Spider-Man Into The Spider-Verse adalah antara filem animasi paling menarik yang pernah saya tonton. Bukan sahaja kerana ia adalah filem Spider-Man atau Marvel, tetapi visual animasi ini lain daripada yang lain. Konsep animasi yang digunakan oleh Sony ini dipatenkan agar tiada pembuat animasi lain tiru. Ia adalah gabungan komik, 2D dan 3D.
Jalan cerita Spider-Man Into The Spider-Verse ini adalah mengenai Spider-Man versi Miles Morales yang terlibat dengan ancaman yang berpunca daripada Wilson Fisk. Ancaman ini menyebabkan banyak dunia/dimensi terbuka dan banyak versi Spider-Man terkumpul dalam dunia Miles Morales. Hari ini, papan cerita buat filem animasi menarik ini telah dikongsikan oleh perunding visual Marvel –
Alberto Mielgo.
Melalui papan cerita yang dikongsikan, ia telah memperlihatkan jalan cerita awal yang dirancang tetapi tidak hadir ke dalam filem. Antaranya adalah adegan kerjar-mengejar Spider-Man dengan Prowler atas motosikal dan lori, cara Spider-Man Peter Parker yang lebih ngeri, beberapa judul filem berbeza dan adegan di mana Miles mencuba kuasa beliau dalam tandas.

Agak menarik untuk kita lihat konsep awal. Bagaimana pihak produksi merancang untuk jadikan filem ini satu filem animasi yang menarik, melalui papan cerita ini kita sudah tahu – banyak proses dan keputusan perlu dibuat dan semestinya makan tahun untuk filem ini dihasilkan.