Antara permainan yang menjadi kegilaan ramai dengan bentuk permainan yang sangat sukar, semestinya permainan keluaran From Software, iaitu Dark Souls. Mereka kemudiannya bekerjasama bersama Sony untuk melancarkan Bloodborne di Playstation 4 pada 2015 lepas. Permainan-permainan mereka menjadi satu ikon bentuk aksi pengembaraan yang sangat sukar sehingga menjadi satu ikutan ramai oleh peminat.
Terkini, dengan kerjasama bersama Activision, From Software bakal melancarkan satu lagi permainan yang bergenre hampir sama iaitu Sekiro: Shadows Die Twice dan ia bakal tiba 22 Mac ini di Playstation 4, Xbox One dan PC.
Bersempena dengan pelancarannya yang semakin hampir, saya berpeluang untuk mencuba permainan tersebut sekitar 3 jam pada Februari di acara sesi media oleh Sony. Melaluinya, Sony menyediakan dua demo untuk saya cuba dimana saya sempat mencuba 1 jam pertama permainan tersebut dan juga sekitar 2 jam untuk bentuk permainan ketika hampir pertengahan permainan ini.
Perkara pertama yang pasti saya perlu kemukakan adalah permainan ini sememangnya sangat sukar. Ketika demo yang disediakan, saya sendiri menghadapi cabaran untuk cuba melengkapkan misi yang diberi. Walau bagaimana pun, ini adalah pandang pertama saya untuk Sekiro: Shadows Die Twice.
Cerita
Seperkara yang saya sangat sukai berkenaan Sekiro: Shadows Die Twice ini ketika saya mencubanya Februari lepas, ianya mempunyai satu penceritaan yang lengkap dengan pembukaan yang sangat menarik. Melalui permainan ini, anda akan bermain sebagai Wolf (Ataupun Okami dalam bahasa Jepun) iaitu seorang Shinobi dimana beliau secara asasnya adalah pengawal untuk seorang putera ataupun Tuan klan.

Penceritaannya bermula dimana pemain ataupun Okami itu sendiri gagal di dalam misinya sekaligus membuatkan Okami bersembunyikan diri daripada dunia. Namun, seketika itu Okami diserang oleh penjahat dan tangannya dipotong oleh penjahat tersebut. Sekaligus, ketika Okami terjaga dari pengsan, tangannya dipasang dengan tangan prostetik oleh seorang pemahat. Secara asasnya, itu adalah penceritaan awal permainan ini.
Dengan bertempatkan di era kuno Sengoku Jepun, Sekiro: Shadows Die Twice sememangnya berkait rapat dengan pelbagai jenis senjata dan budaya Jepun dan pasti buat mereka yang meminati permainan bergenre ini akan menyukainya.

Pada pendapat saya ini adalah satu perkara yang menarik memandangkan permainan-permainan From Software sebelum ini lebih memfokuskan bentuk penceritaan melalui kisah sebalik dan sering tidak diperkongsikan melalui adegan permainan. Melalui Sekiro: Shadows Die Twice ini, bentuk penceritaan yang mempunyai adegan adalah sesuatu yang pasti ramai pemain akan hargainya.
Grafik dan Visual
Hasil kualiti visual permainan oleh From Software semestinya tidak pernah mengecewakan. Ketika saya bermain permainan ini di Playstation 4 Pro, ianya dimainkan dengan baik sekali dengan kadar bingkai sesaat sehingga 60fps.

Dari segi aspek lain, visual permainan ini sememangnya adalah sangat menawan. Jika anda pernah bermain permainan seperti Dark Souls mahupun Bloodborne, tidak banyak perkara yang saya boleh katakan kerana kualitinya sudah berada di tahap yang bagus.
Namun, apa yang berlainan berkenaan permainan ini berbanding lain adalah ianya bertemakan di persekitaran Jepun. Sekaligus, ianya membuka banyak bentuk laluan yang menarik memandangkan Okami berupaya untuk melompat dan cangkuk ke kawasan tinggi dan ia membuka ruang persekitaran visual yang sangat cantik sekali.

