November lepas, Ubisoft melancarkan satu permua berdasarkan francais Assassin’s Creed, iaitu Assassin’s Creed Rebellion buat peranti telefon pintar iOS dan juga Android. Permua tersebut sememangnya dilancarkan secara percuma dan ianya menyertakan sebilangan kandungan mikro-transaksi.
Assassin’s Creed Rebellion dibangunkan oleh Behaviour Interactive, iaitu mereka terkenal dengan permua Westworld, Dead By Daylight dan pelbagai permainan lain sebelum ini dengan kerjasama pelbagai pengeluar permainan.
Walaupun begitu, adakah ianya adalah permua yang menarik minat untuk mereka yang meminati siri Assassin’s Creed? Ini adalah ulasan penuh saya buat permua Assassin’s Creed Rebellion.
Cerita
Jika ingin bercakap berkenaan penceritaan, sememangnya kebanyakkan permua-permua yang dilancarkan di peranti telefon pintar tidaklah mempunyai penceritaan yang menarik, malah ianya bukanlah satu fokus utama kebanyakkan permua yang dilancarkan di platform tersebut.

Oleh itu, perkara yang sama boleh disebutkan melalui permua ini dimana Assassin’s Creed Rebellion tidaklah mempunyai penceritaan yang menarik mahupun mengagumkan. Permua ini memfokuskan era dan kawasan Sepanyol, dimana pemain akan mengawal watak Assassins, iaitu Aguilar de Nerha. Beliau sebelum ini merupakan watak Assassins dari filem aksi-nyata Assassin’s Creed yang ditayangkan beberapa tahun lepas.
Pada pendapat saya sendiri, ketika saya bermain permua ini, saya sendiri tidak menghiraukan penceritaan ini kerana ianya tidak langsung memberi saya semangat dan sebab untuk mengambil kisah sepanjang penceritaannya.
Walaupun begitu, pemain tidaklah perlu bermain kesemua siri Assassin’s Creed mahupun menonton filem tersebut untuk memahami penceritaan utama permua ini dimana ianya tidaklah terlalu memberi kesan yang besar. Akan tetapi, saya sendiri menghargai apa yang Behavior Interactive cuba bawakan dengan penceritaan permua ini walaupun ianya tidaklah begitu menakjubkan.
Grafik
Grafik permua ini sememangnya dihasilkan dengan baik sekali. Kesemua watak-watak yang dipaparkan mempunyai rekaan ‘chibi’ sekaligus membawa permua ini kepada satu bentuk yang mana bukan sahaja menawan, malah sesuai untuk kesemua lapisan umur.

Sememangnya siri Assassin’s Creed terkenal dengan kandungan yang ganas dengan tujuan utama permainan adalah sebagai pembunuh selinap. Walaupun begitu, visual yang dipaparkan bersama-sama dengan arah seni yang dihasilkan membawa permua ini kepada satu bentuk yang sangat menarik sekali untuk dimainkan.

