Skip to main content

Jump Force pertama kali diumumkan semasa E3 tahun lepas dan terus mendapat perhatian kerana ia menyertakan watak-watak daripada siri manga/anime Jump yang menjadi ikutan ramai. Idea menggabungkan kesemua watak-watak tersebut di dalam satu permainan adalah satu impian yang menjadi kenyataan untuk ramai pemain.

Permainan perlawanan ini dibangunkan oleh Spike Chunsoft dan Diterbitkan oleh Bandai Namco pada 15 Februari 2019 lepas untuk Playstation 4, Xbox One dan PC. Adakah Jump Force berjaya memenuhi impian pemain?

Cerita

Sepertimana permainan perlawanan lain, Jump Force juga menyertakan mod penceritaan. Permulaan mod ini, pemain akan perlu mencipta watak sendiri dan akan menjadi seorang manusia yang diselamatkan oleh pasukan Jump Force.

Jump Force adalah pasukan yang ditubuhkan yang terdiri daripada watak-watak daripada manga Jump seperti Goku, Luffy Dan Naruto selepas penjahat iaitu Kane dan Galena cuba menghancurkan dunia sebenar dengan menggabungkannya dengan dunia Jump.

Demi menyelamatkan watak ciptaan pemain, pasukan Jump memasukkan kiub yang pada sama memberikan kuasa pertempuran kepada watak pemain. Kemudian bermulalah usaha pemain untuk melawan Kane dan Galena demi menyelamatkan bumi bersama dengan pasukan Jump Force.

Penceritaan yang disediakan adalah ringkas, walaupun disertakan dengan pelbagai plot twist, rakan menjadi lawan, lawan menjadi rakan, namun ia masih memberi perasaan yang penceritaan hanya disertakan untuk dijadikan alasan agar watak-watak melawan sesama sendiri.

Penceritaan boleh dikatakan mengambil inspirasi ‘shonen’ yang menjadikan watak ciptaan anda sebagai watak utama akan tetapi ia menjadi agak janggal apabila tidak diberikan sebarang dialog ataupun lakonan suara dan sekadar memberi isyarat badan.

Sepanjang penceritaan, pemain boleh menggunakan kuasa-kuasa daripada kesemua watak yang ada di dalam permainan ini. Untuk menggunakannya pemain boleh menyah-kunci dengan membayar menggunakan Gold ataupun dengan menyelesaikan misi sampingan.

Selain itu, pemain juga boleh menjadikan watak lebih kuat dengan menggunakan ability skills dan J-skill. Ability skills boleh dibeli menggunakan Gold ataupun dengan menyelesaikan misi. Manakala, J-skill hanya boleh didapati dengan menyelesaikan misi Free Missions.

Elemen RPG seperti di atas nampak macam memberi lebih pengisian untuk mod ini akan tetapi semasa permainan saya, ia tidak terlalu penting dan tidak sangat memerlukan pemerhatian menjadikan ia hanya tambahan dan bukan perkara utama permainan.

Satu lagi perkara yang mengecewakan untuk mod penceritaan adalah terdapat terlalu banyak pertempuran melawan watak yang sama, jelas memperlihatkan Jump Force tidak disertakan dengan jumlah watak yang mencukupi untuk mengisi mod penceritaan.

Walaupun mempunyai watak-watak daripada pelbagai manga yang berlainan akan tetapi permainan ini gagal untuk menggunakan sepenuhnya potensi penceritaan yang boleh disertakan. Benar, sudah menjadi kebiasaan permainan perlawanan hanya menjadikan penceritaan sebagai sampingan akan tetapi ia masih sangat mengecewakan. Tambahan penyampaian penceritaan yang sangat teruk, perkara ini saya akan terangkan lebih lanjut di bahagian grafik.

Kandungan Permainan

Selain misi utama untuk mod penceritaan, terdapat juga pelbagai misi sampingan lain yang akan memberikan alasan untuk pemain bertempur antaranya adalah Free Mission, Extra Mission dan Tutorial Mission, terdapat juga misi sampingan yang akan ditandakan berwarna biru. Setiap misi ini hanya memerlukan pemain untuk berlawan, dan sesetengah misi mempunyai objektif tertentu seperti menang dengan tidak mengurangkan nyawa lebih pada 60%.

Selain misi, pemain juga boleh bertempur secara dalam talian dan luar talian. Bagi luar talian pemain boleh memilih untuk bertempur dengan CPU ataupun pemain lain secara multi-pemain setempat. Manakala untuk secara dalam talian ada mod kasual dan juga mod Ranked. Perlawanan melawan CPU agak membosankan, oleh disebabkan itu misi-misi yang disediakan menjadi agak mengecewakan. Keseronokan sebenar sudah semestinya bertempur secara dalam talian, namun ia masih bergantung kepada sama ada pemain menyukai atau tidak bentuk perlawanan yang disertakan.

Secara keseluruhan terdapat lebih 40 watak yang disertakan, watak-watak tersebut hadir daripada pelbagai siri manga Jump. Tambahan lagi, dengan jelas beberapa watak adalah lebih berkuasa berbanding watak lain menjadikan pilihan lebih sedikit. Manakala kawasan pula terdapat 13 kawasan berbeza yang dicipta hasil gabungan antara tempat dunia sebenar serta dunia daripada Jump. Kandungan yang disertakan ini agak mengecewakan, terdapat lebih ramai watak yang boleh disertakan manakala rekaan kawasan pula tidak menarik.

Kandungan ini menjadi lebih dirasai kerana kekurangan kawalan permainan yang disertakan di dalam permainan ini.