Dari segi aspek visual model watak, tidak banyak yang saya boleh katakan memandangkan tidak banyak adegan yang dipertontonkan saya dan sememangnya saya hanya bermain sekitar 3 jam sahaja permainan ini. Namun, untuk tahap kualiti From Software, saya berasa anda pasti akan berpuas hati dengan apa yang dipaparkan oleh mereka kali ini.
Kawalan Permainan
Sememangnya perkara yang pasti membuat peminat diluar sana menantikan adalah bentuk dan kawalan permainan Sekiro: Shadows Die Twice ini. Apa yang saya boleh katakan seperti di atas adalah, permainan ini adalah sangat sukar.
Cabaran yang terdapat di dalam permainan ini mengingatkan saya ketika pertama kali saya bermain Dark Souls dan Bloorborne. Setiap kali saya menyerang, mengelak ataupun bergerak, kesemuanya perlu tumpuan yang lebih akibat terdapat saat di mana pemain mungkin akan diserang oleh musuh yang sangat kuat dan pasti akan membunuh anda jika diberi peluang.

Secara asasnya, permainan ini adalah permainan aksi pengembaraan yang memfokuskan bentuk pertempuran jarak dekat. Memandangkan pemain adalah seorang Shinobi, pemain akan sentiasa bertempur dengan menggunakan pedang Katana.
Namun, apa yang menariknya berkenaan Sekiro: Shadows Die Twice ini adalah tangan prostetik Okami tersebut dimana pemain berupaya untuk mengubah-suainya dengan kelengkapan berbeza. Sepanjang sesi permainan, pemain berupaya memakai 3 jenis kelengkapan yang berbeza dalam masa serentak.

Oleh itu, pemain perlu memilih kombinasi kelengkapan senjata yang mana pemain ingin gunakan. Ketika saya bermain sesi demo ini, saya sempat menggunakan empat sahaja iaitu Shuriken, kapak, lembing dan satu bentuk obor yang pemain boleh membuat serangan api. Namun, penggunaan tangan prostetik itu juga adalah terhad dimana setiap kali pemain menggunakannya, ianya memerlukan ‘Spirit Emblems’. Ini sekaligus menghasilkan bentuk strategi dan taktikal untuk pemain kerana pemain perlu menjimat dengan bijak memilih bila untuk menggunakannya. Spirit Emblems tersebut boleh diperoleh oleh musuh ataupun membelinya di kedai yang tersedia di dalam lokasi permainan tersebut.
Kombinasi serangan antara pedang katana pemain dan tangan prospetik tersebut memainkan peranan penting untuk pemain berjaya melakukan serangan dan juga pada masa yang sama cuba untuk mengelak daripada serangan musuh. Ini kerana, jika pemain diserang oleh mereka, nilai nyawa yang ditolak adalah sangat banyak dan ia sememangnya sangat menghukumkan pemain. Walaupun pemain bertempur dengan penjahat biasa, pemain perlu sentiasa berhati-hati kerana sebarang pilihan lewa yang pemain lakukan pasti akan menyebabkan kematian.

Seperti permainan From Software sebelum ini, pemain berupaya untuk mengelak serangan musuh dengan bergolek ataupun melompat. Permainan ini juga mengenalkan fungsi menepis serangan musuh. Fungsi ini juga menggunakan bar khas di mana jika pemain terlalu berharap dengan tepisan tersebut, pemain akan terkaku seketika. Selain daripada menepis, pemain juga boleh menyerang balas musuh. Namun ia perlu dilakukan tepat mengikut masa dan saat musuh menyerang di mana saya sendiri menghadapi masalah untuk melakukan serangan balas tersebut.
Seperti kebanyakkan permainan aksi lain, Sekiro: Shadows Die Twice ini juga menyertakan kemahiran pokok yang pemain boleh belajar. Kemahiran ini terbahagi kepada dua iaitu kemahiran bertempur dan juga kemahiran Ninjutsu. Setiap satunya mempunyai fungsi yang berbeza dan ia pasti akan membantu pemain untuk bertempur dengan lebih senang. Ini juga membuka lagi banyak bentuk pertempuran yang menarik untuk pemain gunakan seperti kombinasi serangan pedang berlainan dan juga meningkatkan pelbagai status pemain seperti nyawa, nilai ubat penyembuh dan sebagainya.
Dari segi pengembaraan dan pergerakkan, Sekiro: Shadows Die Twice ini membuatkan saya teringat akan permainan oleh From Software sebelum ini, iaitu Tenchu. Memandangkan pemain bermain sebagai seorang Shinobi, ataupun Ninja, permainan ini juga banyak memfokuskan bentuk selinap dan sembunyi.
Ini sekaligus juga membolehkan pemain untuk menyerang hendap musuh dan juga bersembunyi jika pemain dikejar oleh musuh. Selain itu, pemain juga berupaya untuk memasang telinga dan mendengar perbualan musuh. Ini juga membolehkan pemain untuk mengetahui lokasi rahsia ataupun musuh yang bakal pemain tempuhi.