Dari segi rekaan antaramuka juga, permua ini dihasilkan dengan baik sekali tanpa sebaran kecelaruan ataupun visual-visual tambahan yang memeningkan. Sekaligus, rekaan permua ini pada pendapat saya adalah sangat baik sekali dan tepat dengan tema dan bentuknya di peranti telefon pintar dengan bentuk kawalan menggunakan skrin sesentuh.
Ketika dimainkan melalui telefon pintar One Plus 6, kesemua bentuk antara muka permua ini dihasilkan dengan baik walaupun telefon pintar tersebut mempunyai takuk.
Walaupun begitu, terdapat satu sahaja perkara yang saya tidak menyukai adalah prestasi dimana permua ini mempunyai skrin permuatan yang sangat lama. Walaupun ianya hanya sekitar 5-6 saat sahaja, namun untuk kelancaran sesi permainan terutamanya jika dimainkan di luar, ianya agak menjengkelkan.
Audio
Setiap kali ketika saya melawati pangkalan utama saya di dalam permua ini, saya sendiri sering berhenti sebentar dan menikmati muzik latar siri Assassin’s Creed yang mana pasti merupakan salah satu muzik kesukaan saya buat francais permainan video.
Setiap kali muzik tersebut dimainkan, ianya sememangnya mengingatkan saya saat-saat ketika saya bermain siri Assassin’s Creed terutamanya Assassin’s Creed II. Muzik yang dimainkan di dalam permua ini sememangnya tepat dengan tema dan francais Assassin’s Creed tersebut.
Dari segi prestasi audio yang lain, tidak banyak yang saya boleh perkatakan dimana kesemuanya dihasilkan dengan baik sekali. Sememangnya permua ini tidak menyertakan sebarang suara latar mahupun sebarang muzik latar tambahan yang mengasyikkan, akan tetapi ianya masih lagi dihasilkan dengan baik sekali dan pada pendapat saya untuk permua percuma, dari segi audio, Assassin’s Creed Rebellion berada di tahap produksi yang sangat memuaskan.
Kawalan Permainan
Saya sendiri tidak tahu ingin bermula dari mana apabila bercakap berkenaan permua Assassin’s Creed Rebellion ini. Ini kerana terdapat pelbagai bentuk dan kandungan yang terdapat di dalam permua ini, dimana saya pasti pada awalnya ianya mungkin agak terlalu kompleks buat pemain lain.
Walaupun begitu, untuk mengulas dan memastikan para pembaca memahami konsep dan bentuk Assassin’s Creed Rebellion ini, saya boleh simpulkan bahawa permua ini adalah hasil campuran antara permua Fallout Shelter dan permainan RPG.

Ini kerana Assassin’s Creed Rebellion bukan sahaja memfokuskan pemain untuk membina pangkalan seperti Fallout Shelter, dimana pemain akan membina pangkalan mengikut bilik-bilik malah ianya juga mempunyai sebilangan bentuk RPG seperti tetapan kelengkapan senjata watak dan juga pernaik-tarafan watak-watak.

Perkara pertama yang saya ingin tekankan adalah bentuk pembinaan pangkalan tersebut. Seperti Fallout Shelter, setiap bilik mempunyai fungsinya tersendiri, seperti contohnya bilik istirehat buat watak. Fungsi utama ini membenarkan nilai sembuh sendiri nyawa watak tersebut meningkat setiap kali pemain meletakkan fungsi bilik tersebut. Terdapat juga bilik latihan dimana pemain berupaya untuk melatihkan watak-watak untuk meningkatkan tahap kemahiran bersama-sama peringkat watak tersebut.

Dari segi bentuk pembinaan pangkalan yang lain, pemain juga berupaya untuk menghasilkan bilik tukang besi, untuk pemain hasilkan senjata dan kelengkapan buat watak di dalam permua supaya pemain boleh tingkat kemahiran dan kuasanya.
Dari segi misi dan bentuk permainan utama pula, Assassin’s Creed Rebellion terbahagi dengan sebilangan misi-misi yang berbeza. Terdapat misi utama penceritaan, misi biasa, misi warisan dan juga misi barangan. Seperti kebanyakkan permua-permua lain, untuk melakukan misi tersebut, pemain perlu menggunakan nilai Intel, dimana pemain boleh dapatkan melalui kajian bilik di pangkalan pemain.

Setiap misi akan memfokuskan pemain untuk menggunakan 3 watak Assassin, dimana pemain berupaya untuk memilih 3 daripada kelas utama watak yang berbeza iaitu Shadow, Specialist dan Enforcer. Setiap satu kelas tersebut pula akan dibahagi kepada 3 lagi kategori watak yang lain dimana Shadow merangkumi Assassination, Stealth dan Navigation. Manakala Specialist pula dibahagikan kepada Disarm, Support dan Heal. Akhir sekali Enforcer pula dibahagikan kepada Area Of Effect, Damage Per Second dan Tank.
Ini sekaligus meletakkan permua Assassin’s Creed Rebellion mempunyai 9 kategori kelas watak yang pemain boleh gunakan dimana setiap satunya mempunyai kemahiran yang berbeza dan senjata yang berbeza. Pada awalnya, pada pendapat saya ianya berasa agak kompleks memandangkan saya hanyalah dibenarkan untuk membawa 3 watak sahaja untuk sesuatu misi. Namun, setelah saya bermain dengan lebih mendalami permua ini, saya mendapati setiap misi-misi yang tersedia tidaklah begitu penting dari segi jenis watak malah hampir kesemua watak berupaya untuk bertempur secara biasa.