Kawalan Permainan

Jump Force merupakan permainan perlawanan 3 lawan 3 di satu kawasan yang agak luas memberi lebih ruang kepada pemain untuk bergerak. Manakala untuk pertempuran, kawalan adalah agak ringkas. Setiap watak mempunyai kombinasi pergerakan yang sama. Hanya yang membezakan setiap watak adalah ability.

Setiap watak mempunyai 4 ability, 3 ability boleh digunakan apabila mengumpul energy, diperoleh dengan melakukan serangan rush attack/heavy attack dan juga energy charge. Manakala 1 lagi ability iaitu ultimate technique boleh dilakukan apabila awakening gauge mencapai 50% (awakening gauge bertambah apabila dipukul). Walaupun setiap watak mempunyai ability yang berbeza, namun selepas mencuba pelbagai watak, asas pergerakan adalah sama. Animasi mungkin berlainan akan tetapi ia masih tidak merasa satu kelainan menjadikan pertempuran cepat bosan dan mendatar.

Tambahan ability dan serangan biasa bagaikan tidak dihasilkan bersama, saya tidak merasa ada serangan kombinasi serangan biasa dan ability yang boleh dilakukan, sebaliknya ia digunakan pada dua masa yang berbeza. Animasi ability, walaupun menyeronokkan untuk dilihat, sangat mengganggu terutama tidak dapat melihat kedudukan lawan ataupun sedang bertahan. Apabila animasi ability bermula, anda hanya perlu berharap ia akan mengena.

Manakala ultimate technique seperti yang saya perkatakan di atas boleh dikatakan sebagai gerakan utama, namun agak kecewa kerana ia memerlukan awakening gauge yang hanya diperoleh dengan dipukul. Jika anda mengawal permainan, dan berjaya bertahan ada kemungkinan anda akan menang tanpa dapat melakukan gerakan utama ini. Walaupun ia adalah untuk memberi bantuan kepada pemain yang hampir kalah, tetapi ia sepatutnya diletak ability berlain dan bukan gerakan utama.

Bercakap mengenai pertahanan, Jump Force menyertakan pelbagai cara untuk bertahan, ada cara seperti guard, escape tetapi yang utama adalah High-speed Dodge dan High-speed Counter. High-speed Dodge boleh dilakukan apabila dipukul, pemain perlu menekan R2 manakala Counter dengan menekan empat segi. Jika anda mahir untuk melakukan kedua pergerakan ini (yang memerlukan ketelitian) boleh dikatakan Jump Force adalah mudah kerana ia sangat berguna. Ia juga menjadikan permainan agak menyakitkan hati apabila berlawan dengan pemain yang mahir melakukan gerakan tersebut kerana ia adalah sangat kuat.

Walaupun ia adalah pertempuran 3 lawan 3 akan tetapi satu lagi perkara yang mengecewakan adalah setiap watak berkongsi satu health bar yang sama. Dengan kata lain, jika satu watak diserang bertubi-tubi, walaupun menukar watak lain, ia masih di dalam keadaan yang bahaya. Ia menjadikan setiap perlawanan lebih pantas, tetapi menjadikan tidak mempunyai motivasi yang kuat untuk menukar-menukar watak.

Grafik

Perkara yang terbaik untuk permainan ini adalah visual grafik yang digunakan untuk memperlihat setiap ability bagi setiap watak. Ia adalah satu impian yang menjadi kenyataan apabila dapat melakukan sendiri setiap gerakan tersebut, jika sebelum ini hanya sekadar melalui manga dan anime. Selain lakonan suara untuk setiap serangan tersebut, efek kuasa sangat-sangat memukau.

Oleh disebabkan, Jump Force menggabungkan watak daripada pelbagai siri berlainan, memerlukan mereka untuk mempunyai satu arahan seni yang konsisten walaupun idea menggunakan rekaan berlainan untuk setiap watak agak menarik. Rekaan grafik untuk permainan ini saya boleh katakan baik. Ia memberikan sesuatu kelainan berbanding kebiasaan daripada anime, namun anda beberapa watak yang rekaan terlalu pelik. Sebagai contoh, Midoriya ataupun Deku yang nampak sangat janggal.

Namun, grafik tersebut sangat aneh apabila memasuki adegan-adegan untuk mod penceritaan. Seperti yang saya katakan di atas, penyampaian penceritaan untuk permainan ini sangat teruk dan ia adalah kerana animasi yang digunakan untuk setiap adegan. Setiap watak nampak kaku, tidak hidup dan sekadar bergerak mulut tanpa sebarang emosi. Walaupun ada masa mereka melakukan adegan aksi, tetapi ia masih nampak sangat pelik. Saya sangat kecewa dengan perkara ini, walaupun penceritaan adalah sampingan tetapi cara ia disampaikan terasa seperti satu kerja yang malas.

Permainan yang memiliki watak-watak menarik yang penuh dengan emosi, diperlakukan sebegini terasa seperti menyakitkan hati, terutama lakonan suara asal yang baik.

Rumusan

Akhir kata, Jump Force walaupun disertakan dengan pelbagai watak yang menjadi penarik untuk pemain mencuba permainan ini, gagal di dalam penyampaian. Bukan sahaja untuk penceritaan tetapi termasuk juga perlawanan yang sepatutnya menjadi asas utama permainan ini.

Kandungan permainan juga sangat terhad, walaupun akan menerima beberapa watak melalui DLC tetapi ia tidak akan mencukupi untuk menjadikan permainan ini lebih menarik. Satu perkara positif yang boleh diperkatakan adalah, visual untuk setiap ability sangat memukau.

Jika anda meminati siri Jump, permainan ini tidak akan menjawab impian anda, jika anda penggemar permainan perlawanan, anda mempunyai pilihan yang jauh lebih baik di pasaran berbanding permainan ini.

Penafian: Kod Ulasan Jump Force disediakan oleh Bandai Namco SEA

Leave a Reply