Ketika Onimusha Warlords dilancarkan pada tahun 2001 yang lepas di Playstation 2, ianya sememangnya satu permainan yang sangat menarik dengan membawa bentuk seakan satu lagi permainan Capcom yang terkenal, iaitu Resident Evil ke era Sengoku di Jepun.

Sememangnya siri ini asalnya dibangunkan sebagai permainan Resident Evil yang berelemenkan Ninja buat konsol Playstation 1. Akan tetapi, pembangunan permainan tersebut dibatalkan oleh Capcom namun ianya diteruskan selepas Sony mengumumkan Playstation 2.

Selang beberapa tahun, Onimusha akhirnya dilancarkan secara rasmi pada tahun 2001 di Playstation 2 kini, Capcom membawanya semula di konsol generasi kini iaitu Playstation 4, Xbox One, Switch dan juga PC. Adakah permainan Onimusha Warlords masih lagi seronok dimainkan di tahun 2019? Ini adalah ulasan saya.

Cerita

Memandangkan permainan ini adalah permainan pernambah-baikkan, sememangnya Capcom tidak mengubah sebarang kandungan tersebut. Walaupun begitu, memandangkan permainan ini dibangunkan pada tahun 2001, ianya sememangnya mempunyai penceritaan yang ringkas.

Permainan ini meletakkan pemain sebagai seorang samurai bernama Samanosuke Akechi dimana berlakunya perang di era Sengoku antara Nobunaga Oda dan Imagawa Yoshimoto. Namun, permainan ini mengembangkan tema samurai tersebut dengan meletakkan beberapa elemen fantasi seperti syaitan dan sebagainya.

Melaluinya, Samanosuke menerima satu surat oleh puteri Yuki di mana beliau berasa bahaya berada di dalam istananya dan ingin Samanosuke menyelematkannya. Namun, ketika perjalanan Samanosuke ke istana tersebut, puteri Yuki diculik dan bersama-sama Kaede, iaitu teman kepada Samanosuke, pemain perlu menyelematkan puteri Yuki dan menghapuskan ancaman-ancaman syaitan.

Secara asasnya, permainan ini sememangnya mempunyai bentuk yang ringkas dan pendek. Saya sendiri berjaya menghabiskan permainan ini kurang dari 4 jam. Namun, permainan pendek ini tidaklah asing ketika tahun permainan ini dilancarkan beberapa tahun lepas. Namun, memandangkan permainan ini dipernambah-baikkan di tahun 2019, ianya berasa agak sekejap dengan kandungan yang sangat sedikit.

Ini juga menyebabkan permainan ini berasa agak mendatar dan berkurangan kerana setelah pemain berjaya melengkapkan permainan ini, saya sendiri tidak berasa untuk memainkannya semula. Ini kerana apa yang dinyah-kunci setelah saya melengkapkannya hanyalah kostum yang berbeza sahaja.

Sememangnya permainan ini mempunyai tahap kesukaran yang berbeza dan cabaran tambahan yang pemain boleh lakukan, namun pada pendapat saya ianya masih lagi tidak berbaloi dengan kandungan yang sedikit.

Grafik

Seperkara yang mana sangat mengecewakan bagi saya buat permainan ini adalah dari segi bentuk visual grafiknya. Melalui permainan pernambah-baikkan ini, Capcom tidak melakukan sebarang olahan semula untuk aset-aset latar belakang dan hanya mengembangkannya dengan resolusi definisi tinggi sahaja.

Memandangkan permainan ini sebelum ini adalah dalam bentuk definisi lebih rendah ianya membuatkan latar belakang permainan ini kelihatan sangat buruk dan pecah. Ini kerana permainan ini menggunakan konsep seperti permainan klasik Playstation 1 dahulu dengan latar belakang bergambar siap.

Tambahan itu, terdapat juga beberapa masalah dari segi bayang-bayang yang tidak dipaparkan dengan baik akibat beberapa had konsol Playstation 2 sebelum ini. Namun, saya sendiri berharap agak Capcom membaiki masalah tersebut. Dukacitanya, Capcom tidak melakukan sebarang pernaik-taraf dan segala visual yang dipaparkan agak mengecewakan.

Capcom juga tidak membaiki sebarang masalah lain seperti visual watak-watak dan bentuk animasi yang agak kekok malah kesemuanya adalah satu salinan terus daripada permainan asal.

Walaupun begitu, jika dibandingkan dengan visual imej di Playstation 2 sebelum ini, sememangnya Onimusha Warlords yang dipernambah-baik semula ini adalah lebih baik. Akan tetapi, permainan ini masih lagi tidak mempunyai sebarang pernaik-tarafan yang berbaloi dan ianya adalah seperti permainan-permainan yang dinaik-tarafkan oleh Capcom sebelum ini seperti mana yang mereka lakukan di Resident Evil 0 HD Remaster sahaja.

