Informasi Permainan Video Terkini
Pasukan TNC Predator dan AfreecaFreecs Fatal Menjuarai Kejohanan Predator League 2019 – Membawa Pulang RM300,000

Pasukan TNC Predator dan AfreecaFreecs Fatal Menjuarai Kejohanan Predator League 2019 – Membawa Pulang RM300,000

Diterbitkan pada Feb 17, 2019 oleh .

Kejohanan Predator League 2019 berlangsung dengan jayanya hujung minggu ini di Bangkok, Thailand dimana kejohanan tersebut mempertandingkan dua permainan e-sukan iaitu Dota 2 dan PUBG. Sebanyak 26 pasukan berentap untuk bergelar juara terdiri daripada pemain-pemain dari 16 negara Asia Pasifik.

Bagi kejohanan Dota 2, pasukan TNC Predator dari Filipina bergelar juara selepas mereka menewaskan pasukan Boom ID dari Indonesia dengan pusingan yang sangat sengit sekali dengan skor 2-0. Kedua-dua pasukan tersebut sememangnya bertempur dengan baik sekali namun, nasib menyebelahi pasukan TNC Predator menjuarai Predator League 2019 dan membawa pulang wang hadiah sebanyak RM300,000 bersama 5 laptop Predator Helios 300.

Manakala tempat kedua, pasukan Boom ID membawa pulang wang hadiah sebanyak RM120,000 dan diikuti tempat ketiga iaitu pasukan dari Malaysia, Geek Fam dan mereka membawa pulang RM60,000. Dukacitanya, satu lagi pasukan dari Malaysia iaitu Lotac mendapat tempat ke-4 sahaja.

Buat kejohanan PUBG pula, pasukan AfreecaFreecs Fatal dari Korea Selatan menjuarai keseluruhan 15 pusingan PUBG tersebut dimana mereka bertempur dengan sengit sekali sepanjang 3 hari ini dengan jumlah mata sebanyak 163. AfreecaFreecs Fatal membawa pulang wang hadiah sebanyak RM300,000 bersama 4 laptop Predator Helios 300 diikuti pasukan Purple Mood Esport dari Thailand dengan jumlah mata 136 dan mereka membawa pulang wang hadiah sebanyak RM120,000. Manakala tempat ke-3 pula dimenangi oleh pasukan Immunity dari Australia dan mereka membawa pulang RM60,000.

Sayang sekali, pasukan dari Malaysia iaitu pasukan Asbol hanya mendapat jumlah mata 49 dan mereka berada di tangga ke-13.

Predator League 2019 sememangnya adalah satu kejohanan yang mengasyikkan sekali di mana ianya berlangsung pada hujung minggu ini dengan sokongan yang memberansangkan oleh peminat dari seluruh Asia Pasifik. Dengan pelbagai aktiviti dan persembahan menarik, kejohanan ini sememangnya satu kejayaan besar bagi pihak Acer.

Ketika penghujung kejohanan tersebut, Andrew Hou, iaitu presiden Acer Asia Pasifik mengumumkan bahawa kejohanan Predator League bagi tahun 2020 akan berlangsung di negara Filipina. Ianya sudah pasti akan menjadi satu lagi kejohanan yang besar buat Predator League dan kami sendiri tidak sabar untuk menghadirinya tahun hadapan.

Untuk keseluruhan sekitar acara kejohanan ini anda boleh menonton video Aksiz Sekitar Predator League 2019 dimana kami memuat-naiknya di saluran Youtube rasmi kami.

Dengan ini juga kami ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan-pasukan yang memenangi kejohanan ini dan terima kasih kepada Acer Malaysia kerana memberi kami peluang untuk menyaksi kejohanan Predator League sekali lagi untuk tahun ini.


TIPS & ULASAN