Tales Of Vesperia merupakan permainan ke-10 buat siri utama Tales Of oleh Bandai Namco yang dilancarkan oleh mereka beberapa tahun lepas. Permainan tersebut asalnya tiba di konsol Xbox 360 dan mendapat versi tambahan di Playstation 3, namun versi hanya tiba buat pasaran Jepun sahaja.

Terkini, Bandai Namco membawa kembali Tales Of Vesperia ke konsol generasi kini sebagai edisi lengkap, Tales Of Vesperia: Definitive Edition yang mana ianya dilancarkan secara global pada 11 Januari 2019 lepas di Playstation 4, Xbox One, Nintendo Switch dan juga PC.

Tales Of Vesperia: Definitive Edition merupakan permainan pengembaraan yang sering dikenali sebagai JRPG, iaitu Japanese Role Playing Game. Permainan ini mendapat sambutan peminat yang baik pada 2009 lepas dengan tibanya permainan tersebut di pasaran barat melalui Xbox 360.

Namun adakah permainan yang berusia 10 tahun ini masih seronok untuk dimainkan pada tahun 2019 ini? Ini adalah ulasan penuh saya.

Cerita

Boleh dikatakan kebanyakkan permainan bergenre JRPG, mempunyai penceritaan yang menarik dan epik dengan pelbagai watak-watak menawan. Tales Of Vesperia sememangnya tidak terkecuali daripada elemen-elemen tersebut dimana permainan ini, memaparkan penceritaan yang sangat mengasyikkan.

Tales Of Vesperia meletakkan di dunia yang mana teknologi magis dikuasakan oleh Blastia, iaitu satu batu yang berdasarkan teknologi kuno. Melaluinya, ia memfokuskan seorang watak, Yuri Lowell yang tinggal di kawasan bawahan di kota raya Zaphias dimana rakyat marhaen disitu ditindas oleh bangsawan-bangsawan. Keadaan menjadi lebih teruk dimana Blastia yang terdapat di kawasan bawahan tersebut dicuri oleh bangsawan dan Yuri mengambil keputusan untuk mendapatkannya kembali. Namun, ketika pengembaraan beliau tersebut, Yuri terserempak dengan seorang gadis bangsawan, Estelle dimana mereka berdua mengambil keputusan untuk mengembara bersama untuk menyelesaikan misteri pencurian tersebut. Seperti yang anda baca, asas penceritaannya permainan ini pada pendapat saya agak tipikal untuk JRPG. Ianya seakan satu bentuk penceritaan fantasi anime yang sering kita dengari.

Keseluruhan penceritaan Tales Of Vesperia ini sememangnya menarik. Akan tetapi, terdapat satu perkara yang agak negatif bagi saya dimana penceritaan permainan ini pada 10 jam pertama agak membosankan. Ini mungkin kerana ianya memfokuskan bentuk penceritaan secara sedikit demi sedikit setiap kali ianya dimainkan. Sekaligus, resolusi terakhir watak-watak ataupun kandungan penceritaan yang terdapat di dalam permainan ini, tidak lagi dikembangkan pada 10 jam pertama dan membuatkan ianya berasa agak bosan dan perlahan untuk dimajukan.

Mahupun sebegitu, setelah selesai 10 jam pertama tersebut, pemain akan diberi plot yang sangat menarik terutamanya bagaimana pengembaraan watak utama tersebut berkembang dan menjadi semakin penting di dalam dunia Tales Of Vesperia. Dicampur dengan pengenalan watak rakan dan juga saingan Yuri, iaitu Flynn, sekaligus membuat penceritaan permainan ini semakin memberansangkan.

Seperkara lagi yang saya harus puji adalah perkembangan watak yang terdapat di dalam permainan ini. Pada permulaan penceritaannya, terdapat satu watak yang kurang digemari oleh saya kerana sikapnya yang agak penakut. Namun, setelah saya maju di dalam penceritaan ini, watak tersebut menjadi sangat mengasyikkan dan membuka mata saya yang mana beliau adalah watak yang sangat menarik dan menawan sepanjang permainan ini. Ini sekaligus sememangnya membawa bentuk kemajuan penceritaan yang sangat seronok dan pasti membuat pemain berminat untuk terus bermain.

