueben Langdon dan Johnny Yong Bosh untuk suara latar Dante dan Nero. Tidak dilupakan juga beberapa watak yang kembali daripada permainan sebelum ini dimana saya tidak akan menyatakan nama mereka untuk mengelak daripada dibeber. Namun, setiap kali mendengar suara-suara watak tersebut, kenangan masa kanak-kanak saya dikenang kembali melalui permainan ini.

Kawalan Permainan

Jika anda pernah bermain permainan Devil May Cry sebelum ini, terutamanya Devil May Cry 4, tidak banyak yang Capcom ubah terutamanya buat watak Dante. Namun, bagi anda yang baru dengan siri ini, Devil May Cry 5 merupakan permainan aksi yang mana pemain berupaya untuk menyerang dengan pelbagai jenis senjata daripada senjata jarak dekat sehinggalah senjata jarak jauh.

Secara asasnya, permainan ini mempunyai 3 bentuk permainan yang berbeza memandangkan ianya memfokuskan 3 watak yang pemain boleh mainkan dan setiap satunya mempunyai bentuk permainan yang berlainan.

Seperti yang saya katakan di atas, untuk watak Dante, tidak banyak yang berubah berbanding permainan Devil May Cry 4. Dante sekali lagi berupaya untuk mengubah gaya pertempuran dengan menggunakan D-Pad dan keempat-empat gaya sebelum ini, Trickster, Royal Guard, Swordmaster dan Gunslinger kembali.

Melaluinya, pemain berupaya untuk memilih sebilangan jenis senjata dan setiap satunya mempunyai bentuk yang sangat berbeza. Antara senjata ikonik seperti senapang patah Coyote-A ataupun pedang Rebellion klasik Dante juga disertakan. Ini sekaligus, bentuk asas untuk pemain melakukan kombinasi serangan juga adalah sama. Contohnya seperti pemain menekan R1 bersama menolak analog ke hadapan dan menekan butang senjata jarak dekat untuk melakukan serangan Stinger dan Million Stab.

Sememangnya bentuk ini adalah tidak asing buat mereka yang pernah bermain permainan Devil May Cry sebelum ini dan sebagai seorang peminat siri ini, saya sangat hargai apa yang Capcom kekalkan untuk watak Dante. Akan tetapi, ini juga tidak bermakna Dante tidak mempunyai sebarang senjata baharu. Sepanjang pemain bermain permainan ini, pemain akan menyah-kunci beberapa senjata baharu seperti motosikal Cavaliere yang berupaya untuk mengubah kepada dua pedang gergaji besar.

Manakala watak Nero pula kali ini Capcom mengubah beberapa aspek utama bentuk kawalannya. Sebelum ini melalui Devil May Cry 4, pemain diperkenalkan senjata tangan Nero, Devil Brienger yang mana ia berupaya untuk menangkap musuh dan melakukan pelbagai lagak aksi tangkapan. Namun, memandangkan Devil May Cry 5 tidak lagi menyertakan tangan tersebut, Capcom kali ini memperkenalkan satu tangan prostetik buat Nero yang dipanggil Devil Breaker.

Devil Breaker merupakan set kelengkapan tangan prostetik buat Nero dan terdapat pelbagai jenis rekaan yang berbeza yang pemain boleh gunakan. Antara kesukaan saya adalah Devil Breaker berdasarkan senjata Mega Man, iaitu Mega Buster. Akan tetapi dukacitanya Devil Breaker tersebut adalah buat mereka yang memiliki edisi Deluxe sahaja.

Walaubagaimana pun ini tidak bermakna Devil Breaker yang disediakan adalah sedikit, tidak sama sekali. Terdapat 8 asas Devil Breaker yang pemain boleh gunakan dimana setiap satunya mempunyai fungsi yang berbeza. Ini merupakan satu konsep yang sangat menarik dimana Devil Breaker yang pemain gunakan membuka pelbagai bentuk permainan yang berbeza.

