Skip to main content

Call of Duty: Black Ops 4 merupakan permainan berbayar, ia bukanlah seperti Fortnite ataupun Apex Legends yang boleh dimainkan secara percuma. Semasa dikeluarkan 4 bulan lepas ia sudah mempunyai pelbagai mikro-transaksi, kini bermulanya musim baharu, Activision menyertakan satu lagi cara untuk pemain berbelanja iaitu sistem kotak tikam.

Kotak tikam yang dipanggil Reserve Crates yang bernilai 200 CP yang boleh didapati dengan bermain ataupun dengan membelinya dengan harga $1.99 (RM8). Setiap kotak tersebut akan mempunyai 3 barangan rawak barangan kosmetik serta senjata. Bahkan sesetengah senjata akan memberikan kelebihan tertentu seperti mendapat lebih experience points.

Sistem kotak tikam ini disertakan bukanlah untuk meningkatkan pengalaman bermain, sebaliknya sekadar sumber kewangan baharu untuk Activision. Mereka sebelum ini mengumumkan prestasi kewangan yang baik untuk 2018, tetapi menjangkakan tahun yang sukar untuk 2019 kerana tidak mempunyai pengeluaran utama.

Mereka dilaporkan sudah membuang 800 pekerja disebabkannya, akan tetapi tampaknya ia tidak mencukupi dan Call of Duty Black Ops 4 yang mendapat kejayaan dari segi jualan harus menjana pendapat yang lebih banyak untuk memuaskan hati Activision Blizzard.

[info]Bacaan Lanjut: Sistem Kotak Tikam – Baik Atau Buruk Untuk Industri Permainan Video?[/info]

Leave a Reply