Informasi Permainan Video Terkini
5 Permainan Dengan Jalan Cerita Terbaik

5 Permainan Dengan Jalan Cerita Terbaik

Diterbitkan pada Feb 12, 2019 oleh .

Permainan video sering dibahagikan kepada dua asas iaitu jalan cerita dan bentuk permainan. Pemain juga ada yang lebih memfokuskan bentuk permainan berbanding jalan cerita. Manakala ada juga pemain, seperti saya, yang lebih menekankan mengenai jalan cerita berbanding bentuk permainan.

Apa pun pilihan pemain, kedua-dua perkara ini yang menjadikan permainan video satu seni yang unik. Melalui penulisan ini, saya akan kongsikan 5 permainan video yang secara peribadi mempunyai jalan cerita yang terbaik.

The Last of Us

Agak mustahil jika ingin mengeluarkan senarai untuk jalan cerita terbaik jika tidak menyertakan permainan yang dikeluarkan oleh Naughty Dogs ini. The Last of Us dikeluarkan pada tahun 2013, 6 tahun kemudian masih tiada permainan yang bagi saya dapat menandingi penceritaan yang disertakan.

Kekuatan jalan cerita permainan ini, sudah semestinya perwatakan yang disertakan. Joel dan Ellie merupakan gandingan terbaik yang pernah hadir di dalam permainan video, perhubungan mereka bersama dengan watak-watak lain sangat memberi impak emosi kepada penceritaan.

Mungkin sebab itulah, adegan-adegan di dalam permainan ini sering saya akan ulang tonton di Youtube untuk mengenang kembali serta mengingatkan saya betapa tinggi kualiti penceritaan yang disertakan.

To The Moon

To The Moon boleh dikatakan contoh terbaik jika ingin membandingkan antara bentuk permainan dan jalan cerita. Jika mengikut bentuk permainan, To The Moon menyertakan bentuk permainan yang sangat asas dan tidak menarik.

Namun, jalan cerita yang dibawa merupakan satu perkara yang mempunyai impak emosi dan sangat indah. Ia juga menggunakan genre sains fiksyen dengan sangat menarik.

Disebabkan bentuk permainan yang boleh dikatakan membosankan, sesetengah pemain mungkin merasakan ia bosan, akan tetapi saya boleh katakan penceritaan yang disertakan menjadikan ia satu permainan yang sangat berbaloi untuk diluangkan masa.

Life is Strange

Pada episod awal, selain keunikan kuasa yang dimiliki oleh Max, Life is Strange oleh Dontnod tidak mempunyai jalan cerita yang menarik. Namun, selepas perwatakan Max dan Chloe mula berkembang, ditambah lagi pelbagai misteri lain menjadikan penceritaan yang disertakan di dalam permainan ini sangat menyentuh hati.

Walaupun tidak menyukai ia disertakan dengan dua pengakhiran, terutama agak jelas satu pengakhiran sahaja yang betul-betul ditekankan namun ia masih satu permainan yang membuatkan saya mengenang mengenai watak-watak di dalamnya.

Secara luaran mungkin permainan ini tampak seperti penceritaan remaja, ia adalah tepat akan tetapi mempunyai lebih banyak pengisian yang lain membuatkan jalan cerita yang disertakan bersesuaian untuk semua lapisan umur (kecuali kanak-kanak).

Bioshock Infinite

Ada kemungkinan penceritaan yang disertakan di dalam permainan Bioshock yang awal seperti Bioshock 1 dan 2 mempunyai jalan cerita yang lebih baik, namun saya tidak pernah menghabiskan kedua-dua permainan tersebut.

Bioshock Infinite yang merupakan satu-satunya permainan Bioshock yang saya berjaya habiskan, mempunyai jalan cerita yang sangat menarik. Seperti The Last of Us, Bioshock Infinite juga mempunyai dinamik perhubungan antara dua watak yang baik iaitu Booker dan Elizabeth.

Walaupun tidak mempunyai penceritaan yang memberik impak emosi tetapi menyertakan jalan cerita yang sangat mendalam yang akan membuatkan pemain berfikir terutama pada pengakhiran.

The Witcher 3: Wild Hunt

The Witcher 3: Wild Hunt selain mempunyai bentuk permainan yang baik, rekaan dunia yang menakjubkan ia juga disertakan dengan jalan cerita yang sangat menarik. Bukan sahaja untuk penceritaan utama akan tetapi juga cerita selingan untuk misi-misi sampingan.

Menyelesaikan misi-misi utama dan sampingan di dalam permainan ini bagaikan membaca cerita-cerita pendek yang mempunyai jalan cerita serta watak-watak sendiri.

Tidak kira anda seorang yang mengikuti siri The Witcher ataupun tidak, tetapi permainan ini akan memberikan anda jalan cerita yang pelbagai dan unik. Namun, seperti Life is Strange, saya juga merasakan pengakhiran berbeza yang disertakan di dalam permainan ini lebih menganggu berbanding memberi penambahan kandungan.


Berikut adalah 5 permainan yang bagi saya menyertakan penceritaan terbaik di dalam permainan video. Mungkin ada lebih banyak permainan yang mempunyai jalan cerita yang lebih baik akan tetapi saya tidak pernah menghabiskannya. Oleh sebab itu, jangan lupa untuk kongsi kan senarai anda sendiri di bahagian komen.


TIPS & ULASAN