Informasi Permainan Video Terkini
5 Filem Menarik Sepanjang Bulan Februari 2019

5 Filem Menarik Sepanjang Bulan Februari 2019

Diterbitkan pada Feb 7, 2019 oleh .

Bulan Februari telah pun tiba, sekelip mata sahaja satu bulan telah pun berlalu buat tahun 2019. Bulan baru pasti ada filem baru. Februari ini, terdapat 5 filem yang bagi kami adalah terbaik dan berikut adalah filem-filem tersebut.

1. Alita Battle Angel

Alita Battle Angel adalah filem futuristik yang mengisahkan sebuah robot berotakkan manusia, Alita yang diselematkan oleh Dr. Ido. Latar masa filem ini adalah pada tahun 2500-an iaitu selepas peperangan The Fall. Filem ini adalah berdasarkan komik Jepun yang ditulis oleh Yukito Kishiro. Filem ini sudah pun ditayangkan dua hari lepas, iaitu 5 Februari.

2. The Lego Movie 2: The Second Part

Lego Movie 2: The Second Part adalah kesinambungan kepada The Lego Movie yang ditayangkan empat tahun lalu. Berdasarkan video acah ia menempatkan semua watak-watak Lego di dunia Mad Max, angkasa lepas dan juga dunia fantasi kanak-kanak yang comel. Filem ini dijadualkan untuk tayangan pada 8 Februari 2019, tetapi jika anda ingin tonton filem ini lebih awal, ia sudah pun boleh ditonton bermula hari ini 7 Februari pada beberapa pawagam terpilih.

3. Happy Death Day 2U

Filem ini adalah filem seram-suspen. Ia adalah sekuel kepada Happy Death Day yang ditayangkan pada dua tahun lepas. Ia mengisahkan seorang pelajar, Tree Gelbman yang mati/hidup berulang kali. Cuma untuk filem kedua ini, beliau perlu membantu rakan beliau pula – Ryan. Anda boleh saksikan filem ini bermula 21 Februari tahun ini.

4. Cold Pursuit

Watak utama filem ini adalah Liam Neeson yang berlakon sebagai Nels Coxman. Jalan cerita yang agak klise, di mana Nels ingin membalas dendam atas kejadian buruk (mati) yang terjadi pada anak beliau. Beliau yang hanya seorang pemandu snowplow ini akan berhadapan dengan musuh bernama Viking. Cold Pursuit akan ditayangkan pada tarikh yang sama dengan filem Happy Death Day 2U, iaitu 21 Februari 2019.

5. Fate/Stay Night: Heaven’s Feel – II. Lost Butterfly

Heaven’s Feel merupakan sebahagian daripada cabang penceritaan untuk Fate/Stay Night bersama dengan Fate dan Unlimited Blade Works. Bahagian kedua ini meneruskan penceritaan bahagian pertama yang memfokuskan perhubungan antara Shirou dan Sakura. Filem anime ini akan ditayangkan di Malaysia pada 28 Februari dan terhad pada GSC sahaja.

Anda pasti tertanya, kenapa Januari 2019 terdapat filem tempatan kami senaraikan dan kenapa bulan Februari tiada? Ini kerana, bagi kami – 5 filem adalah antara yang terbaik dan layak disenaraikan. Jika anda tidak berasa begitu, kongsikan pendapat anda – apakah 5 filem terbaik untuk ditonton pada bulan ini?


TIPS & ULASAN