Seperti yang diperkatakan oleh menteri belia dan sukan sebelum ini, Syed Saddiq hari ini menyatakan bahawa mereka bakal mengadakan liga e-sukan bermula pertengahan bulan ini.
Ketika acara Persidangan Industri Profesional Esports (EPIC) 2019 yang berlangsung hari ini, beliau menyatakan bahawa liga tersebut akan memberi peluang kepada bakat-bakat baru untuk mewakili negara ke kejohanan antarabangsa yang berpotensi untuk meningkatkan ekonomi negara.
Sememangnya penglibatan kerajaan dengan arena e-sukan sudah pasti akan meningkatkan perkembangan industri tersebut di Malaysia. Tambahan itu dengan sukan Asia Tenggara yang bakal berlangsung tahun ini, sudah pasti liga ini akan memberi peluang para pemain untuk mencungkil bakat terpendam mereka.
Menurut laporan Awani, liga tersebut akan memfokuskan permainan Dota 2 untuk PC, manakala permainan konsol Playstation 4 pula adalah FIFA 19. Selain itu, bagi permainan mudah-alih (Permua) dua permainan akan dipertandingkan iaitu Mobile Legends dan PUBG Mobile dengan hadiah terkumpul untuk kesemua permainan tersebut sebanyak RM13,000. Buat masa ini, informasi lanjut berkenaan masih belum dikongsikan lagi. Kami akan mengemaskini setelah ianya diumumkan secara rasmi.