Contohnya seperti Devil Breaker Ragtime, pemain berupaya untuk memperlahankan masa musuh. Ini bukan sahaja memberi peluang untuk menyerang musuh dengan lebih mudah, malah ianya juga membantu ketika pemain ingin melompat dan mengelak beberapa penghalang platformer yang terdapat di dalam permainan ini.

Terdapat juga beberapa Devil Breaker yang berupaya untuk meningkatkan serangan Nero dan pada masa yang sama juga meningkatkan nilai nyawa pemain. Ini juga boleh dijadikan seakan satu bentuk ubat yang pemain boleh gunakan untuk menyembuh nilai nyawa Nero.

Akan tetapi, Devil Breaker tersebut juga mempunyai had penggunaannya dimana ianya boleh rosak jika diserang ataupun pemain boleh menghancurkannya untuk mengelak daripada diserang oleh musuh. Walaupun begitu, Devil Breaker tersebut boleh dibeli kemudian ataupun dikutip di tepi jalanan.

Selain itu, senjata ikonik pistol Blue Rose milik Nero bersama pedang Red Queen daripada Devil May Cry 4 juga kembali. Melaluinya, segala fungsi sebelum ini seperti pengecasan Rev Exceed dan Charge Shot oleh Nero juga kembali. Sekaligus bentuk asas watak Nero juga tidak diubah dengan begitu berbeza berbanding permainan sebelum ini.

Akhir sekali, semestinya adalah watak baharu untuk permainan ini iaitu V. Apa yang membuat V ini berbeza dengan watak lain adalah bentuk serangannya adalah memfokuskan beliau untuk memanggil pemanggil makhluk syaitan lain. Terdapat 3 makhluk utama iaitu Griffon, sebuah burung yang berkuasa jarak jauh, Shadow iaitu seekor harimau kumbang yang memfokuskan jarak dekat dan akhir sekali Nightmare, iaitu satu makhluk berkuasa kuat yang V boleh panggil dengan menggunakan bar Devil Trigger.

Bentuk kawalan V sememangnya membuatkan Devil May Cry 5 begitu unik sekali. Ini kerana tidak seperti watak Nero dan Dante, serangan V lebih kepada memfokuskan bentuk serangan pihak ketiga. Ini sekaligus pemain hanya memberi arahan sahaja untuk ketiga-tiga makhluk tersebut untuk menyerang.

Namun, memandangkan pemain memberi arahan kepada makhluk tersebut, terdapat juga jarak antara tindak balas mereka dan ketika pemain mengelak serangan musuh, pemain tidak boleh mengarah mereka untuk menyerang. Ini semestinya memberi satu bentuk ‘kelemahan’ buat watak V dan pemain tidak boleh mengeksploitasi bentuk kawalannya. Walaupun begitu, Capcom masih lagi tidak memotong interaksi serangan tersebut antara V dan musuh kerana untuk membunuh musuh, V masih lagi perlu membunuhnya dengan menggunakan tongkat.

Ini sekaligus membuka satu bentuk kawalan yang sangat berlainan daripada siri permainan Devil May Cry yang lain dan pasti adalah bentuk aksi terbaik untuk permainan bergenre ini. Selain itu, seperti permainan siri sebelum ini, pemain juga berupaya untuk membeli set-set kemahiran baharu ataupun membeli senjata Devil Breaker untuk watak Nero melalui kedai yang terdapat di dalam permainan.

Secara asasnya, watak Nico, iaitu pembina senjata merupakan kedai utama yang terdapat di dalam permainan ini dan pemain boleh membeli barangan disitu dengan menggunakan mata wang Red Orb yang pemain dapatkan setiap kali membunuh musuh ataupun mengutipnya di jalanan. Terdapat juga beberapa Orb lain seperti Blue Orb untuk tingkatkan nilai nyawa pemain dan juga Purple Orb untuk tingkatkan nilai Devil Trigger untuk watak-watak tersebut.