Akan tetapi, setiap kemahiran yang terdapat melalui kelas watak tersebut sememangnya akan memberi kelebihan yang berbeza mengikut misi seperti contohnya watak berkelas Shadow dan kategori Assassination berupaya untuk membunuh musuh dengan senyap. Manakala watak berkelaskan Specialist di kategorikan Heal pula berupaya untuk menyembuh watak-watak lain. Sememangnya konsep ini memberi satu strategi permainan yang sangat mendalam dan pada masa yang sama bukan hanya sekadar tekan dan klik sahaja.
Dari segi pertempuran dan penerokaan peta misi pula, permua Assassin’s Creed Rebellion mempunyai bentuk pertempuran mengikut turutan. Ini sekaligus mengingatkan saya dengan bentuk klasik JRPG dimana pemain akan bergerak dari satu bilik ke satu bilik dan setiap pilihan yang pemain lakukan akan mengikut nilai peratus kemahiran watak tersebut.

Seperti contohnya, jika pemain ingin melompat dan memanjat bangunan, pemain semestinya akan memilih watak berkelaskan Shadow kerana mereka mempunyai peratus yang lebih tinggi untuk berjaya melompat ke atas. Manakala jika pemain ingin melucutkan perangkap, pemain semestinya akan memilih watak berkelaskan Specialist.
Ini sekaligus membuatkan satu bentuk strategi yang sangat menarik dimana setiap 3 watak yang pemain bawa ke sesuatu misi akan memainkan peranan yang penting dari segi pertempuran, penerokaan dan juga ganjaran yang bakal pemain dapatkan.

Bercakap berkenaan ganjaran pula, seperti permua lain Assassin’s Creed Rebellion akan memfokuskan bentuk ganjaran secara 3 bintang. Namun, kejayaan ganjaran 3 bintang tersebut adalah berdasarkan nilai watak pemain yang masih hidup setiap kali pemain melengkapkan misi. Contohnya jika ketiga-tiga watak pemain masih hidup ketika pemain melengkapkan misi permua ini, pemain akan mendapat 3 bintang ganjaran.

Ini merupakan satu konsep yang menarik dan membuatkan pemain menjadi lebih fokus dengan pilihan strategi yang pemain bawa watak ke sesuatu misi. Tambahan itu, jika pemain melengkapkan misi dengan ganjaran 3 bintang, pemain juga berupaya untuk melakukan misi tersebut semula secara mod Rush, dimana ianya adalah bentuk pintas untuk melengkapkan misi tersebut sekali lagi. Ini sekaligus menyenangkan pemain untuk mengumpul barangan ganjaran dengan lebih pantas.
Pemain juga berupaya untuk menetapkan mod automatik yang mana setiap pilihan strategi akan dipilih secara rawak. Namun mod ini tidak disyorkan kerana pilihan automatik tersebut mungkin akan menyebabkan pemain gagal misi tersebut.

Pada pendapat saya, bentuk permainan permua ini adalah sangat menarik dengan pelbagai elemen strategi yang mendalam bersama-sama dengan bentuk pembinaan pangkalan yang menarik. Dicampur dengan elemen RPG, saya boleh katakan permua ini adalah permua paling menarik saya pernah mainkan yang bergenre ini.
Walaupun begitu, memandangkan Assassin’s Creed Rebellion adalah permua percuma, ia tidak dapat lari daripada kandungan mikro-transaksi dan pada pendapat saya ianya adalah punca kenapa membuatkan permua ini sangat tidak berbaloi untuk dimainkan.
Mikro-Transaksi
Tidak boleh dinafikan, mikro-transaksi buat permainan percuma adalah satu perkara biasa malah ianya adalah satu-satunya punca pendapatan buat sesuatu permainan percuma di peranti telefon pintar. Assassin’s Creed Rebellion sendiri mempunyai kandungan mikro-transaksi yang mana pemain boleh beli untuk mendapatkan sebilangan kandungan tambahan.

