Skip to main content

Psyonic hari ini mengumumkan yang permainan arena perlawanan kereta mereka Rocket League untuk Playstation 4 kini menerima fungsi rentas-platform penuh. Melalui fungsi ini, pemain di PS4 kini berpeluang untuk bermain melawan ataupun bersama dengan pemain di platform lain termasuk juga Xbox One dan Switch.

Fungsi rentas-platform di PS4 masih peringkat beta dan ia baru sahaja diumumkan pada September lepas di mana Fortnite menjadi permainan pertama yang menerima fungsi tersebut. Dengan pengumuman ini, Rocket League menjadi permainan kedua.

Menurut Psyonic, fungsi tersebut boleh dibuka dan ditutup melalui tetapan. Selain itu, mereka juga mengatakan sokongan untuk sistem Party rentas-platform akan disertakan melalui kemaskini yang akan tiba tidak lama lagi.

Bagi barangan di dalam permainan seperti hiasan kereta yang eksklusif untuk konsol tertentu, buat masa ini hanya pemain yang di platform sama sahaja dapat melihatnya, pemain lain hanya dapat melihat rekaan asal.

Ini merupakan satu berita yang baik bagi pemain yang ingin bermain Rocket League bersama dengan rakan di platform lain, namun kami berharap fungsi RocketID yang membolehkan satu akaun digunakan di pelbagai platform akan disertakan tidak lama lagi.

Leave a Reply