Tahun 2019 setakat ini boleh dikatakan mendapat permulaan yang baik untuk permainan video. Januari dan Februari memperlihatkan pelbagai permainan menarik yang dikeluarkan. Tampaknya, ia diteruskan lagi untuk bulan Mac apabila terdapat beberapa permainan menarik yang akan dikeluarkan sepanjang bulan tersebut.
Jika anda ingin melihat permainan-permainan yang akan dikeluarkan pada bulan hadapan, anda boleh melihat poster yang kami sediakan di bawah. Namun, berikut adalah 5 permainan menarik yang akan dikeluarkan pada bulan Mac.
Devil May Cry 5
Devil May Cry 5 diumumkan secara rasmi pada tahun lepas, namun permainan seterusnya untuk siri Devil May Cry ini sudah mendapat pelbagai reaksi positif terutama berdasarkan demo yang disediakan kepada semua pemain. Kami sendiri mencuba demo permainan ini dan berpendapat ia mempunyai kemungkinan yang besar untuk menjadi antara permainan terbaik tahun ini.
Devil May Cry 5 diterbitkan oleh Capcom dan akan dikeluarkan pada 8 Mac 2019 untuk Playstation 4, Xbox One dan PC.
The Division 2
The Division 2 merupakan permainan baharu untuk siri ini yang pertama kali dikeluarkan pada tahun 2016. The Division yang pertama boleh dikatakan menerima reaksi yang positif dan merupakan permainan aksi dalam talian yang baik, untuk permainan seterusnya ini Ubisoft telah menyatakan akan membawa pelbagai pembaharuan yang akan meningkatkan lagi kualiti permainan ini. Kami ada mencuba permainan ini semasa beta terutup, dan merasakan ia mempunyai satu bentuk permainan yang menarik.
The Division 2 yang diterbitkan oleh Ubisoft akan dikeluarkan pada 15 Mac 2019 untuk Playstation 4, Xbox One dan PC.
Sekiro: Shadows Die Twice
Semasa Sekiro: Shadows Die Twice diumumkan, ia sering dikaitkan dengan permainan yang dikeluarkan oleh From Software iaitu Dark Soul dan Bloodborne. From Software kemudian mengatakan yang permainan ini mempunyai bentuk permainan yang lebih meluas dan menarik berbanding dua permainan mereka sebelum ini. Ia sudah semestinya membuatkan kami tertarik untuk mencubanya.
Sekiro: Shadows Die Twice diterbitkan oleh Activision ini akan dikeluarkan pada 22 Mac untuk Playstation 4, Xbox One dan PC.
One Piece World Seeker
Kami sering ternanti-nanti permainan dunia terbuka berdasarkan siri manga. Bandai Namco akhirnya menjawab permintaan kami dengan mengumumkan One Piece World Seeker. Buat masa ini pemain hanya sekadar dapat melihat bentuk permainan berdasarkan video acah yang dikongsikan, namun, ia sudah cukup untuk membuatkan kami teruja dan ingin mencubanya.
Bandai Namco akan menerbitkan One Piece World Seeker pada 15 Mac untuk Playstation 4, Xbox One dan PC.
Dead or Alive 6
Bagi peminat permainan perlawanan, Dead or Alive adalah satu nama yang tidak asing lagi. Selepas permainan terakhir Dead or Alive 5 dikeluarkan pada tahun 2012 (versi terakhir Last Round pada tahun 2015) akhirnya Koei Tecmo dan Team Ninja akan mengeluarkan Dead or Alive 6 selepas hampir 7 tahun.
Dead or Alive 6 akan dikeluarkan pada 1 Mac untuk Playstation 4, Xbox One dan PC.
Di atas merupakan permainan menarik yang akan dikeluarkan sepanjang bulan Mac ini. Bagaimana dengan anda, ada permainan yang anda lebih nantikan tetapi kami tidak senaraikan?
