Bagi yang pra-tempah Anthem ataupun memiliki langganan EA Access anda berpeluang untuk mencuba permainan tersebut lebih awal iaitu bermula 25 Januari lepas melalui demo VIP.
Namun, semasa hari tersebut, ramai pemain yang mengalami masalah membuatkan mereka tidak dapat untuk mencuba. Perkara tersebut disahkan oleh Bioware sendiri apabila mengatakan mereka tidak mempunyai hari permulaan yang baik.
Melalui penulisan di laman BioWare, ketua servis langsung, Chad Roberstson mengatakan mereka menyedari mengenai masalah tersebut. Beliau juga mengatakan masalah berlaku bukan kerana mempunyai kapasiti pelayan yang tidak mencukupi bahkan mengatakan buat masa ini kapasiti pelayan masih lagi melebihi jumlah pemain.
Beliau kemudiannya mengatakan sebab-sebab masalah tersebut terjadi adalah masalah sambungan dengan pelayan, sesetengah pemain mempunyai kandungan berbeza dengan pemain lain (seperti kelebihan pra-tempah), muatan berterusan.
Bioware akan terus menyelesaikan masalah tersebut dari semasa ke semasa. Sebagai tanda terima kasih, mereka juga akan memberikan hiasan percuma kepada semua pemain yang mencuba VIP Demo tersebut.
Anthem akan dikeluarkan pada 22 Februari 2019 untuk Playstation 4, Xbox One dan PC. Bagi anda yang tidak ingin pra-tempah ataupun tidak melanggan EA Access, demo terbuka akan bermula pada 1 Februari 2019.