Skip to main content

BoBoiBoy adalah animasi 3D yang dihasilkan oleh Animonsta Studios, iaitu studio dari negara kita sendiri – Malaysia. Animasi ini mula disiarkan kepada awam bermula Mac 2011. Selepas 5 tahun animasi ini disiarkan di pelbagai platform, tahun 2016 filem pertama dihasilkan – BoBoiBoy The Movie dan ia mendapat sambutan yang agak baik.

Tahun lepas, Animonsta Studios telah hadir dengan poster baru yang memperlihatkan filem kedua buat animasi 3D ini – BoBoiBoy Movie 2. Beberapa hari lepas, akhirnya video acah pertama buat filem ini diterbitkan. Daripada video acah tersebut, ia dilihat bukanlah sekuel yang bersambung terus dari filem pertama. BoBoiBoy nampaknya kembali beraksi di angkasa dengan musuh baru – Retak’ka.

Dalam artikel ini, akan kami kongsikan kenapa Retak’ka adalah musuh BoBoiBoy paling berkuasa.

Pada mula video acah, Koko Ci telah memberi amaran yang stesen pangkalan mereka diserang. Musuh yang menyerang adalah Retak’ka. Retak’ka dilihat memburu BoBoiBoy dan ingin mengambil kuasa BoBoiBoy kerana mendakwa kuasa itu adalah miliknya. Kuasa yang didakwa adalah ‘Kuasa Elemental‘. Kita sudah tahu yang BoBoiBoy mempunyai kuasa berasaskan alam, seperti; Petir, Angin, Tanah, Api, Air, Daun dan Cahaya – atau kuasa paling hebatnya ‘BoBoiBoy Kuasa Tujuh’. Tetapi, dalam video acah – BoBoiBoy dilihat hanya menggunakan ‘Kuasa Lima’ sahaja.

Retak’ka dilihat turut mempunyai kuasa yang serupa tetapi mungkin lebih berkuasa. Dalam video acah, Retak’ka dilihat mampu merampas kuasa BoBoiBoy dan serap ke dalam diri beliau. Selain, itu turut kelihatan Retak’ka bergerak dengan pantas – adakah Retak’ka telah merampas kuasa Yaya? Retak’ka turut dilihat menyebut ‘Kuasa Elemental’ sebelum menggunakan kuasa beliau. Ini adalah mirip dengan BoBoiBoy dalam BoBoiBoy Galaxy yang kerap menyebut ‘Kuasa Elemental’ sebelum mengaktifkan kuasa beliau. Tetapi dalam ancaman atau keadaan terdesak, BoBoiBoy hanya perlu sebut nama kuasa beliau sahaja.

Apakah filem ini akan penuh dengan kejutan? Mampukah BoBoiBoy tumpaskan Retak’ka? Saksikan sahaja filem ini di pawagam kelak. Filem ini akan ditayangkan pada sekitar bulan Ogos hingga September, waktu cuti sekolah. Tarikh rasmi akan diumumkan kelak.

Leave a Reply