Informasi Permainan Video Terkini
Pandang Pertama Days Gone – Permainan Dunia Terbuka Zombi Yang Berpotensi Untuk Menjadi Menarik

Pandang Pertama Days Gone – Permainan Dunia Terbuka Zombi Yang Berpotensi Untuk Menjadi Menarik

Diterbitkan pada Mac 6, 2019 oleh .

Pada Februari lepas, saya berkesempatan untuk mencuba permainan akan datang oleh Bend Studio, iaitu Days Gone dimana ianya adalah permainan dunia terbuka zombi yang bakal tiba secara eksklusif di Playstation 4 pada 26 April ini.

Ketika sesi pandang pertama tersebut, saya berpeluang untuk bermain sekitar 3 jam pertama Days Gone dan mengembara dengan menaiki motosikal, Drifter Bike bersama Deacon. Sememangnya permainan ini adalah satu lagi permainan pertahanan hidup zombi yang dengan konsep dunia terbuka, namun adakah ianya adalah satu permainan yang menarik? Ini adalah pandang pertama saya.

Cerita

Perkara pertama yang saya ingin fokuskan berkenaan permainan ini adalah penceritaannya yang mana saya berasa ianya adalah aspek utama yang membuatkan permainan ini sangat menarik. Tidak dapat dinafikan, permainan pihak pertama oleh Sony baru-baru ini tampaknya memfokuskan bentuk permainan secara solo dan semestinya Days Gone merupakan salah satu daripadanya.

Days Gone meletakkan pemain bermain sebagai Deacon St. John, iaitu seorang pemburu selepas dunia di serang dengan pandemik yang menjadi manusia bertukar kepada makhluk seakan zombi, yang dikenali sebagai Freaker. Ia meletakkan dua tahun selepas pandemik tersebut berlaku sekaligus pemain di letakkan di dunia pasca-apokaliptik dan pemain perlu meneruskan hidup dengan mengembara, melakukan misi untuk dapatkan ganjaran dan juga membunuh makhluk-makhluk Freaker tersebut.

Sememangnya tidak banyak yang saya berupaya untuk bermain ketika sesi pandang pertama ini, namun apa yang pasti, ianya mempunyai satu bentuk penceritaan yang sangat menarik. Seperti yang diperkatakan oleh pembangun, permainan ini sememangnya mempunyai konsep penceritaan persahabatan antara ahli-ahli kelab motosikal yang mana ianya akan memfokuskan watak Deacon untuk berinteraksi dengan pelbagai jenis watak sepanjang pengembaraannya. Bagi anda yang meminati penceritaan seperti Sons Of Anarchy, anda pasti akan menyukai permainan ini.

Ketika saya bermain permulaan permainan ini, ianya sudah membuatkan saya berasa sangat tertarik dengan watak Deacon ini. Sudah pasti saya tidak akan membeberkan sebarang kandungan penceritaannya, namun apa yang saya boleh katakan, permulaan permainan ini pasti akan menggamit hati pemain.

Dari segi sudut pandangan lain melalui penceritaannya, tidak banyak yang saya boleh katakan memandangkan saya hanya bermain sebahagian sahaja permainan tersebut. Namun apa yang saya perhatikan adalah setiap bahagian penceritaan terbahagi kepada beberapa slot kandungan yang berbeza. Ianya seolah permainan ini membahagikan kepada beberapa cabang penceritaan dan setelah pemain melengkapkan sesuatu penceritaan berdasarkan slot bahagian tersebut, peratus penceritaan tersebut akan meningkat secara berperingkat.

Konsep ini pada pendapat saya agak menarik, terutamanya bagi permainan dunia terbuka ini. Memandangkan ianya mempunyai pelbagai watak dan misi sampingan yang pemain boleh lakukan, bentuk peratusan yang disediakan melalui slot bahagian penceritaan agak memudahkan saya untuk sentiasa menjejak nilai kelengkapan satu bahagian penceritaan tersebut.

Terdapat satu misi yang mana ianya memfokuskan bentuk imbas kembali di mana pada pendapat saya agak menarik, tetapi cara penyampaiannya agak pelik. Semestinya saya tidak ingin membandingkan penceritaan permainan ini dengan The Last Of Us, tetapi saya berpendapat naratif Days Gone cuba untuk menghasilkan sesuatu yang hampir seakan permainan tersebut, namun ianya berasa agak sedikit janggal.

