Epic Games Store dan Deep Silver baru-baru ini membuat satu kejutan apabila mengumumkan permainan terbaru buat siri Metro iaitu Metro Exodus akan dijual melalui Epic Games Store sahaja untuk PC. Ia lebih mengejut kerana permainan tersebut sebelum ini boleh di pra-tempah di Steam. Boleh dikatakan ini merupakan keputusan yang baru sahaja di buat dan bukan di dalam perancangan awal.

Seperti biasa, pengumuman sebegini sudah semestinya akan menerima pelbagai reaksi. Ada pemain yang tidak kisah, ada pemain yang tidak menyukai keputusan tersebut dan sangat vokal mengenainya. Bahkan ramai pemain yang menjadikan ruangan ulasan di Steam untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka. Permainan Metro sebelum ini iaitu Metro 2033 dan Metro Last Light menerima banyak ulasan negatif.

Pada pendapat saya, pemain tidak seharusnya bertindak demikian kerana perkara sebegini bukanlah sesuatu yang baharu. Ia juga bukan satu masalah yang besar. Mungkin agak menyusahkan kerana perlu memasang aplikasi ataupun klien lain, namun, ia bukanlah seteruk perlu membeli konsol lain semata-mata untuk bermain satu permainan.

Pemain juga harus menyedari yang permainan video merupakan satu perniagaan, setiap keputusan yang dibuat adalah demi mendapat keuntungan. Bukan sahaja untuk pembangun tetapi juga untuk penerbit. Keputusan yang dibuat tidak semestinya sekadar ingin menyakitkan hati pemain. Mengenai Metro Exodus, keputusan yang dibuat oleh Deep Silver ataupun Koch Media bagi saya ia adalah satu keputusan yang masuk akal dan berikut adalah mengapa mengikut pendapat saya.

Bulan Februari boleh dikatakan bulan yang sibuk dan padat dengan pelbagai permainan yang menarik. Metro Exodus akan dikeluarkan pada 15 Februari. Pada hari yang sama mereka terpaksa bersaing dengan Crackdown 3, Far Cry: New Dawn dan juga Jump Force. Namun, pesaing yang lebih besar adalah Anthem iaitu permainan oleh EA dan Bioware yang akan dikeluarkan pada 22 Februari.

Kebanyakan pemain hanya membeli satu ataupun dua permainan sahaja untuk satu bulan bahkan untuk beberapa bulan. Boleh dikatakan kebanyakan pemain akan berbelanja untuk membeli Anthem dan saya boleh katakan Metro Exodus tidak akan mendapat jumlah pembelian yang tinggi pada bulan pengeluaran.

Oleh disebabkan itu, boleh dikatakan Deep Silver tidak menjangkakan Metro Exodus akan mendapat penjualan yang baik pada awal pengeluaran. Mereka juga mempunyai maklumat yang tidak tersedia kepada pemain iaitu rekod pra-tempah. Ada kemungkinan yang rekod pra-tempah adalah lebih rendah berbanding yang dijangkakan oleh mereka.

Demi mengurangkan risiko kerugian pada awal pengeluaran permainan ini, mereka terpaksa mencari cara yang lebih selamat. Mungkin inilah yang ditawarkan oleh Epic Games. Dengan menyediakan pembayaran serta peratusan pembahagian yang lebih tinggi. Deep Silver boleh memastikan Metro Exodus bermula dengan baik.

Mereka tidak mengumumkan berapa jumlah pembayaran yang dikeluarkan oleh Epic Games (jika ada) namun mereka juga akan mendapat sokongan daripada Epic Games untuk mempromosi permainan tersebut. Tidak mengeluarkan permainan walaupun secara masa terhad di platform terbesar untuk PC, sudah semestinya akan lebih merendahkan jumlah penjualan. Namun, adalah lebih baik mendapatkan sesuatu yang pasti berbanding sesuatu yang mungkin terjadi

Deep Silver sudah semestinya membuat kiraan risiko mengenainya, dan berpendapat yang kerugian daripada tidak mengeluarkan permainan tersebut di Steam dapat sekurang-kurangnya ditampung dengan pembayaran untuk mengeluarkan permainan tersebut secara eksklusif di Epic Games Store.

Oleh disebabkan itu, bagi saya keputusan yang dibuat oleh Deep Silver ini masuk akal dan merupakan satu keputusan yang tepat. Mereka harus memikirkan bukan sahaja mengenai mengeluarkan permainan tersebut tetapi juga untuk memastikan mereka tidak kerugian. Pemain yang ingin bermain permainan ini, tidak seharusnya menjadikan perbezaan klien sebagai alasan untuk tidak membeli ataupun memuat turun secara haram.

Walaupun saya sendiri tidak menggemari permainan dikeluarkan secara eksklusif untuk sesuatu klien sahaja akan tetapi saya juga berpendapat jika penerbit memilih untuk melakukannya, keputusan tersebut harus diterima. Jika kerananya pemain tidak ingin membeli permainan tersebut, ia adalah hak pemain, akan tetapi janganlah menjadi terlampau sehingga melakukan sesuatu yang tidak berkait dengan keputusan anda.

Ini adalah pendapat saya, bagaimana pula dengan anda?

Sohor Kini