Seperti yang dilaporkan oleh kami sebelum ini, Devil May Cry 5 bakal menyertakan adegan aksi nyata khas buat mereka yang memiliki permainan tersebut melalui edisi Deluxe.
Terkini, Capcom akhirnya memperlihatkan video acah untuk adegan tersebut yang mana ianya memperlihatkan kandungan-kandungan adegan tersebut.
Jika anda pernah bermain permainan Devil May Cry 3: Dante’s Awakening, anda pasti mengetahui kandungan bonus yang disertakan melalui permainan tersebut yang memperlihatkan sebilangan adegan permainan dengan adegan aksi nyata. Adegan-adegan tersebut asalnya merupakan adegan percubaan yang dilakukan oleh Capcom untuk tujuan pembangunan.
Tampaknya, kini melalui Devil May Cry 5, Capcom bakal menyertakan sebagai satu kandungan bonus khas buat pemain. Menariknya, berdasarkan kenyataan Capcom, bagi mereka yang memiliki edisi Deluxe permainan ini, mereka berupaya untuk menukar keseluruhan adegan permainan tersebut kepada adegan aksi nyata di atas.
Sememangnya ini merupakan satu kandungan parodi dan sangat menarik terutamanya buat mereka yang meminati siri Devil May Cry ini. Walaupun begitu, kami agak kecewa kerana Capcom tampaknya tidak memperlihatkan pelakon suara latar asal untuk watak-watak Devil May Cry seperti Reuben Langdon dan Johnny Yong Bosch. Namun memandangkan ini hanyalah video acah sahaja, mungkin juga kandungan akhir selepas ianya dilancarkan, mereka bakal disertakan. Kami pasti akan mengemaskininya setelah ianya dilancarkan kelak.
Devil May Cry 5 akan dilancarkan di Playstation 4, Xbox One dan PC pada 8 Mac 2019 ini.