Sebelum ini, kami melaporkan bahawa nWay bakal membawa permainan Power Rangers: Battle For The Grid ke konsol dan PC. Terkini, melalui temu bual bersama nWay, mereka mengesahkan bahawa permainan tersebut bakal mempunyai penceritaannya tersendiri.

Menurut laporan Dualshocker, pengurus produk dari nWay, Jesse Cherry menyatakan bahawa permainan tersebut sememangnya bakal mengandungi penceritaannya sendiri. Walaupun informasi lanjut berkenaannya tidak dikongsikan, beliau juga menyatakan bahawa kandungan penceritaan ini akan berkaitan dengan Lord Drakkon, iaitu penjahat Power Rangers.

Dari segi bentuk permainan pula, buat masa ini ianya disahkan akan mempunyai bentuk tiga lawan tiga seakan seperti Marvel VS. Capcom ataupun Dragon Ball FighterZ. Menariknya juga, ianya juga akan menyertakan pelbagai Power Rangers mengikut jenis era yang berlainan.

Sememangnya ini satu perkara yang sangat menarik terutamanya buat mereka yang menanti permainan konsol berdasarkan siri Power Rangers. Seperti biasa, kami akan mengemaskini jika terdapat sebarang informasi lanjut.

Power Rangers: Battle For The Grid bakal tiba April 2019 ini di Playstation 4, Xbox One dan Swich. Manakala versi PC pula bakal tiba sekitar tahun ini.

Sohor Kini