Audio

Pada era awal 2000, tidak banyak permainan yang mempunyai suara latar dan kebanyakkan permainan yang mempunyai bajet yang tinggi sahaja akan diletakkan suara latar. Walaupun begitu, era tersebut juga sangat terkenal dengan suara latar yang agak kekok dan pelik dimana permainan Onimusha Warlords ini juga tersenarai.

Perkara yang harus dipuji buat versi bahasa Jepun dimana watak Samanosuke Akechi, dilakonkan oleh suara latar asli daripada model watak tersebut iaitu Takeshi Kaneshiro. Tambahan itu kebanyakkan suara latar dalam bentuk bahasa Jepun, adalah sangat baik sekali jika hendak dibandingkan ketika era tersebut.

Namun dari bentuk suara latar bahasa Inggeris pula, kebanyakkan watak yang dilakonkan adalah sangat mengecewakan. Terutamanya watak-watak sampingan yang mana mempunyai suara latar yang agak kelakar dicampur dengan kekok.

Walaupun begitu, sebagai satu permainan yang berusia hampir 20 tahun, ini adalah sesuatu yang tidak mengejutkan memandangkan pembangunan permainan di era tersebut adalah berlainan pada masa kini.

Kawalan

Bahagian paling penting sekali untuk Onimusha Warlords ini adalah bentuk kawalannya. Memandangkan permainan ini adalah permainan yang berusia dimana ianya dilancarkan pada tahun 2001, adakah permainan ini masih seronok dimainkan walaupun 18 tahun kemudian?

Jawapannya adalah ya, permainan ini sememangnya sangat seronok untuk dimainkan untuk pemain baharu ataupun pemain lama. Namun, saya perlu akui dimana saya sendiri adalah pemain dan peminat siri asal Onimusha, dan sekaligus sepanjang sesi permainan saya, Onimusha Warlords sememangnya membawa kembali semangat nostalgia buat saya ketika mengembara di era Sengoku tersebut.

Secara asasnya, Onimusha Warlords mempunyai bentuk seakan sama dengan permainan klasik Resident Evil, namun dengan menggantikan senjata api, melalui permainan ini pemain akan menggunakan pedang.

Dari segi bentuk kamera, permainan ini masih lagi mengekalkan kamera statik dimana ianya akan berubah setiap kali pemain bergerak ke kawasan baharu ataupun melalui adegan dan sebagainya. Ini juga merupakan satu perkara yang agak dibenci saya kerana melalui bentuk sebegini, terdapat beberapa had penglihatan seperti musuh yang berada di luar kawasan pandangan ataupun kamera yang berubah secara tiba-tiba jika pemain bergerak.

Akan tetapi, bentuk ini sememangnya adalah disebabkan had yang dihadapi oleh konsol sebelum ini dan memandangkan ianya adalah satu bentuk yang agak tipikal pada suatu ketika itu, perkara ini tidaklah memberi kesan yang terlampau buruk.

Apa yang membuat permainan Onimusha ini unik adalah bentuk pengumpulan ‘roh’ di dalam permainan ini dimana setelah pemain mengalahkan musuh, pemain perlu menekan satu butang khas (Jika di Playstation 4, butang bulat) untuk mengumpul ‘roh-roh’ tersebut. Roh tersebut pula merupakan ‘mata wang’ utama di dalam permainan ini dimana pemain boleh menggunakannya untuk menaik-taraf senjata ataupun meningkatkan nilai orb pemain untuk menyah-kunci kawasan baharu. Pemain juga boleh mengguna roh tersebut untuk tingkatkan herba untuk menjadi ubat yang lebih kuat ataupun peluru atau anak panah yang berkuasa.

Sememangnya pengumpulan roh tersebut merupakan asas utama permainan ini yang mana seperti permainan-permainan lain, kebanyakkan roh ataupun sebarang ganjaran selepas menewaskan akan boleh diambil secara automatik ataupun hanya mendekatinya sahaja.

Namun melalui Onimusha, pemain perlu berhenti seketika dan menyerap roh-roh tersebut melalui Gauntlet Oni. Ini sekaligus membuatkan pemain berada dalam keadaan yang agak terdedah dan mudah untuk diserang oleh musuh. Sekaligus, ianya membuka bentuk pemain yang sangat sukar dan menyeronokkan untuk pemain.

