Minggu lepas Will Smith telah disahkan tidak lagi akan berlakon sebagai Deadshot dalam filem Suicide Squad 2. Filem Suicide Squad 2 akan diarahkan oleh James Gunn yang sebelum ini mengarah Guardians of the Galaxy.
Laporan awal mengatakan Don Cheadle yang sebelum ini berlakon sebagai War Machine dalam filem-filem MCU dikatakan adalah calon Deadshot baru, namun itu hanyalah ura-ura dan Don sendiri menafikannya. Terkini, Idris Elba adalah calon seterusnya. Idris Elba juga sebelum ini pernah berlakon dalam filem-filem MCU sebagai Heimdall – tetapi telah mati dalam Avengers: Infinity War. Menurut sumber, Idris Elba dan James Gunn telah pun bertemu dan berbincang akan hal ini.

Mengejutkan, sumber turut mengatakan Joel Kinnaman yang berlakon sebagai Rick Flagg besar kemungkinan tidak lagi terlibat dengan filem ini. Tiada berita lagi mengenai siapakah pengganti Rick Flagg. Tetapi, Margot Robbie dikatakan akan teruskan lakonan beliau sebagai Harley Quinn dalam filem ini.
Tidak dinafikan yang filem DCEU sedikit kucar-kacir. Baru sahaja beberapa filem, sudah banyak pelakon asal tidak lagi terlibat. Apa-apa pun sama-sama kita nantikan informasi lanjut buat filem Suicide Squad 2 arahan James Gunn.