Grafik dan Visual

Sudah pasti seperti yang anda lihat di paparan skrin permainan ini, visual dan grafik permainan Days Gone adalah sangat menawan. Penggunaan Unreal Engine 4 sebagai enjin permainan semestinya adalah pilihan terbaik untuk Bend Studio dimana mereka berjaya memaparkan pelbagai pemandangan dan lokasi bukit-bukau dengan baik sekali.

Seperkara lagi yang saya sangat sukai berkenaan visual permainan ini adalah ekspresi riak wajah yang dihasilkan sangat nyata. Setiap adegan bersama watak-watak yang dipaparkan berasa seakan manusia betul dan pada pendapat saya Bend Studio sememangnya berada setaraf dengan pembangun-pembangun pihak pertama Sony yang lain seperti Naughty Dog dan Santa Monica.

Walaupun begitu, terdapat juga beberapa adegan ataupun bentuk ekspresi riak wajah watak luar adegan agak janggal. Ini mungkin kerana permainan ini masih belum lagi berada di peringkat akhir dan ia mungkin adalah pepijat. Bercakap berkenaan pepijat, saya juga berasa konsep lampu suluh yang digunakan di dalam permainan ini agak pelik. Ini kerana lampu tersebut memaparkan berdasarkan penglihatan kamera pemain dan watak yang dimainkan oleh saya langsung tidak menghala sebarang lampu suluh ke arah tersebut. Namun, perkara ini tidaklah merosakkan sebarang pengalaman saya untuk menghayati dunia Days Gone ini.

Akan tetapi, dukacitanya terdapat satu masalah yang mana saya berasa permainan ini agak menjengkelkan dan sangat mengecewakan pada saya iaitu peralihan antara adegan dan sesi permainan dilakukan dengan skrin terpadam seketika.

Saya akui, saya sendiri mungkin terbiasa dengan konsep tanpa skrin pemuatan buat permainan God Of War, namun ketika saya mencuba permainan Days Gone, apabila ia beralih dari sesi permainan kepada adegan, satu saat skrin terpadam tersebut sememangnya memberi satu impak yang sangat besar pada saya. Ianya bukan sahaja berasa agak menjengkelkan, malah ‘pengalaman’ sesi permainan saya berasa terpotong seketika.

Isu tersebut sememangnya memberi kesan yang besar kerana peralihan tersebut seakan mengehadkan saya untuk betul-betul menikmati permainan ini. Terutamanya ketika anda sedang menaiki motosikal dan tiba-tiba skrin tersebut dipotong seketika akibat permainan tersebut ingin mainkan adegan permainan.

Mungkin pada pendapat anda, ini adalah perkara biasa untuk sesuatu permainan, namun pada pendapat saya ianya berasa agak ke belakang dengan bentuk generasi permainan sebelum ini.

Kawalan Permainan

Selain daripada penceritaan, sememangnya kawalan permainan adalah sangat penting untuk sesuatu permainan dan Days Gone mempunyai kawalan yang agak menarik. Saya akui, bentuk permainan dunia terbuka yang memfokuskan pertempuran bersama musuh zombi bukanlah sesuatu genre baharu untuk permainan video. Akan tetapi, Days Gone berjaya membawa sesuatu yang unik untuk genre ini.

Perkara pertama yang saya sangat sukai adalah pengembaraan permainan ini sememangnya memfokuskan pemain untuk meneroka bersama motosikal, iaitu ‘Drifter Bike’. Melalui Days Gone, pemain diberi kebebasan untuk mengembara di dalam dunianya yang sangat luas dengan menunggang motosikal dan seperti dunia nyata, motosikal tersebut juga perlu diisi minyak untuk bergerak dan diperbaiki jika menerima kerosakan. Ini, sekaligus meletakkan satu ‘nyawa’ dan bentuk pertahanan hidup buat pemain melalui motosikal tersebut.

Semestinya pemain berupaya untuk mengubah-suai dan menambah pelbagai bentuk pernaik-tarafan melalui motosikal tersebut. Namun memandangkan saya hanya sempat bermain 3 jam pertama, tidak banyak bentuk pengubah-suai yang sempat saya gunakan.

Dari segi pengembaraan melalui menunggang motosikal, saya sangat sukai di mana risiko dunia pasca-apokaliptik permainan ini adalah sangat bahaya. Terdapat saat di mana ketika saya menunggang, saya diserang oleh serigala dan juga diserang oleh makhluk Freaker. Tambahan itu, permainan ini juga tidaklah begitu menghukum pemain seperti pemain berupaya untuk mengelak serangan tersebut dengan menembak mereka ataupun memandu dengan lebih laju. Walaupun pun begitu, pemain juga perlu berhati-hati dengan perangkap yang diletakkan oleh musuh dan sebagainya.

