Kemaskini, 17 Januari 2019 – Channel Youtube rasmi untuk filem Ghostbuster mengeluarkan video acah buat filem ini.

Bagi pengikut filem Ghostbusters, mereka sudah semestinya bermula dengan filem asal Ghostbusters yang dikeluarkan pada tahun 1984 dan sambungnya pada tahun 1989. Dibintangi oleh Bill Murray, Dan Aykroyd, Harold Ramis serta Ernie Hudson, boleh dikatakan merekalah Ghostbusters yang asal.

Pada tahun 2016, filem olahan semula Ghostbusters dikeluarkan yang menjadikan kesemua Ghostbusters adalah perempuan yang dibintangi oleh Melissa McCarthy, Kristen Wiig, Kate McKinnon dan Leslie Jones. Walaupun filem tersebut agak menarik namun saya agak kecewa kerana mereka menghasilkan satu dunia yang baharu dan tidak berkait dengan filem Ghostbusters. Pelakon-pelakon asal hanya keluar sebagai cameo sahaja.

Hari ini, menurut laporan oleh Entertainment Weekly, Jason Reitman akan menulis dan mengarah filem baharu untuk Ghosbusters. Menariknya, filem tersebut merupakan sambungan ataupun di dalam dunia yang sama dengan filem Ghosbusters asal yang diarahkan oleh ayahnya Ivan Reitman.

Filem tersebut merupakan versi terkini, oleh disebabkan itu ia berkemungkinan tidak akan menggunakan pelakon asal sebaliknya akan menggunakan watak baharu yang berkait dengan watak asal. Sony Pictures mensasarkan untuk mengeluarkan filem tersebut pada suku ketiga tahun 2020 dan produksi akan bermula tidak lama lagi.

Mengenai filem Ghostbusters yang dikeluarkan pada tahun 2016, Jason Reitman mengatakan beliau berharap filem tersebut juga akan diteruskan tetapi ia adalah dalam dunia yang berbeza dengan filem yang akan dikeluarkan oleh beliau kelak.

Sohor Kini