ArenaNet iaitu pembangun Guild Wars 2 dilaporkan oleh Kotaku di dalam proses penstrukturan semula dan akan memperlihatkan pembuangan pekerja. Namun, jumlah pekerja yang akan terkesan masih tidak disahkan.
Perkara tersebut mula dipercakapkan di dalam syarikat tersebut apabila ketua pengawal eksekutif NCSOFT West Songyee Yoon yang memiliki ArenaNet menghantar emel kepada pekerja mengatakan prestasi perniagaan mereka tidak memberangsangkan disebabkan pelbagai projek untuk PC dan permainan mudah alih tertunda. Beliau juga mengatakan setiap organisasi perlu mengurangkan kos operasi.
Pihak pengurusan ArenaNet juga dilaporkan sudah melakukan mesyuarat bersama pekerja-pekerja untuk mengumumkan perkara ini. Mereka mengatakan pekerja yang dibuang akan menerima 2 bulan gaji pampasan serta bonus yang bergantung kepada tempoh masa pekerjaan. Namun, masih tiada pengesahan mengenai siapa yang akan terkesan.
Ini adalah satu berita yang kurang baik, namun sekurang-kurangnya ia dilakukan dengan lebih baik dan tidak dilakukan secara mengejut.