Informasi Permainan Video Terkini
NetEase Membuat Pelaburan Ke Atas Quantic Dream – Permainan Seterusnya Mungkin Multi-Platform

NetEase Membuat Pelaburan Ke Atas Quantic Dream – Permainan Seterusnya Mungkin Multi-Platform

Diterbitkan pada Jan 30, 2019 oleh .

Quantic Dream walaupun mengeluarkan permainan secara eksklusif untuk Playstation, seperti Heavy Rain, Beyond dan terbaru Detroit: Become Human, mereka bukanlah studio pembangun di bawah Sony Interactive Entertainment seperti Naughty Dogs. Sebaliknya mereka adalah syarikat sendiri dan secara majoriti dimiliki oleh David Cage yang merupakan pengasas studio tersebut.

NetEase minggu ini mengumumkan yang mereka membuat pelaburan ke atas studio pembangun tersebut. Mereka tidak mengumumkan jumlah pelaburan tersebut, namun, mengatakan mereka berharap pelaburan tersebut dapat membantu Quantic Dream untuk menjadi syarikat pembangun yang lebih baik.

Dengan pelaburan tersebut NetEase mendapat pemilikan minoriti untuk syarikat tersebut, tetapi David Cage masih menjadi pemilik terbesar. Satu perubahan yang akan berlaku adalah permainan seterusnya oleh mereka akan menjadi multi-platform menurut temubual di antara GamesBeat dan Quantic Dream.

Apabila ditanya mengenai projek seterusnya selepas Detroit, David Cage mengatakan masih awal untuk membuat pengumuman akan tetapi beliau mengatakan mereka sedang membina enjin baharu dan ia akan menyokong multi-platform.

Manakala Guillaume de Fondaumière iaitu ketua eksekutif operasi mengatakan mereka akan terus menyokong Playstation, akan tetapi pada masa sama akan turut menyertakan platform lain agar permainan mereka boleh dimainkan oleh lebih ramai pemain.

Bacaan Lanjut: Ulasan Detroit: Become Human – Permainan Berjiwa Yang Ringkas

Dengan kata lain, pelaburan oleh NetEase ini menjadikan Quantic Dream tidak perlu hanya berharap sokongan kewangan daripada Sony yang menjadikan permainan mereka sebelum ini adalah eksklusif untuk Playstation.

Ini adalah satu perkembangan yang positif buat Quantic Dream, kami berharap dengan pelaburan ini mereka akan terus mengeluarkan permainan yang lebih baik. Terutama selepas kejayaan Detroit: Become Human.

Menariknya, Quantic Dream juga berkongsi satu video untuk mengumumkan perkara ini. Video tersebut menggunakan Chloe daripada Detroit: Become Human yang selain menjadi watak sampingan di dalam permainan tersebut, beliau juga akan menemani anda di skrin pembukaan.


TIPS & ULASAN