Bentuk pergerakkan utama yang berbeza permainan ini berbanding Bloodborne dan Dark Souls adalah keupayaan untuk bercangkuk. Ini membuka ruangan kebebasan buat pemain dengan lebih luas dimana pemain berupaya untuk bercangkuk ke udara dan memanjat bangunan, pokok dan sebagainya. Bentuk ini juga memberi peluang untuk pemain larikan diri daripada musuh dan sememangnya itu adalah perkara yang sering dilakukan oleh saya atas sebab musuh tersebut terlalu mencabar.
Selain itu, seperti biasa, patung pemahat atau ‘Sculptor Dolls’ di dalam permainan ini adalah ibarat Bonfire di dalam permainan Dark Souls dimana ianya akan menyembuh pemain namun jika pemain berehat disitu, musuh-musuh yang pemain tewaskan akan dihidupkan semula. Selain itu, permainan ini juga mempunyai satu fungsi untuk pemain ‘menghisap’ barangan yang dijatuhkan oleh musuh. Ini mengingatkan kami bentuk seakan Onimusha sebelum ini. Namun, pemain masih lagi boleh bergerak ketika melakukan perkara tersebut, tidak seperti Onimusha.
Tambahan itu, seperti nama tajuk permainan ini, ‘Shadows Die Twice’ pemain juga diberi peluang untuk ‘mati’ dua kali. Ini bermakna, jika pemain tewas sekali oleh musuh, pemain diberi pilihan untuk hidup semula dan terus kembali melawan musuh tersebut.

Dari segi aspek lain, tidak banyak yang sempat saya mencuba ketika bermain permainan ini. Namun apa yang saya boleh katakan buat mereka yang tidak mahir dengan permainan begini, From Software juga menyertakan satu mod atau bentuk latihan dimana pemain boleh berlatih bertempur dengan musuh. Ini merupakan satu fungsi yang saya sangat sukai dimana ianya memberi peluang kepada pemain yang kurang mahir seperti saya untuk berlatih. Walaupun begitu, mod latihan tersebut tidaklah begitu mendalam dan ianya hanya memfokuskan dengan pemain bertempur dengan seorang watak sahaja.
Kesimpulan
Apa yang saya boleh kongsi sepanjang 3 jam saya bermain Sekiro: Shadows Die, ini adalah permainan yang sangat sukar. Bukan sahaja saya menghadapi masalah untuk bertempur musuh penjahat biasa, malah ketika saya bermain permainan ini, saya diberitahu bahawa saya langsung tidak berkesempatan untuk berjumpa dengan ketua musuh utama.
Saya akui, yang mana permainan bergenre ini bukanlah kemahiran saya namun bagi anda yang menyukai permainan sukar seperti ini, saya boleh katakan ini adalah permainan yang pasti akan membuat anda puas hati dengan hasil kualiti yang dilakukan oleh From Software kali ini.
Dengan bentuk permainan Shinobi yang menarik dengan pelbagai jenis serangan dan kemahiran bersama elemen penceritaan yang menarik. Saya pasti Sekiro: Shadows Die Twice akan menjadi satu lagi permainan ikon untuk From Software.

Bagi anda yang berminat dengan permainan ini, Sony sebelum ini mengumumkan bahawa mereka akan mengeluarkan permainan ini di pasaran Malaysia dengan pelbagai edisi. Permainan ini akan dijual bermula RM199 untuk harga digital.
Sekiro: Shadows Die Twice bakal tiba 22 Mac 2019 ini di Playstation 4, Xbox One dan PC.