Super Smash Bros. Ultimate boleh dikatakan sebagai permainan perlawanan kegemaran saya buat masa ini, terutama saya sendiri sejujurnya tidak meminati genre perlawanan. Selain mempunyai pelbagai watak, antara penarik utama permainan tersebut adalah bentuk perlawanan yang disertakan.
Super Smash Bros Ultimate dikeluarkan secara eksklusif untuk Nintendo Switch, dan ramai pemain yang tidak dapat mencubanya walaupun mempunyai keinginan. Melalui penulisan ini, saya akan sertakan 5 permainan yang mempunyai bentuk perlawanan seakan Super Smash Bros. Ultimate yang terdapat di PC.
Brawlhalla
Apabila saya terfikir untuk mengeluarkan senarai ini, Brawlhalla adalah permainan pertama yang terlintas. Bukan sahaja ia adalah permainan percuma untuk dimainkan, ia juga mempunyai bentuk perlawanan yang sangat menyeronokkan. Ia dibangunkan oleh Blue Mammoth Games dan diterbitkan oleh Ubisoft. Ia boleh didapati di Steam dan juga boleh didapati untuk Playstation 4, Xbox One dan Switch.
Rivals of Aether
Permainan ini boleh dikatakan sebagai permainan Super Smash Bros. Ultimate yang mempunyai arahan seni grafik pixel. Tidak seperti permainan Nintendo tersebut, permainan ini mempunyai pilihan watak yang terhad. Watak tambahan boleh dibeli secara berasingan, namun, watak yang ada sudah cukup unik untuk memberikan kepuasan semasa bermain. Ia dibangunkan dan diterbitkan sendiri oleh Dan Fornace, boleh didapati di Steam dengan harga RM31. Ia juga dikeluarkan untuk Xbox One.
Slap City
Jika dilihat pada rekaan grafik, permainan ini mungkin tidak sangat menarik perhatian. Namun, seperti Super Smash Bros., ia juga menyertakan bentuk perlawanan yang pantas dan seronok untuk dimainkan secara berseorangan ataupun dalam talian. Dibangunkan serta diterbitkan oleh Ludosity, ia kini boleh diperoleh dengan harga RM23.50 dan masih diperingkat akses awal.
Roof Rage
Satu lagi permainan yang masih diperingkat akses awal adalah Roof Rage. Ia mempunyai grafik seperti Ribal of Aether tetapi mempunyai keunikan tersendiri yang menjadikan ia agak menarik berbanding permainan lain. Ia mempunyai pertempuran sehingga 8 pemain, secara dalam talian ataupun setempat. Dibangunkan dan diterbitkan oleh Early Melon serta boleh didapati di Steam dengan harga RM28.
Stick Fight: The Game
Stick Fight tidaklah mempunyai bentuk perlawanan yang sama dengan Super Smash Bros. Ultimate akan tetapi ia mempunyai konsep yang lebih kurang tetapi disertakan dengan pelbagai keunikan sendiri terutama daripada rekaan watak yang sekadar orang lidi sahaja. Ia dibangunkan serta diterbitkan oleh Landfall. Ia boleh dibeli di Steam dengan harga RM12. Ia juga dikeluarkan untuk Switch.
5 di atas adalah antara permainan yang boleh dijadikan alternatif untuk Super Smash Bros. Ultimate untuk pemain di PC. Namun, ia bukanlah senarai yang penuh, kerana terdapat pelbagai lagi permainan yang berkongsi bentuk perlawanan yang sama.
Jika anda pernah mencuba pemain lain selain daripada permainan yang dinyatakan di atas, kongsikan permainan tersebut di ruangan komen ataupun jika anda pernah mencuba mana-mana permainan tersebut sila kongsikan pengalaman anda.
[info]Bacaan Lanjut: 4 Sebab Mengapa Super Smash Bros Ultimate Unik Berbanding Permainan Perlawanan Lain[/info]