Tambahan itu, Tales Of Vesperia juga membawa kembali adegan ‘Skit‘, iaitu satu adegan yang hanya memaparkan avatar kepala watak bersama-sama lakonan suara sahaja. Adegan ini akan timbul secara rawak dimana ianya akan berlangsung selepas pemain melakukan sesuatu perkara seperti menewaskan ketua musuh ataupun sebagainya. Pemain akan diberi pilihan untuk menonton ataupun tidak dengan hanya menekan pad sesentuh melalui alat kawalan Dualshock 4. Jika pemain menontonnya, permainan ini akan terus memainkan adegan tersebut secara berterusan sehingga ianya habis. Adegan tersebut juga tidaklah begitu panjang dan hanya mengambil masa 3 hingga 5 minit sahaja.

Pada pendapat saya, adegan skit inilah yang mana ianya memberi satu elemen keunikkan buat siri Tales Of. Sepanjang sesi permainan saya, terdapat banyak adegan skit yang sempat saya temui dan setiap satunya sangat seronok untuk dipertontonkan. Terdapat adegan yang kelakar, terdapat juga adegan yang menarik hati, apabila permainan ini cuba menerangkan penceritaannya dengan lebih terperinci.

Bukan sahaja adegan tersebut mengembangkan lagi perbualan dan penceritaan permainan ini, malah ianya membuka lebih banyak lapisan watak-watak yang terdapat di dalam permainan ini sekaligus membuatkan setiap watak, seperti perkembangan watak yang saya katakan di atas berasa sangat mengasyikkan.

Bagi anda yang mengenali siri permainan JRPG, Tales Of Vesperia sememamgnya adalah satu permainan yang memerlukan pemain untuk bermain lebih dari 50 jam untuk melengkapkannya dengan penceritaan yang sangat panjang dan kemajuan yang pelbagai. Oleh sebab demikian, saya berasa Tales of Vesperia ini sememangnya permainan yang sangat sesuai buat mereka yang ingin mencuba permainan JRPG buat pertama kali.

Grafik

Tales Of Vesperia: Definitive Edition sememangnya tidak boleh dibandingkan dengan permainan Tales Of terkini seperti Tales Of Zestiria ataupun Tales Of Berseria atas sebab permainan ini merupakan permainan yang dilancarkan 10 tahun lepas. Sekaligus, dari segi visual grafik ianya tidaklah begitu menawan.

Namun, apa yang Bandai Namco bawakan untuk versi ini pada pendapat saya adalah sudah memadai. Dengan sokongan resolusi 4k untuk Playstation 4 Pro dengan kadar bingkai sesaat yang stabil. Permainan ini sememangnya sudah mencukupi dari segi aspek visual grafik. Tambahan itu dengan rekaan model seakan bentuk anime dengan teknik cel-shaded, permainan ini masih lagi kelihatan menawan walaupun dimainkan pada tahun 2019 ini.

Walaupun begitu, memandangkan permainan ini berusia lebih dari 10 tahun, ianya juga mempunyai hadnya tersendiri seperti kamera tidak boleh diubah ketika berada di dalam bandar ataupun kawasan bermusuh bersama-sama beberapa adegan yang kelihatan aneh dan pelik disebabkan had visual grafik beberapa tahun lepas.

Namun masalah-masalah tersebut tidaklah memberi kesan terhadap keseluruhan sesi permainan saya. Bahkan, ianya menunjukkan bahawa ianya masih lagi mengekalkan elemen klasik JRPG buat siri Tales Of.

Audio

Satu masalah yang ramai peminat pertikaikan berkenaan audio buat Tales Of Vesperia: Definitive Edition ini adalah pelakon suara latar asal watak Yuri Lowell, iaitu Troy Baker tidak kembali melakonkan suara latar buat watak tersebut. Ini sememangnya memberi kesan terhadap adegan tambahan yang ditambah bagi versi lengkap permainan ini berbanding permainan asal.

Walaupun begitu, sepanjang sesi permainan saya, saya tidak menghadapi masalah berkenaannya. Walaupun terdapat saat dimana saya mengesan terdapat dua jenis suara berbeza buat watak Yuri Lowell tersebut, namun jika dimain secara bersahaja, ianya tidaklah begitu jelas. Malah, pada pendapat saya pelakon suara latar pengganti buat Yuri Lowell, iaitu Grant George telah melakukan satu hasil kualiti suara latar yang sudah baik dan hampir serupa dengan Troy Baker. Malah untuk melihatnya sendiri, anda boleh ke saluran Jay RPG ini dimana beliau berkongsi perbezaan antara suara kedua-dua pelakon suara latar tersebut, dimana pada pendapat saya ianya tidaklah terlalu berbeza.

