Seperti kita sedia maklum, Google sudah mengumumkan Project Stream yang merupakan perkhidmatan penstriman untuk permainan video mereka sendiri. Mereka kemudiannya mengumumkan bakal memperlihatkan sesuatu semasa GDC 2019 kelak.
Pengumuman tersebut tidak menjelaskan tahap penglibatan mereka, adakah sekadar penyedia kemudahan penstriman ataupun akan menyediakan sendiri perkhidmatan penstriman. Namun, hari ini berdasarkan dokumen paten yang difailkan oleh Google sendiri, tampaknya mereka sendiri akan mengeluarkan perkhidmatan tersebut.
Dokumen paten tersebut memperlihatkan rekaan alat kawalan yang akan digunakan bersama dengan perkhidmatan mereka. Menariknya, berdasarkan dokumen tersebut, mereka mengatakan alat kawalan tersebut boleh digunakan bersama dengan TV, tablet ataupun telefon pintar. Adakah Google tidak akan mengeluarkan konsol untuk perkhidmatan ini?
Kita mungkin akan mendengar lebih lanjut mengenai perkara ini di acara GDC 2019 yang bakal berlangsung pada minggu hadapan.