Ketika acara The Game Awards 2018 yang berlangsung Disember, NetherRealm Studio mengumumkan bahawa mereka akan membawa kembali permainan perlawanan Mortal Kombat tahun ini.

Terkini, bersempena dengan pengumuman tersebut, mereka mengadakan acara khas buat permainan tersebut yang mana mereka berkongsi pelbagai informasi lanjut, termasuklah edisi permainan bersama-sama watak-watak yang bakal tiba buat permainan tersebut.

Bersempena dengan itu, NetherRealm Studio berkongsi sebilangan video acah terbaru termasuklah bentuk permainan yang mana seperti biasa Mortal Kombat 11 akan menyertakan bentuk permainan yang sangat ganas.

Selain itu, NetherRealm Studio juga memperlihatkan watak Sonya Blade kini dilakon oleh Ronda Rousey, iaitu seorang ahli gusti profesional WWE.

Setakat ini, terdapat 8 watak yang pasti tiba buat permainan tersebut iaitu Baraka, Raiden, Scarlet, Scorpion, Sonya Blade dan Sub Zero. Manakala NetherRealm Studio juga mengumumkan watak baharu iaitu Geras dan juga watak Shao Kahn yang bakal tiba sebagai watak tambahan khas buat pra-tempah permainan.

Bercakap berkenaan pra-tempahan, bagi mereka yang membuat pra-tempahan permainan tersebut, NetherRealm Studio juga akan menyediakan sesi beta khas yang bakal berlangsung pada 28 Mac 2019 ini khas di Playstation 4 dan Xbox One.

Selain itu, NetherRealm Studio juga mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan edisi terhad, Mortal Kombat 11 Kollector’s Edition yang mana ianya akan menyertakan pelbagai kandungan tambahan bersama-sama topeng Scorpion.

Mortal Kombat 11 merupakan permainan perlawanan yang dibangunkan oleh NetherRealm Studio. Melalui permainan terkini ini, mereka akan menyertakan pelbagai kandungan baharu seperti pengubah-suai watak, penceritaan baharu dan pelbagai bentuk ganjaran permainan. Ianya bakal tiba di Playstation 4, Xbox One, Switch dan PC pada 23 April 2019.

Sohor Kini