Manakala dari segi pelakon suara latar yang lain, kesemuanya dilakon dengan baik. Bahkan bagi anda yang ingin mendengar suara latar asli bahasa Jepun, Bandai Namco juga menyertakan pilihan suara latar antara bahasa Inggeris dan bahasa Jepun pada permulaan permainan. Sekaligus buat mereka yang lebih menyukai suara latar asli Jepun, anda boleh mendengarkannya. Walaupun begitu, pada pendapat saya suara latar bahasa Inggeris yang tersedia di dalam permainan ini sudah pun bagus dan memadai untuk permainan JRPG.

Bagi audio muzik mahupun bunyi efek, kesemuanya dihasilkan dengan baik. Tidak banyak yang saya boleh pertikaikan dari segi kualiti tersebut di mana permainan ini sememangnya mengekalkan bentuk dan gaya audio klasik JRPG yang pasti membuat peminat siri Tales Of menyukainya.

Kawalan Permainan

Bagi anda yang sudah biasa dengan siri Tales Of, kali ini Tales Of Vesperia tidak mempunyai perbezaan yang melampau. Malah pada pendapat saya ianya masih mengekalkan bentuk klasik seakan Tales Of Abyss dari segi pengembaraan dan pertempuran.

Bagi anda yang baru dengan siri, Tales Of Vesperia terbahagi kepada dua bentuk pengembaraan di mana jika pemain berada di kawasan bermusuh ataupun di bandar. Manakala bahagian kedua pula meletakkan pemain di kawasan dunia yang terbuka. Bahagian ini sering dipanggil Over World.

Bahagian pertama pengembaraan permainan ini lebih memfokuskan bentuk pengembaraan yang lebih tertutup dan pemain berupaya untuk meneroka kawasan-kawasan tersebut. Namun bentuk agak terhad dimana pemain tidak berupaya untuk mengubah kamera dan ianya lebih ringkas. Walaupun begitu, melalui bahagian pengembaraan ini, pemain diberi satu kuasa iaitu Sorcerer’s Ring di mana pemain berupaya untuk berinteraksi dengan kawasan tersebut seperti meletupkan pagar ataupun melumpuhkan musuh.

Akan tetapi bentuk pengembaraan ini agak mengecewakan jika ingin dibandingkan dengan siri Tales Of terkini memandangkan permainan ini masih lagi permainan yang berusia 10 tahun, pengembaraannya agak terhad seperti yang saya katakan di atas. Contohnya kamera tidak boleh diubah, dan terdapat beberapa kawasan yang tidak boleh dilalui oleh pemain dengan terdapat dinding lutsinar dan sebagainya.

Bahagian pengembaraan terbuka pula adalah lebih ringkas. Pemain akan bergerak dari satu tempat ke satu tempat seperti mencari kawasan bandar ataupun kawasan tersembunyi dan sebagainya. Melalui pengembaraan ini, pemain tidak boleh berinteraksi dengan menggunakan Sorcerer’s Ring, namun pemain berupaya untuk menaiki kenderaan seperti kenderaan terbang ataupun bot.

Selain itu, musuh yang terdapat di dalam kedua-dua pengembaraan permainan ini boleh dilihat. Ini memudahkan pemain untuk mengelak musuh jika pemain tidak ingin bertempur. Namun, musuh atau raksasa tersebut masih akan mengejar pemain jika terserempak dengan pemain.

Bentuk ini pada pendapat saya bukan sahaja mudah dan menarik, malah menyenangkan pemain yang tidak ingin bertempur dengan musuh. Selain itu, apa yang saya sukai juga adalah ianya masih lagi mengekalkan bentuk klasik JRPG dengan bentuk Over World dimana pasti membuat peminat JRPG seperti saya menghargai konsep pengembaraan sebegini walaupun terdapat had batasannya.

Bentuk pertempuran pula adalah seakan permainan klasik JRPG sebelum ini setelah pemain menyentuh musuh, pemain akan dibawakan ke skrin pertempuran. Dari segi bentuk pertempuran, permainan ini menggunakan konsep Linear Motion Battle System iaitu sistem pertempuran yang Bandai Namco sering gunakan di dalam siri permainan Tales Of.