Akan tetapi, apa yang membuatkan permua ini sangat teruk adalah ianya terlalu mengharapkan kepada mikro-transaksi. Ini kerana hampir kesemua kandungan di dalam permua ini adalah sangat terhad dan pemain sama ada perlu melakukan misi objektif dengan kerap, ataupun melakukan misi yang sama berulang kali untuk mendapatkan sesuatu barang yang pemain inginkan.
Namun, tidak boleh dipersalahkan Behavior Interactive berkenaan masalah ini kerana sememangnya mereka ingin pemain terus bermain permua ini untuk mendapatkan sesuatu. Namun, jika watak-watak sendiri terkunci di dalam mikro-transaksi dan kotak tikam, ini akan menyebabkan kandungan permainan ini berasa sangat terhad.

Apa yang saya maksudkan dengan watak adalah, permua Assassin’s Creed Rebellion berkait rapat dengan francais Assassin’s Creed sebelum ini, dimana jika pemain ingin memperoleh atau mainkan watak-watak yang terkenal seperti Ezio Auditore dari Assassin’s Creed II, pemain perlu mengumpul DNA beliau.
Akan tetapi, DNA tersebut adalah sangat rawak jika ingin didapatkan melalui ganjaran misi malah jika pemain membelinya melalui mikro-transaksi, ianya terhad kepada kotak tikam sahaja. Namun, kandungan DNA yang terdapat di dalam kotak tikam tersebut adalah rawak, sekaligus peratus untuk mendapat sesuatu watak seperti Ezio adalah sangat tipis.

Ubisoft dan Behavior Interactive cuba membawa sesuatu yang baru melalui permua ini iaitu fungsi langganan Animus Premium Access. Namun fungsi langganan ini berasa sangat tidak berbaloi kerana ianya hanyalah mempercepatkan misi dan ganjaran sahaja dan kandungan yang pemain bakal terima masih lagi rawak. Walaupun harganya tidaklah begitu mahal, namun untuk harga RM37.90 sebulan, ianya masih satu nilai yang agak tinggi untuk dibeli dengan ganjaran yang rawak.
Dari segi mata wang lain, Helix Credits juga tiba di dalam permua ini dan harganya mengikut nilai dari RM19.90 untuk nilai 500 Helix Credits sehinggalah RM399.90 untuk nilai 13,000 Helix Credits.
Walaupun nilai tersebut kelihatan tinggi, namun dengan peluang untuk mendapatkan DNA watak sesuatu watak yang rawak, ianya menyebabkan permua ini berasa kurang berbaloi untuk dibelanjakan melalui fungsi mikro-transaksi.
Kesimpulan
Akhir kata, Assassin’s Creed Rebellion adalah permua yang sangat menarik. Konsep pertempuran mengikut turutan bersama pembinaan pangkalan dengan elemen RPG adalah sangat menarik. Dicampur dengan kelas watak yang berkategori membuatkan strategi bentuk permua ini adalah sangat mengasyikkan dan unik.
Akan tetapi, dengan kandungan mikro-transaksi yang mengharapkan pulangan ganjaran rawak yang keterlaluan, membuatkan permua ini berasa sangat mahal untuk dimainkan malah jika dimainkan tanpa sebarang pembelian mikro-transaksi, permua ini berasa sangat berulangan dan tempoh masa untuk mendapatkan ganjaran watak yang diingini berasa sangat tidak berbaloi.
Walaupun begitu, memandangkan permua ini adalah permua percuma dan boleh dimuat-turun melalui Google Play Store atau App Store, saya sendiri sangat mengesyorkan anda untuk mencubanya dahulu, terutamanya buat mereka yang meminati siri Assassin’s Creed.
Sememangnya permua ini adalah sesuai untuk dimainkan untuk jangka masa yang panjang secara kasual. Tetapi jika anda inginkan sesuatu permua dengan ganjaran yang pantas dan berbaloi, Assassin’s Creed Rebellion sememangnya bukanlah pilihan terbaik untuk anda
