Seperti kami laporkan sebelum ini, Nintendo Direct pertama untuk tahun ini akhirnya selesai dipertontonkan pada pagi tadi. Terdapat pelbagai pengumuman yang besar dan juga kecil yang dilakukan oleh Nintendo.
Antara yang diumumkan oleh Nintendo adalah Super Mario Maker 2, Rune Factory 4/5, Fire Emblem Three Houses, Astral Chain, The Legend of Zelda: Link’s Awakening, Nobita’s Story of the Season dan Dragon Quest XI.
Namun itu hanya pengumuman yang bagi kami utama untuk Direct kali ini, di dalam penulisan ini kami akan senaraikan segala pengumuman lain semasa Nintendo Direct tersebut.
Marvel Ultimate Alliance 3: The Black Order
Marvel Ultimate Alliance 3: The Black Order merupakan permainan seterusnya buat siri Marvel Ultimate Alliance dan pertama kali ia diterbitkan oleh Nintendo sendiri. Melalui permainan ini, pemain berpeluang untuk menjadi adiwira Marvel, termasuk juga Captain Marvel untuk melawan Thanos dan The Black Order. Permainan ini akan dikeluarkan pada suku ketiga tahun ini.
BOX BOY! + BOX GIRL!
Box Boy merupakan permainan tekaria yang dikeluarkan untuk 3DS pada tahun 2015. Ia dibangunkan oleh HAL Laboratory. Box Boy! + Box Girl! adalah permainan seterusnya untuk siri ini dan dikeluarkan secara eksklusif untuk Switch. Menariknya, seperti judul, ia juga akan menyertakan satu lagi watak iaitu Box Girl yang memboleh permainan tersebut dimainkan secara koperasi bersama rakan anda. Ia akan dikeluarkan pada 26 April 2019.
Bloodstained: Ritual of the Night
Bloodstained: Ritual of the Night merupakan permainan aksi side-scroller yang diarah oleh Koji Igarashi iaitu penerbit untuk siri permainan Castlevania. Melalui permainan ini, pemain akan menjadi watak Miriam yang disumpah dan badannya semakin menjadi keras. Untuk menyelamat dunia dan juga diri dia sendiri, pemain perlu menewaskan Gebel. Permainan ini akan dikeluarkan pada suku ketiga 2019, selain Switch ia juga akan tiba untuk Playstation 4, Xbox One dan PC.
Dragon Quest Builder 2
Dragon Quest Builders 2 adalah permainan pengembaraan RPG seakan Minecraft dimana pemain berupaya untuk membina pelbagai kelengkapan dan segala dunia permainan tersebut terbentuk melalui bentuk kiub. Permainan ini akan dikeluarkan untuk Switch dan juga Playstation 4 pada 12 Julai 2019.
Disney Tsum Tsum Festival
Disney Tsum Tsum Festival oleh Bandai Namco ini merupakan permainan koperasi yang menyertakan pelbagai permainan mini. Ia boleh dimainkan bersama sehingga 4 pemain secara setempat ataupun dalam talian. Permainan ini akan tiba pada tahun ini.
Oninaki
Oninaki merupakan permainan seterusnya dari Tokyo RPG Factory yang sebelum ini mengeluarkan permainan I Am Setsuna dan Lost Sphear. Ia adalah permainan RPG di mana watak utama dapat memasuki alam nyata dan alam ghaib. Ia akan dikeluarkan pada suku ketiga tahun ini untuk Switch, Playstation 4 dan PC.
Tetris 99
Tetris 99 seperti judulnya merupakan permainan tekaria popular Tetris. Menariknya, melalui Tetris 99, pemain akan bermain melawan 99 pemain lain untuk menentukan siapa yang akan menjadi juara. Permainan ini percuma untuk dimuat turun tetapi memerlukan Nintendo Switch Online untuk bermain. Ia boleh dimuat turun sekarang.
Dead by Daylight
Dead By Daylight merupakan permainan ketahanan hidup seram yang sudah dikeluarkan untuk Playstation 4, Xbox One dan PC. Akhirnya, permainan ini diumumkan untuk Switch dan akan tiba pada suku keempat tahun ini. Namun, berdasarkan video yang diperlihatkan kami tidak merasakan ia adalah versi yang baik untuk dimilik kerana kualiti grafik dan juga kelancaran. Ia juga memerlukan Nintendo Switch Online.
