Menurut laporan Nikkei, iaitu media dari Jepun, mereka menyatakan bahawa Nintendo bakal mengeluarkan konsol Nintendo Switch yang lebih kecil pada tahun ini.
Tambah mereka, konsol tersebut akan berharga lebih murah dengan memfokus bentuk mudah alih. Walaupun begitu, informasi lain tidak lagi dikongsikan setakat ini.
Tambahan itu, Nikkei juga melaporkan bahawa Nintendo juga akan tingkatkan lagi servis atas talian Nintendo Switch Online pada tahun ini dengan peningkatan harga langganan.
Menariknya, sebelum ini WSJ juga melaporkan bahawa Nintendo bakal membawa konsol Switch baharu untuk tahun ini. Namun, berdasarkan laporan mereka, konsol Switch baharu akan disertakan bersama skrin baharu.
Walaupun begitu, ini adalah sesuatu yang tidak mengejutkan memandangkan konsol mereka seperti Nintendo 3DS sebelum ini juga telah dikeluarkan dengan pelbagai bentuk pengubah-suaian dan versi berbeza. Kami percaya, Nintendo mungkin akan membawa versi yang lebih murah seperti Switch tanpa dok untuk menarik minat lebih ramai pemain. Walaupun begitu, ini juga hanya spekulasi dari pihak kami dan buat masa ini, Nintendo masih belum berkongsi sebarang pengumuman berkenaannya.