Bercakap berkenaan kandungan yang pemain perlu beli, Capcom juga menyediakan satu bentuk mikro-transaksi dimana pemain berupaya untuk membeli Red Orb ataupun Blue Orb untuk digunakan seperti apa yang saya terangkan di atas. Namun, pada pendapat saya fungsi ini tidaklah memberi kesan yang tinggi buat bentuk permainannya dan pemain tidaklah dipaksa untuk membelinya dimana kesemua Orb tersebut boleh didapatkan melalui permainan ini sendiri.

Menariknya apa yang saya lihat melalui Devil May Cry 5 kali ini adalah segala ubat untuk menyembuh pemain tidak lagi disediakan. Dimana sebelum ini pemain berupaya untuk membeli Orb seakan ubat ‘Potion’ untuk menyembuh pemain jika pemain dikalahkan oleh musuh. Namun kali ianya tidak lagi disediakan.

Tambahan itu, Secret Mission ataupun misi rahsia juga kembali dimana pemain perlu mencarinya di kawasan yang tersembunyi. Seperti biasa, misi-misi ini menyediakan beberapa cabaran buat pemain dan bagi pemain yang berjaya melengkapnnya, permainan ini akan menyedia sebilangan ganjaran untuk pemain dapatkan.

Selain itu, konsep perkongsian Red Orb juga agak memeningkan bagi saya. Seperti yang saya terangkan di atas, permainan ini banyak melompat antara watak disebabkan bentuk naratifnya yang agak janggal dicampur terdapat pelbagai adegan imbas kembali. Ini sekaligus menyebabkan pemain perlu sering membeli set-set kemahiran yang berbeza untuk setiap watak dan apabila misi seterusnya pemain akan menggunakan watak lain, ia berasa agak menjengkelkan memandangkan pemain sudah membeli set kemahiran tersebut dan tidak boleh digunakan untuk misi seterusnya.

Seperkara yang agak pelik bagi saya adalah permainan ini mempunyai beberapa skrin pemuatan yang agak kerap. Sememangnya jumlah masa yang dimuatkan tidaklah begitu lama. Namun, ianya masih lagi memberi kesan terutamanya untuk permainan pantas seperti ini. Dicampur pula setiap kali adegan permainan skrin menjadi gelap seketika, ianya agak memotong pengalaman sesi permainan saya.

Mod Tambahan

Menariknya, Devil May Cry 5 kali ini juga menyertakan beberapa mod tambahan terutamanya mod multi-pemain yang mana pada pendapat saya merupakan satu konsep yang sangat menarik oleh Capcom.

Secara asasnya, permainan ini tidaklah mempunyai bentuk multi-pemain yang berfungsi ataupun berkait rapat dengan bantuk permainan. Ini kerana bentuk ini tidaklah memberi kesan utama di dalam permainan ini dimana ianya lebih memfokuskan bentuk seakan bentuk koperasi. Apa yang berlaku di dalam mod mutli-pemain ini adalah ketika pemain berada di dalam sesuatu misi yang terpilih, permainan ini akan meletakkan pemain dengan pemain lain secara automatik di satu kawasan yang sama.

Namun, ini tidak bermakna pemain boleh berinteraksi dengan pemain lain, sayang sekali tidak. Kerana kebanyakkan sesi multi-pemain tersebut pemain akan berada di latar belakang sahaja, memandangkan ianya berkait rapat dengan penceritaan yang berlaku di sebalik watak-watak lain seperti mana yang diterangkan oleh saya sebelum ini, sekaligus pemain boleh melihat sahaja pemain-pemain lain bertempur dengan musuh-musuh.