Deltarune
Deltarune merupakan permainan RPG yang dibangunkan oleh Toby Fox. Beliau sebelum ini mengeluarkan permainan Undertale. Bahagian pertama sudah dikeluarkan untuk PC dan akan tiba untuk Switch pada 28 Februari 2019. Ia adalah percuma akan tetapi bahagian seterusnya yang masih di dalam pembangunan akan dijual.
GRID Autosport
GRID Autosport merupakan permaina simulasi perlumbaan kereta yang dibangunkan oleh Codemaster. Ia sudah dikeluarkan pada tahun 2014 untuk Playstation 3, Xbox 360 dan PC. Sebelum dikeluarkan untuk iOS pada tahun 2015. Manakala versi Swith akan dikeluarkan pada suku ketiga tahun ini, kemungkinan besar bersama dengan versi Android.
Hellblade: Senua’s Sacrifice
Hellblade: Senua’s Sacrifice merupakan permainan aksi pengembaraan yang dibangunkan oleh Ninja Theory untuk Playstation 4 dan PC pada tahun 2017 serta Xbox One pada tahun 2018. Ia akan dikeluarkan pada suku kedua tahun ini.
Unravel Two
Unravel Two iaitu permainan tekaria koperasi yang dibangunkan oleh Coldwood Interactive dan dikeluarkan oleh EA untuk Playstation 4, Xbox One dan PC iaitu pada 10 Jun 2018 kini akhirnya akan dikeluarkan untuk Switch. Ia akan tiba pada 22 Mac 2019.
Assassin’s Creed 3 Remastered
Assassin’s Creed 3 Remastered sebelum ini dikeluarkan sebagai sebahagian daripada pas semusim untuk Assassin’s Creed Odyssey dan diumumkan akan dikeluarkan secara berasingan untuk PS4, Xbox One dan PC pada 29 Mac ini. Hari ini, ia juga diumumkan untuk Switch dan akan tiba pada 21 Mei 2019.
Final Fantasy VII & Final Fantasy IX
Permainan klasik Final Fatnasy VII & Final Fantasy IX akan tiba untuk Switch. Final Fantasy IX sudah boleh didapati sekarang melalui eShop manakala Final Fantasy VII akan dikeluarkan pada 26 Mac 2019.
Chocobo’s Mystery Dungeon Everybuddy
Chocobo’s Mystery Dungeon Everybuddy merupakan permainan berdasarkan Final Fantasy Fables: Chocobo’s Dungeon yang dikeluarkan pada tahun 2008 untuk Wii dan DS. Ia akan dikeluarkan pada 20 Mac 2019 untuk Switch dan juga Playstation 4.
Kemaskini
Super Smash Bros. Ultimate bakal menerima kemaskini versi 3.0 pada suku kedua tahun ini. Namun, maklumat lanjut mengenai kemaskini tersebut akan dikongsikan kemudian. Mereka juga memperlihatkan buat pertama kali watak Joker untuk permainan ini.
Captain Toad: Treasure Tracker pula akan menerima kemaskini percuma yang membolehkan setiap peringkat di dalam permainan ini dimainkan secara koperasi seramai 2 orang. Selain itu ia juga bakal menerima DLC berbayar Special Episode yang menyertakan 18 cabaran dan 5 peringkat baharu. Peringkat pertama DLC tersebut boleh dimainkan sekarang manakala peringkat selebihnya akan tiba pada 14 Mac 2019.
Demo
Selain mengumumkan permainan baharu dan kemaskini, Nintendo juga mengumumkan beberapa permainan kini disertakan dengan demo percuma untuk dicuba oleh pemain. Antara permainan yang menerima demo adalah Yoshi’s Crafted World dan Daemon X Machina. Kedua-dua demo tersebut boleh dicuba sekarang.
Berikut adalah segala pengumuman oleh Nintendo semasa Nintendo Direct hari ini. Jika anda ingin menonton acara tersebut, kami sertakan video di bawah.