Microsoft hari ini mengumumkan bahawa mereka menjenamakan semula Microsoft Studios kepada Xbox Game Studios. Ini sekaligus meletakkan pembangun-pembangun dibawah naungan mereka kini adalah sebahagian daripada Xbox Game Studios.
Antara studio pembangun yang dibawah Xbox Game Studios juga kini terdiri daripada 13 pasukan pembangun iaitu:
- 343 Industries
- The Coalition
- Compulsion Games
- The Initiative
- inXile Entertainment
- Minecraft
- Ninja Theory
- Obsidian Entertainment
- Playground Games
- Rare
- Turn 10 Studios
- Undead Labs
- Global Publishing
Menurut Microsoft, mereka sememangnya komited untuk membawa permainan-permainan buat pemain di pelbagai platform seperti konsol, PC dan juga peranti mudah-alih. Dengan berkembangnya platform Xbox, mereka kini ingin meletakkannya sebagai satu jenama permainan video di semua peranti buat semua pemain.
Menurut Microsoft lagi, 2019 bakal menjadi tahun yang besar untuk Xbox dimana mereka bakal melancarkan pelbagai permainan seperti Crackdown 3, Gears 5, Ori And The Will Of The Wisp yang mana permainan-permainan tersebut juga bakal tiba buat pelanggan Xbox Game Pass. Menariknya juga, Microsoft menyatakan pelbagai kandungan bakal tiba buat permainan Sea Of Thieves, Forza Horizon 4 dan Minecraft menjelang tahun ini.
Sememangnya ini merupakan sesuatu yang perlu dilakukan oleh pihak Microsoft memandangkan mereka tidaklah mendapat sambutan yang baik beberapa tahun lepas dengan pelbagai permainan yang mendapat pelbagai kritikan ramai. Dengan ini, kami di Aksiz juga tidak sabar untuk menanti apa yang bakal Microsoft bawa dan umum untuk tahun 2019 ini.