Pada bulan Mei tahun lepas, kami laporkan yang mana permainan video Capcom – Monster Hunter akan hadir dengan filem adaptasi oleh Paul W.S. Anderson. Paul sebelum ini mengarah filem Resident Evil yang dilakonkan oleh Milla Jovovich. Milla juga dilaporkan adalah antara pelakon utama buat filem Monster Hunter ini.
Kini, tarikh tayangan buat filem ini sudah pun diumumkan. Filem Monster Hunter ini akan ditayangkan pada 4 September 2020. Filem ini akan mempunyai sedikit perubahan dengan permainan video, kerana daripada apa yang sumber kongsikan – sinopsisnya dilihat sedikit berlainan.
Versi filem ini mengisahkan satu pasukan askar yang diketuai oleh Lt. Artemis (lakonan Milla Jovovich) masuk ke dunia Monster Hunter. Lt Artemis dan pasukan terpaksa bekerjasama dengan seorang individu yang penuh misteri (lakonan Tony Jaa) untuk keluar dari dunia tersebut. Antara pelakon lain yang terlibat adalah Ron Perlman (terkenal dengan Hellboy).
Bagaimana permulaan dan pengakhiran filem ini? Kita perlu nantikan sahaja tayangan filem ini pada tahun hadapan.