Dari segi bentuk senjata pula, pemain mempunyai 3 senjata pedang utama yang mana setiap satunya mempunyai kombinasi serangan dan elemen berbeza. Ini merupakan satu perkara penting dimana terdapat beberapa elemen yang pemain perlu gunakan untuk maju di dalam permainan ini. Pemain juga mempunyai beberapa pilihan dua pedang tambahan lain yang pemain boleh dapatkan. Namun dari segi serangan ianya agak terhad dimana ianya mempunyai satu butang sahaja untuk serangan biasa. Manakala serangan magis pula tidaklah mempunyai bentuk tambahan yang lain. Walaupun pemain berupaya untuk menaik-tarafkan senjata tersebut, ianya tidaklah memberi kesan yang begitu berbeza dan hanya meningkatkan kuasanya sahaja.

Terdapat satu perkara yang saya sangat menyukai dalam bentuk pernambah-baikkan ini adalah Capcom menyertakan satu butang (L2 dan R2) untuk pemain menukar senjata secara pantas. Ini merupakan satu perkara yang sangat penting memandangkan penukaran senjata merupakan perkara utama di dalam permainan dan sebelum ini untuk menukarnya, pemain perlu memasuki menu permainan dan menukarnya secara sendiri. Namun dengan butang pintas ini, pemain berupaya untuk menukar senjata dengan lebih cepat antara pedang yang berbeza ataupun antara senjata api dan panah.

Seperti permainan Resident Evil, pemain juga boleh dapatkan herba atau ubat-ubatan untuk menyembuhkan pemain. Selain itu, permainan ini juga mempunyai beberapa tekaria yang pemain perlu selesaikan bersama-sama bentuk cabaran bertingkat iaitu mod Dark Realms.

Dari semasa ke semasa, pemain juga akan menukar watak antara Kaede dan Samanosuke. Tetapi, memandangkan Kaede tidak mempunyai Gauntlet Oni, bentuk permainannya agak berlainan dan sukar.

Selain itu, permainan ini juga menyertakan pelbagai jenis musuh yang pemain akan tempuhi daripada musuh yang hanya boleh dikalahkan dengan jarak jauh dan juga musuh yang mempunyai bentuk ketahanan yang tinggi. Dari segi bentuk ketua musuh juga, permainan ini juga menyertakan pelbagai jenis ketua musuh yang berbeza dimana ianya pasti akan memberi cabaran buat pemain. Namun, jika pemain bermain di tahap kesukaran yang biasa, permainna ini tidaklah begitu sukar untuk dimainkan.

Selain itu, memandangkan permainan ini tidak mempunyai penyimpanan secara automatik dan pemain perlu menyimpan fail simpanan secara manual. Ini juga menyebabkan satu bentuk yang agak menjengkelkan akibat terdapat beberapa peringkat di mana pemain akan hadapi satu tekaria yang sangat menghukumkan pemain yang meletakkan pemain untuk memuat semula permainan daripada penyimpanan pemain yang agak jauh jika pemain kalah atau salah tekaria tersebut.

Akan tetapi ianya hanyalah satu kritikan kecil sahaja dan ianya tidaklah merosakkan keseluruhan sesi permainan saya.

Kesimpulan

Jika ingin disimpulkan, Onimusha Warlords sememangnya satu permainan yang seronok dimainkan di tahun 2019 ini. Bentuk kamera statik yang klasik bersama-sama dengan bentuk pertempuran jarak dekat bersama pedang samurai dan pengumpulan roh membuat permainan ini sukar dan pada masa yang sama nostalgia buat mereka yang pernah bermain Onimusha sebelum ini.

Akan tetapi, memandangkan permainan ini dikatakan satu permainan pernambah-baikkan, tidak banyak ‘pernambah-baikkan’ yang dilakukan oleh Capcom dan hanya menaik-taraf permainan ini ke definisi tinggi sahaja.

Dengan kandungan dan visual latar belakang yang masih lagi sama dengan permainan asal, ianya membuatkan beberapa visual permainan ini kelihatan agak buruk dan juga suara latar yang mengecewakan.

Walaupun begitu, saya masih akan mengesyorkan permainan ini buat mereka yang pernah bermain Onimusha sebelum ini dan ingin kembali mengembara di era Sengoku bersama Samanosuke untuk pengalaman nostalgia. Akan tetapi, buat mereka yang tidak pernah bermain permainan Onimusha ataupun sebarang permainan klasik Resident Evil, saya berasa ianya adalah tidak sesuai untuk anda.

Dengan ini, saya juga berharap agar Capcom membawa kembali siri Onimusha ke konsol generasi kini dengan permainan baharu dan bukan lagi permainan pernambah-baikkan.

Penafian: Kod Ulasan Onimusha Warlords disediakan oleh Capcom

Sohor Kini