Seperti yang dilaporkan oleh kami sebelum ini, pengeluran konsol mudah-alih oleh Sony, iaitu Playstation Vita kini akhirnya ditamatkan. Menurut laporan Polygon, Sony mengumumkannya secara rasmi di laman rasmi Playstation Jepun dimana baki dua model Playstation Vita kini ditamatkan secara rasmi pengelurannya dan ini sekaligus konsol tersebut tidak lagi dipasarkan secara rasmi bermula minggu ini.
Walaupun begitu, Sony menyatakan bahawa mereka akan terus menyokong konsol tersebut sehingga 2020 dari segi kemaskini sistem operasi dan sebagainya. Akan tetapi, seperti anda sedia maklum, permainan fizikal juga dihentikan bersama-sama permainan percuma untuk pelanggan Playstation Plus bermula bulan ini.
Konsol mudah-alih tersebut dilancarkan pada 2012 lepas yang mana ianya tidak mendapat sambutan yang baik di kalangan pemain dan Sony juga telah berhenti membangunkan permainan di platform tersebut sejak 2015 lepas.
Buat masa ini, Sony tidak mengumumkan sebarang konsol mudah-alih baharu yang akan menggantikan Playstation Vita dan kami di Aksiz juga percaya bahawa Sony akan terus memfokuskan pembangunan konsol rumah mereka iaitu Playstation 4 dan juga Playstation 5.
Bagi anda yang masih lagi memiliki Playstation Vita, pastikan anda mengebumikannya dengan baik atas perkhidmatannya selama 7 tahun ini.