Menariknya, setelah pemain tamat misi tersebut, pemain juga boleh mengulas tahap ‘Stylish’ gaya pemain lain. Akan tetapi, fungsi ini tidaklah memberi sebarang ganjaran mahupun apa-apa yang mengembangkan lagi bagi bentuk permainannya

Dari segi mod lain, permainan ini juga menyertakan beberapa mod galeri, yang membolehkan pemain untuk melihat video-video adegan, karya-karya konsep seni dan sebagainya. Ini juga memberi peluang buat pemain untuk melihat proses pembangunan permainan ini dan melihat senarai kostum dan senjata dengan lebih terperinci. Fungsi ini sememanya amat berguna terutamanya buat mereka yang berminat untuk melakukan Cosplay buat watak-watak tersebut. Mod foto juga disediakan, namun ianya tidaklah mempunyai sebarang tetapan yang pelbagai dan agak terhad dari segi gaya tangkapan gambarnya.

Menariknya juga, bagi mereka yang mempunyai edisi Deluxe permainan ini, Capcom juga menyediakan beberapa fungsi menarik seperti keupayaan untuk menukar adegan permainan kepada bentuk adegan yang masih dalam pembangunan. Bagi yang tidak mengetahui, fungsi ini adalah jenaka yang dilakukan oleh Capcom sebelum ini di dalam permainan Devil May Cry 3: Dante’s Awakening dimana mereka menyediakan bonus ini buat mereka yang melengkapkan permainan tersebut. Namun, untuk membayarnya sebanyak RM58 untuk dinaikkan taraf kepada edisi biasa ke edisi Deluxe, ianya pada pendapat saya amat berbaloi, sebagai seorang peminat siri Devil May Cry. Akan tetapi, untuk anda yang baru dengan siri, ianya mungkin berasa agak tidak berbaloi.

Selain itu, pemilik edisi Deluxe juga dapat mengubah muzik-muzik yang terdapat di dalam permainan ini kepada muzik-muzik daripada permainan sebelum ini. Terdapat pelbagai muzik dan tetapan yang boleh pemain lakukan seperti mengubah muzik ketika pemain menggunakan Dante, kepada muzik Nero ataupun mengubah suara-suara ketika kombinasi serangan diumumkan dan sebagainya.

Mod terakhir sekali yang mana pada pendapat saya adalah mod paling penting sekali untuk permainan ini adalah mod The Void. Mod ini sememangnya amat berguna terutamanya buat mereka yang ingin berlatih melakukan pelbagai serangan kombinasi buat ketiga-tiga watak tersebut. Selain itu, pemain juga berupaya untuk memilih tetapan yang berbeza untuk watak mahupun musuh dimana ianya sekaligus memberi lebih banyak cabang latihan yang pemain boleh lakukan.

Kesimpulan

Tuntasnya, Devil May Cry 5 adalah satu permainan aksi yang sangat baik sekali. Capcom tampaknya berjaya membawa kembali citarasa apa yang membuatkan siri tersebut unik dan pada masa yang sama seronok untuk dimainkan.

Dicampur dengan kepelbagaian yang tersedia melalui 3 watak yang berbeza, permainan ini sememangnya mengembangkan permainan berbentuk aksi kepada satu bentuk yang sempurna. Tambahan itu, bentuk kombinasi serangan dicampur dengan muzik rock yang menyegerak bersamanya, ianya pasti membuat saya berasa sangat seronok setiap kali saya melakukan serangan terhadap musuh. Semestinya kesan ini juga membuatkan saya ingin terus bermain permainan ini tanpa henti dan terokai pelbagai jenis serangan kombinasi yang menarik dapat dilakukan oleh Nero, Dante dan V.

Walaupun cara penyampaian penceritaannya yang tidak mengikut turutan pada awal permainan bersama dengan skrin pemuatan yang agak kerap, ianya tidaklah memberi kesan yang terlalu teruk buat keseluruhan penceritaannya dan buat peminat siri Devil May Cry pasti akan menghargai apa yang Capcom bawakan kali ini.

Semestinya apa yang saya boleh simpulkan adalah Devil May Cry 5 merupakan permainan Devil May Cry terbaik oleh Capcom dan ia juga adalah permainan aksi terbaik setakat ini.

Penafian: Kod Ulasan Devil May Cry 5 disediakan oleh Capcom

Sohor Kini