Thurrot hari ini melaporkan yang Microsoft bakal mengeluarkan konsol baharu, namun ia bukanlah konsol generasi baharu sebaliknya Xbox One S tetapi versi digital sahaja di mana pemacu optik tidak akan disertakan di konsol tersebut.
Kisah cinta antara Xbox One dan digital bukanlah sesuatu yang baharu. Mereka mempunyai pelbagai perkhidmatan yang memfokuskan digital seperti Xbox Game Pass. Menariknya, laporan tersebut juga mengatakan yang jika anda memiliki permainan Xbox One di dalam bentuk fizikal, anda boleh menukarnya ke versi digital untuk digunakan di konsol ini. Perkara ini adalah seperti yang diumumkan pada awal pengumuman Xbox One di mana pemain yang memiliki fizikal akan turut mendapat versi digital.
Sasaran untuk konsol baharu ini adalah merendahkan harga sehingga $100(~RM400) yang akan menjadikan konsol tersebut dijual dengan harga $200(~RM817) atau lebih murah. Ini adalah satu perkara yang menarik, namun buat pengguna di Malaysia, konsol digital sahaja bukan pilihan yang bersesuaian.