Activision Blizzard hari ini mengumumkan laporan kewangan mereka bagi suku keempat dan juga untuk tahun fiskal 2018-2019. Walaupun memperlihatkan peningkatan sebanyak 7% untuk jumlah pendapatan, mereka dilaporkan membuang hampir 800 pekerja daripada pelbagai organisasi seperti Activision, Blizzard dan juga King.
Selain itu mereka juga mengumumkan Call of Duty: Black Ops 4 mendapat sambutan yang baik. Jumlah jualan untuk permainan tersebut di PC adalah tiga kali ganda berbanding Call of Duty: Black Ops 3. Selain itu, permainan tersebut dijual secara digital sebanyak 40% berbanding 30% untuk Call of Duty: WWII.
Manakala Crash Bandicoot N. Sane Trilogy yang dikeluarkan pada tahun 2017 kini sudah terjual sebanyak 10 juta unit, selain mengatakan Spyro Reignited Trilogy juga mendapat sambutan yang baik tetapi tidak berkongsi jumlah jualan.
Jumlah pendapatan untuk setiap organisasi adalah seperti berikut, Activision $2.73 bilion, Blizzard $2.26 bilion dan King 2.09 bilion. Ini merupakan satu tahun yang baik buat Activision Blizzard.
Pembuangan 800 pekerja yang dilaporkan kebanyakan daripada bahagian sokongan dan bukan pembangunan adalah untuk menghadapi tahun 2019-2020 yang menurut mereka tidak akan mempunyai pengeluaran permainan utama.