Skip to main content

Permainan terkini oleh Bethesda Softworks iaitu Fallout 76 sememangnya mempunyai pelbagai drama dan masalah sejak ianya dilancarkan tahun lepas. Isu seperti beg edisi terhad yang mempunyai kualiti yang teruk sehinggalah pemain mempunyai akses bilik rahsia pembangun khas.

Terkini, tampaknya satu lagi pepijat di dalam permainan tersebut timbul dimana pemain bernama McStaken secara tidak sengaja mengakses bilik kebal terkunci, iaitu Vault 63.

Menurut kenyataan beliau di Reddit, beliau secara tidak sengaja diletakkan di bilik tersebut setelah selesai melakukan acara di dalam permainan tersebut. Ini sekaligus memaksa beliau untuk meneroka beberapa lokasi tersebut dan bagi anda yang berminat untuk melihat keseluruhan imej beliau anda boleh ke pautan Reddit di atas.

Tambah McStaken, beliau juga risau akan akaun beliau akan diharamkan pada masa akan datang akibat mempunyai akses bilik tersebut seperti mana pemain lain terima akibat mengakses bilik rahsia sebelum ini. Namun, Bethesda Softworks menyatakan bahawa mereka tidak akan haramkan akaun beliau kerana ianya berlaku secara tidak sengaja.

Tambah Bethesda, bilik kebal tersebut masih lagi di dalam pembangunan dan mereka pasti akan memberi akses kepada semua pemain pada masa akan datang.

Sememangnya bilik rahsia ataupun pepijat di dalam permainan adalah satu benda yang biasa di dalam permainan video. Akan tetapi, tampaknya Bethesda mempunyai pelbagai ‘kandungan’ yang disekat buat masa ini dan kelihatan pada masa akan datang mungkin akan terdapat pelbagai lagi kandungan yang bakal tiba seperti mana yang dijanjikan oleh Bethesda sebelum ini.

Leave a Reply