Minggu ini, Nintendo berkongsi satu kemaskini berkenaan permainan yang diumumkan oleh mereka beberapa tahun lepas iaitu Metroid Prime 4. Menurut Nintendo, mereka terpaksa menunda permainan tersebut dan membangunkannya semula dari awal.
Berdasarkan video yang dikongsikan, Shinya Takahashi, pengurus untuk membangunan permainan di Nintendo menyatakan bahawa mereka tidak berpuas hati dengan tahap kualiti permainan yang dibangunkan oleh mereka.
Oleh sebab itu, mereka mengambil keputusan untuk membangunkan semula permainan tersebut dari awal dengan mengubah beberapa struktur permainan tersebut. Menariknya juga, Retro Studios iaitu pembangun asal untuk siri permainan Metroid Prime juga diumumkan bakal kembali sebagai pembangun permainan Metroid Prime 4.
Ini sememangnya merupakan satu berita yang sangat menarik dimana bukan sahaja Nintendo berterus terang dan jujur dengan keadaan permainan mereka, malah sekurang-kurang peminat mendapat kemaskini permainan tersebut dan pada masa yang sama, Retro Studios juga kembali membangunkan permainan tersebut.
Sebelum ini kami melaporkan bahawa terdapat ura-ura yang mana permainan tersebut dibangunkan oleh Bandai Namco dan ianya bakal tiba tahun ini. Namun, dengan pengumuman ini, tampaknya kita perlu menanti dengan lebih lama.