Melalui sistem ini, ia akan meletakkan pemain bertempur seakan secara 2 dimensi. Namun, pemain masih lagi boleh bergerak secara 3 dimensi dengan menahan butang L2. Tambahan itu, Sistem ini hanyalah memfokuskan satu pemain sahaja. Sekaligus watak-watak peneman lain tidak boleh digunakan secara serentak dan mereka akan dikawal secara automatik. Oleh hal demikian, Bandai Namco juga menyediakan fungsi strategi di mana pemain berupaya untuk memilih jenis dan cara pertempuran mereka.

Secara asasnya sistem ini agak ringkas dimana pemain hanya menekan butang bulat untuk menyerang. Namun, Bandai Namco masih lagi menyertakan sebilangan kemahiran tambahan seperti kemahiran Arte, dan pelbagai kemahiran tambahan lain yang pemain akan belajar setelah pemain maju di dalam penceritaan permainan ini.

Pada pendapat saya ini merupakan satu bentuk yang sangat menarik dan seronok untuk dimainkan. Walaupun ianya agak ringkas, tetapi jika pemain bertempur dengan musuh yang kuat, elemen taktikal masih lagi membuatkan permainan ini berasa agak sukar. Tambahan itu, dengan membiarkan watak lain dikawal secara automatik, ianya memberi lebih banyak fungsi taktikal lain yang mana pemain masih lagi mempunyai kebebasan untuk mengawal cara pertempuran mereka dan membuat permainan ini menjadi lebih mendalam dari segi bentuk pertempurannya.

Selain itu, Bandai Namco juga mengembangkan lagi bentuk pertempuran seperti elemen memasak dan juga elemen kelengkapan. Seperti permainan JRPG yang lain, pemain berupaya untuk menukar kelengkapan dan senjata. Namun, permainan ini mengembangkan lagi dengan membenarkan pemain untuk belajar kemahiran baharu mengikut senjata yang pemain gunakan. Ini sememangnya mengembangkan bentuk taktikal yang terdapat di dalam permainan ini dan membenarkan pemain menetapkan pelbagai tetapan kemahiran bagi setiap watak-watak yang terdapat di dalam permainan ini.

Bentuk memasak pula akan meletakkan pemain untuk menghasilkan barnagan sokongan buat watak-watak di dalam permainan ini. Terdapat juga fungsi dimana pemain berupaya untuk menghasilkan barangan dan kelengkapan lain melalui penghasilan barangan dan sebagainya.

Dari segi bentuk permainan lain, tak banyak yang saya boleh katakan kerana secara asasnya, permainan ini hanyalah memfokuskan bentuk pengembaraan tersebut dan bentuk pertempuran di atas. dari segi kawalan yang lain, terdapat juga beberapa tekaria yang pemain perlu selesaikan. Namun, ianya masih lagi terhad dan ringkas dengan hanya penggunaan Sorcerer’s Ring yang saya katakan sebelum ini.

Kesimpulan

Apa yang saya boleh katakan, Tales Of Vesperia: Definitive Edition sememangnya satu permainan JRPG yang sangat menarik. Ianya bukan sahaja mempunyai bentuk permainan yang mudah dan menarik malah ianya mengekalkan elemen-elemen klasik JRPG yang pasti sesuai untuk pemain baru ataupun pemain lama.

Tambahan itu, versi lengkap ini juga menyertakan pelbagai kostum yang pemain boleh dapatkan bersama-sama dengan watak baharu, Patty dimana ianya sebelum eksklusif di Playstation 3 sahaja sebelum ini.

Walaupun begitu, memandangkan permainan ini sudah pun berusia lebih dari 10 tahun, terdapat juga beberapa bentuk yang berasa agak kuno dari segi bentuk permainannya akibat had-had yang terdapat di konsol generasi sebelum ini.

Mahupun begitu, dengan penceritaannya yang agak menarik dicampur adegan-adegan skit yang sangat melucukan, permainan ini sudah semestinya akan saya syorkan buat peminat siri JRPG. Namun, bagi anda yang ingin bermain permainan beraksi dan pantas, sudah semestinya Tales Of Vesperia: Definitive Edition bukanlah sesuai dengan anda.

Penafian: Kod ulasan untuk Tales Of Vesperia: Definitive Edition disediakan oleh Bandai Namco.

Sohor Kini