Flyhigh Works dan CIRCLE Entertainment hari ini mengumumkan bahawa mereka akan membawa permainan simulasi masakan, World Tree Marché ke konsol Switch pada 28 Februari 2019 ini.
Permainan ini dibangunkan oleh Asabox Co. Ltd dan ianya akan dijual secara digital melalui Nintendo eShop dengan harga $11.99(~RM49).
World Tree Marché merupakan permainan simulasi masakan yang mana pemain akan mengurus pasar bersama enam chef. Sebagai penasihat diraja masakan, pemain akan mengurus pelbagai jenis masakan, resepi dan sebagainya untuk meningkatkan pasaran masakan dengan membanteras syarikat jahat, Gourmand Corporation.
Pemain bukan sahaja perlu mencari bahan-bahan untuk dimasak, malah pemain juga perlu mencari resepi masakan dan menyusunnya di kedai. Selain itu, permainan ini juga akan memfokuskan enam watak chef yang berbeza dengan penceritaannya mereka sendiri.
Bagi anda yang meminati permainan bergenre simulasi masakan, jangan lepaskan peluang anda untuk mendapatkan permainan ini di Switch menjelang hujung minggu ini.