Memandangkan permainan ini adalah bertempatkan di dunia terbuka yang sangat luas, ianya juga memberi kebebasan yang sangat menarik untuk pemain terokai. Dunia Days Gone ini sememangnya terbahagi kepada beberapa jenis musuh seperti Freaker, makhluk seakan zombi dan juga musuh manusia. Musuh Freaker sememangnya agak ringkas memandangkan mereka tidaklah begitu bijak. Namun, musuh manusia agak sukar kerana mereka berupaya untuk menggunakan senjata api, sekaligus pemain perlu sentiasa melindung diri dan menembak mereka secara tersembunyi.

Bercakap berkenaan bentuk pentempuran, Days Gone tampaknya banyak meminjam konsep-konsep permainan daripada permainan aksi lain oleh Sony seperti Uncharted, Horizon Zero Dawn dan sebagainya. Contohnya seperti bentuk penembakan, Days Gone mempunyai bentuk menembak seakan Uncharted dimana pemain berupaya untuk menanda musuh. Selain itu pemain juga berupaya untuk menghasilkan barangan secara terus seakan bentuk ‘crafting’ buat permainan Horizon Zero Dawn. Terdapat juga bentuk ‘Survival Vision’ dimana bentuk ini akan memberikan pemain fokus yang tinggi untuk melihat arah pergerakan musuh dan sebagainya seakan Eagle Vision daripada permainan Assassin’s Creed.

Bercakap berkenaan permainan Assassin’s Creed pula, Days Gone juga mempunyai bentuk permainan selinap yang agak menarik. Ini kerana, untuk pemain bukan sahaja perlu berhati-hati ketika meneroka dunia Days Gone ini, malah pemain juga perlu sentiasa mencari barangan dan kelengkapan untuk meneruskan hidup seperti peluru dan sebagainya. Akan tetapi, satu perkara yang agak pelik bagi saya adalah fungsi pengambilan barang yang terdapat di dalam permainan ini. Terdapat beberapa barangan Deacon akan mengambil secara automatik seperti peluru, namun terdapat juga barangan yang saya perlu mengambilnya sendiri. Bentuk ini pada pendapat saya agak janggal dan pelik. Akan tetapi, ia tidaklah merosakkan keseluruhan permainan ini.

Sememangnya dunia Days Gone ini adalah sangat bahaya dan berisiko tinggi dengan pelbagai jenis musuh yang pemain perlu hadapi. Ini sekaligus membuatkan kenapa saya sangat sukai berkenaan permainan ini. Ianya bukan sahaja sangat mencabar, malah bentuk tersebut sememangnya memerlukan saya sentiasa berjaga-jaga setiap kali saya mengembara dengan menunggang motosikal saya.

Menariknya, permainan ini juga mempunyai elemen RPG dimana pemain berupaya untuk mempelajari pelbagai kemahiran baharu untuk digunakan ketika bertempur seperti tingkatkan nyawa, ataupun menghasilkan senjata ataupun kelengkapan baharu. Pemain juga berupaya untuk mempelajari kemahiran ‘Fokus’ dan seperti Horizon Zero Dawn, pemain berupaya untuk memperlahankan masa untuk menembak dengan lebih tepat.

Tambahan itu, memandangkan permainan ini memerlukan pemain untuk berinteraksi dengan pelbagai watak, Days Gone juga menyertakan keupayaan pemain untuk menjual beli barangan dimana mata wangnya adalah berdasarkan ganjaran yang pemain peroleh setiap kali pemain membunuh Freaker.

Mata wang di dalam Days Gone berfungsi dalam bentuk ‘Kredit’ dimana setiap kali pemain membunuh Freaker, pemain perlu mengutip telinga Freaker tersebut sebagai bukti pemain telah membunuhnya. Semestinya ianya akan dikutip secara automatik setelah pemain berada dekat di mayat Freaker tersebut.

Setelah itu, pemain perlu kembali ke kem-kem terdekat untuk menukarkan jumlah telinga Freaker tersebut kepada mata wang kredit dan melaluinya pemain boleh menggunakan kredit tersebut untuk membeli peluru, minyak ataupun senjata baharu mengikut kem.

Bercakap berkenaan kem, satu perkara yang agak menarik bagi saya adalah bentuk sistem ‘Trust’ dimana ianya memfokuskan nilai peringkat tahap kepercayaan sesuatu kem terhadap Deacon. Melaluinya, jika pemain membantu sebilangan watak-watak seperti melakukan misi, memburu makanan untuk kem ataupun sebagainya, nilai peringkat ‘Trust’ pemain akan meningkat. Setelah ianya mencapai sesuatu peringat, pemain berupaya untuk menyah-kunci pelbagai akses kem tersebut seperti keupayaan untuk membeli senjata berkuasa tinggi dan juga menaik-taraf kelengkapan pemain.

Selain itu, bentuk ‘Fast Travel’, rumah selamat untuk rehat, kemajuan watak dan sistem menjejak penceritaan juga disertakan di dalam permainan ini. Kebanyakkannya fungsi-fungsi permainan dunia terbuka lain sememangnya terdapat di dalam permainan ini. Kami pasti berkongsinya dengan lebih terperinci apabila kami mendapat permainan penuh Days Gone menjelang April ini.

Satu perkara lagi yang saya sangat sukai berkenaan permainan ini adalah bentuk pintas untuk mengakses menu-menu yang terdapat di dalam permainan ini dengan mentatal pad sesentuh yang terdapat di alat kawalan Dualshock 4. Contohnya jika pemain mentatal pad tersebut ke bawah, permainan ini akan terus membuka menu peta. Ini bukan sahaja memudahkan pemain untuk melihat peta ataupun menu lain, malah ianya begitu pantas sekaligus memudahkan pemain untuk sentiasa bersedia mengakses menu tersebut bila-bila masa.

Bercakap berkenaan menu, saya sangat menyukai rekaan paparan antara muka permainan ini terutamanya ketika pemain berada di menu utama dan permainan ini menyenaraikan ‘bilangan’ hari selepas pandemik tersebut berlaku, dalam bentuk ‘Days Gone’, iaitu tajuk permainan ini sendiri.

Walaubagaimana pun, saya perlu membuat penafian kerana saya hanya bermain 3 jam pertama permainan ini dan menurut pembangun, versi permainan yang dimainkan oleh saya bukanlah versi terakhir dan Bend Studio mungkin akan mengubah beberapa perkara dan bentuk permainan tersebut pada masa akan datang.

Kesimpulan

Days Gone sememangnya berpotensi untuk menjadi satu permainan menarik, namun dengan tibanya permainan ini selepas salah satu permainan dunia terbuka terbaik, ianya membuatkan permainan ini berada di tahap generasi ke belakang akibat masalah teknikal permainan dan beberapa pilihan rekaan yang agak pelik. Akan tetapi, kami di Aksiz memahami bagaimana Bend Studio masih lagi baru untuk arena pembangunan permainan dunia terbuka dan permainan mereka sebelum ini dilancarkan hampir 7 tahun lepas.

Meskipun begitu, Days Gone sememangnya mempunyai satu konsep permainan dunia terbuka yang sangat menarik, dicampur dengan kandungan dunia terbuka yang sangat luas dengan pelbagai lokasi yang boleh diterokai bersama bentuk pertahanan hidup yang memfokuskan motosikal, ianya sudah semesti akan menjadi permainan zombi yang unik untuk generasi kini. Kami percaya ianya bakal menyertakan satu bentuk permainan yang sangat mengasyikkan terutamanya buat mereka yang menyukai permainan bergenre ini.

Menariknya juga, ketika sesi temu bual bersama pembangun, David Lee iaitu pengurus komuniti permainan ini menyatakan apa yang menarik berkenaan Days Gone adalah memandangkan permainan ini mempunyai konsep dunia terbuka dengan pelbagai persekitaran dinamik, beliau menyatakan bahawa setiap pengalaman pemain akan berbeza. Saya perlu akui dimana ketika saya berbincang bersama media lain di acara tersebut, setiap daripada kami mengalami pengalaman yang lain antara satu sama lain. Ini sememangnya pada pendapat saya adalah satu perkara yang sangat bagus sekali untuk permainan bergenre ini.

Walaupun begitu, pendapat saya masih lagi berdasarkan sesi 3 jam pertama ketika saya bermain permainan ini dan ini sememangnya bukanlah ulasan penuh Days Gone. Kami di Aksiz pasti akan berkongsi ulasan penuh permainan ini, apabila ianya dilancarkan pada April ini.

Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan Days Gone, permainan ini akan dilancarkan pada 26 April ini di Playstation 4 dam anda boleh melayari pautan ini untuk mengetahui berkenaan senarai edisi permainan yang bakal tiba buat pasaran Malaysia bermula dengan harga RM239.


TIPS & ULASAN